ADAB MEMBACA AL-QURAN |
» ARTICLE » ADAB MEMBACA AL-QURAN

ADAB MEMBACA AL-QURAN

Umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadhan dalam masa kurang daripada sebulan bermula dari sekarang.        Ramadhan begitu sinonim dengan membaca dan bertadarus al-Quran. Amalan ini dilakukan sebagai beriqtidaa’ dengan amalan Rasulullah SAW yang sering bertadarus dengan Jibril dalam bulan Ramadhan.Namun adakah kita benar-benar mengetahui hakikat al-Quran? Apakah kelebihan membacanya? Bagaimana seharusnya kita beradab dengan al-Quran ketika membacanya? Sebelum kita mengetahui apakah kelebihan membaca al-Quran dan bagai mana kita beradab dengan al-Quran, marilah terlebih dahulu kita sama-sama meneliti sepintas lalu hakikat al-Quran itu sendiri. Al-Quran ialah kalamullah yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW melalui Jibril A.S Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya iman. Firman Allah S.W.T dalam surah Ibrahim, ayat 1:

 

 ”“كتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّور

 

Maksudnya: Al-Quran, kami turunkannya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya iman.

 

Al-Quran juga merupakan mukjizat Allah yang besar ke atas nabi Muhammad SAW seperti yang dijelaskan oleh al-Quran melalui firmanNya dalam surah al-Israa’, ayat 88:

 

”قل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُواْ بِمِثْلِ هَـذَا الْقُرْآنِ لاَ يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرا“.

 

Maksudnya:  Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka saling bantu-membantu.

 

Al-Quran merupakan sumber asas bagi menentukan hukum-hukum fiqah dalam syariat Islam. Ia juga menerangkan secara terperinci perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah dan secara ijmali (umum) berkenaan ibadat dan muamalat. Selain itu, al-Quran juga menggariskan panduan umum bagi kehidupan orang Islam dan sunnah menghuraikannya secara terperinci.(contoh: solat) Justeru al-Quran mempunyai  hubungan yang rapat dengan al-Sunnah yang menjelaskan garis panduan dan masalah yang umum secara jelas dan terperinci. Al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam menjelaskan segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia di dunia dan akhirat dalam semua aspek kehidupan; ketuhanan (tauhid), ibadat, kekeluargaan, muamalat, ekonomi, sosial, politik, dll.

 

Islam merupakan agama yang sangat mementing adab. Justeru segala amaIan dan ibadat harus diiringi dengan adab      seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Semasa membaca al-Quran, pembaca perlu menghadirkan diri bahawa dia sedang bermunajat dengan Allah SWT dan membacanya dalam keadaan menyedari bahawa Allah SWT sedang melihat dan mendengar apa yang dibaca. Antara adab semasa membaca al-Quran ialah:

 

  1. Membersihkan mulutnya dengan bersiwak atau menggosok gigi sebelum membaca al-Quran.
  2. Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan berwuduk. Walau bagaimanapun harus membacanya dalam keadaan tidak berwuduk. Namun membaca al-Quran dalam keadaan bersih dan berwuduk adalah lebih afdhal.
  3. Menghadap qiblat. Disunatkan membaca al-Quran dengan menghadapkan diri ke arah qiblat serta membacanya dalam keadaan duduk dan tenang serta khusyuk.
  4. Beristiazah iaitu membaca “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم”
  5. Membaca basmalah iaitu ”بسم الله الرحمن الرحيم“ pada setiap permulaan surah, kecuali pada permulaan sarah al-Baraah atau surah al-Taubah.
  6. Khusyuk dan bertadabbur semasa membacanya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT melalui firmanNya : ”افلا يتدبرون القرآن“
  7. Menangis ketika membacanya. Keadaan ini merupakan sifat orang yang ‘Arif dan syiar bagi hambaNya yang soleh.
  8. Membaca dengan tartil. Para Ulama bersepakat bahawa membaca al-Quran dengan tartil adalah sunat.
  9. Apabila membaca ayat mengenai azab Allah SWT, maka dia disunatkan memohon perlindungan daripada azab tersebut dengan berkata: ““اللهم إني اسْالك العافية    atau اللهم اني أسالك المعافاة من كل مكروه“   “
  10. Menghormati al-Quran dengan tidak bercakap-cakap ketika membacanya kecuali perkara yang penting.
  11. Membacanya mengikut susunan surah dalam al-Quran.
  12. Mengamal dengan apa yang dibaca. Hal ini merupakan kemuncak kepada segala adab yang telah disebutkan sebelum ini.

 

Date of Input: 02/10/2018 | Updated: 02/10/2018 | fahmi_mukhid

MEDIA SHARING


Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468588
0389483742
C1539753795