LATAR BELAKANG | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ABOUT US » CORPORATE INFORMATION » LATAR BELAKANG

LATAR BELAKANG

LATAR BELAKANG 

Pusat Islam merupakan sebuah unit Hal Ehwal Islam yang ditubuhkan di kampus Universiti Putra Malaysia sejak tahun 1988.Peranan Pusat Islam ialah untuk menjalankan kegiatan pendidikan kerohanian dan aktiviti keagamaan kepada mahasiswa,staf serta masyarakat sekitar supaya melahirkan persefahaman di samping mewujudkan perasaan muhibbah di antara manusia.

Sejarah penubuhan telah mula dicetus semenjak tahun 1973.Walaupun projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga(1976-1980) namun ianya telah tidak dapat dilaksanakan kerna beberapa sebab seperti masalah tapak ,kekurangan peruntukan dan sebagainya.

Usaha menggerakan semula projek tersebut telah dijalankan mulai tahun 1979(semasa kajian Semula RMT).Ketika tindakan-tindakan tersebut sedang diambil,Kerajaan Pusat pada tahun 1982 telah membuat keputusan membekukan semua projek pembangunan Universiti kerana keadaan kemelesetan ekonomi negara pada masa itu.

Memandangkan keperluan sebuah Pusat Islam begitu mendesak sekali,Kerajaan Pusat pada tahun 1986 telah meluluskan projek tersebut untuk dilaksanakan dan dengan kelulusan itu kerja-kerja pembinaan telah mula dijalankan pada awal tahun 1987.Tapak pembinaan pusat Islam terletak di sebelah hadapan pintu masuk ke kampus Universiti UPM , lokasi ini amat sesuai kerana dapat menghubungkan kampus universiti secara langsung dengan masyarakat luar terutama Taman Sri Serdang selain daripada memudahkan umat Islam di sekitarnya datang menunaikan sembahyang fardu Jumaat bersama sama menunaikan solat fardu Jumaat .

Pusat Islam Universiti telah mengalami penstrukturan semula pada 1 Julai 2006. Beberapa PTJ diletakkan di bawah Entiti Pejabat Pendaftar iaitu Bahagian Keselamatan Universiti, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pusat Islam Universiti. Sehubungan itu, tanggungjawab Pejabat Pendaftar telah diperluaskan lagi meliputi aspek keagamaan dan kerohanian. Oleh itu, pelaksanaan operasi sistem pengurusan kualiti (SPK) adalah merangkumi kelima-lima PTJ tersebut yang diletakkan dibawah entiti Pejabat Pendaftar.

Pada tahun 2011, Universiti Putra Malaysia sekali lagi telah mengorak langkah bagi pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti(SPK): UPM Ke Arah Mencapai Satu Persijilan MS ISO 9001 Tahun 2011. Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) telah bersetuju meluluskan cadangan Universiti Putra Malaysia(UPM) ke arah mencapai satu persijilan MS ISO 9001:2008 dengan melantik Pendaftar sebagai Wakil Pengurusan. Satu persijilan ini merangkumi  semua proses utama Universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan sokongan. Pelaksanaan untuk mencapai satu persijilan MS ISO 9001:2008 mula digerakkan pada bulan Julai 2010 dan penguatkuasaan dokumentasi adalah pada 3 januari 2011. Sehubungan itu, Pusat Islam Universiti juga terlibat dan tidak terkecuali dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 Ke Arah Satu Persijilan.

Maka, peranan Pusat Islam Universiti dalam konteks perkhidmatan keagamaan dan kerohanian adalah menyeluruh dan semakin meluas serta sentiasa memenuhi permintaan pelanggan termasuk staf, mahasiswa dan masyarakat setempat. Bagi merealisasikan peranan Pusat Islam Universiti dalam pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kerohanian yang berkesan dan berkualiti maka perlu dibuat penstrukturan semula dari segi pentadbiran Pusat Islam Universiti bagi mengukuhkan perjawatan sediaada dan memantapkan pelaksanaaan tugas yang semakin berkembang agar ianya memenuhi perkhidmatan  kepada pelanggan. Justeru, Pusat Islam Universiti perlu mempunyai perancangan yang jitu dalam menyedia dan melaksanakan aktiviti dan program tahunan.

Pusat Islam Universiti dipertanggungjawabkan untuk menjalankan usaha-usaha pengimarahan masjid dan aktiviti keagamaan yang memberikan faedah kepada pemerkasaan sahsiah, intelek, emosi, mental, rohani dan jasmani untuk pelajar, staf dan secara umumnya untuk umat Islam setempat.

 

Program pemerkasaan secara bersepadu diterapkan dalam semua aktiviti Pusat Islam Universiti samaada berbentuk kelas pengajian, seminar, kursus, bengkel, forum dan seumpamanya yang mencambahkan pemikiran, minda dan dimanifestasikan dalam bentuk perlakuan dan perbuatan. Selaras dengan pelaksanaan pelan tindakan berkaitan dengan pelan strategi Universiti,  Pusat Islam Universiti juga akan menjalin hubungan erat dengan pelanggan dan pemegang taruh Institusi Masjid menerusi program dan aktiviti berkaitan seperti:  menambahbaik kursus tasawur Islam untuk pelajar, program memberi nilai tambah kepada kompetensi dan kemahiran insaniah dikalangan pelajar, program motivasi peningkatan integriti  kalangan staf, dan menambahbaik ikatan jaringan warga kampus dan ahli kariah bagi menerapkan budaya berbakti dan program amal jariah menerusi kelab Sahabat Masjid dan program pengimarahan masjid yang berkaitan.

 

Pusat Islam Universiti juga banyak menerima cadangan dan maklumbalas daripada pengunjung yang mana perkara ini lebih ketara bagi memenuhi keperluan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) dari sudut perkhidmatan yang diberikan dan kemudahan fasiliti yang disediakan untuk lebih berkualiti. Berikutan dengan pembinaan Komplek Mahasiswa serta lokasi Pusat Islam Universiti dan Masjid UPM yang hampir dengan kompleks kerajaan lain, khususnya Putrajaya dan Cyberjaya, maka ianya menjadi laluan dan tempat utama persinggahan daripada Putrajaya dan Kuala Lumpur. Masjid UPM juga telah menjadi tumpuan utama dan lokasi persinggahan serta menjadi pilihan sebagai tempat berjumpa (seperti R&R dan merupakan sebagai alternatif bagi R&R Serdang yang berhampiran). Oleh itu, penyediaan prasarana dan takwim tahunan perlu dirancang dengan berkesan agar ianya mempunyai kesinambungan dan terancang dalam pelaksanaan yang akan diadakan bagi merealisasikan citra dan hasrat universiti dalam mencapai misi, visi dan matlamat Universiti Putra Malaysia.

Updated:: 30/01/2022 [fahmi_mukhid]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
BWJXUAe~