SAHABAT RIDE 2017: RIADAH DEKATI KOMUNITI | PUSAT ISLAM
» BERITA » SAHABAT RIDE 2017: RIADAH DEKATI KOMUNITI

SAHABAT RIDE 2017: RIADAH DEKATI KOMUNITI

SERDANG 12 Nov - Program Sahabat Ride 2017 telah dianjurkan oleh Biro Sukan dan Riadah, Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Islam UPM yang bermula sejak jam 7.30 pagi. Program ini adalah kali pertama dianjurkan. Program kayuhan basikal ini melibatkan seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja dan mahasiswa UPM serta ahli kariah sekitar Serdang.

Pengarah program, Mohd Rizal Hussain, berkata program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwwah dalam kalangan ahli Sahabat Masjid UPM melalui aktiviti sukan dan pengamalan gaya hidup sihat. Kayuhan berbasikal ini dilakukan sejauh 15 kilometer bermula dari Fakulti Sains UPM serta mengelilingi kawasan Seri Serdang.

“Aktiviti pengedaran risalah Kempen Jom Solat Berjemaah turut dijalankan di sekitar kawasan tersebut bagi menyebarluaskan informasi kerohanian dan aktiviti yang dianjurkan oleh Sahabat Masjid UPM dan Pusat Islam UPM. Selain itu, kunjung ziarah juga turut dilakukan di kediaman Rustina Ghazali, balu kepada Allahyarham Saheh Said bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan khairat”, katanya.

Pengerusi Sahabat Masjid UPM, Bukryman Sabri pula berkata pelbagai pendekatan baharu sedang diteroka oleh pihak Sahabat Masjid UPM dalam usaha untuk membawa masyarakat kampus UPM dan kariah Serdang bagi bersama-sama mengimarahkan masjid UPM.

“Usaha ini telah mula menampakkan hasil dengan penglibatan pelbagai peringkat umur  dalam beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sebelum ini. Menjadi harapan kami Sahabat Masjid UPM agar Masjid UPM kembali menjadi tumpuan masyarakat setempat untjuk menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti kerohanian, ekonomi, sukan dan riadah”, katanya.

Menurut Pengarah Pusat Islam UPM, Mat Razi Abdullah, kayuhan berbasikal yang dijalankan di samping mendekati komuniti ini merupakan inovasi dakwah yang perlu disebarluaskan dan diperbanyakkan pelaksanaannya bagi melahirkan generasi yang bermanfaat untuk agama.

“Kita mahu masjid mendekati masyarkat. Kegiatan dakwah bukan hanya berlaku dalam masjid sahaja, malah boleh dibawa keluar ke lapangan supaya dapat memberi gambaran kepada masyarakat mengenai fungsi dan peranan masjid dari pelbagai sudut. Program ini akan diteruskan secara berkala untuk mendekati lebih ramai kelompok masyarakat terutamanya golongan belia yang tidak ramai mengimarahkan masjid”, katanya.

Program kayuhan berbasikal ini telah berakhir pada pukul 11.00 pagi dengan jayanya serta mendapat sokongan penuh daripada warga UPM dan masyarakat setempat.

 

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/sahabat-ride-2017-riadah-dekati-komuniti-1.756613

 

Kemaskini:: 14/11/2017 [fahmi_mukhid]

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468588
0389483742
C1532178452