Sejarah Penubuhan | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ABOUT US » HISTORY » Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan

SEJARAH PENUBUHAN MASJID UPM

Kompleks Pertanian Serdang telah dibuka oleh kerajaan sejak tahun 1922. sejak itu, lahirlah sebuah komuniti yang tinggal di kawasan tersebut. Namun demikian, tiada satu pun pembinaan masjid atau surau di sekitar kawasan tersebut. Hal ini berlarutan sehinggalah selepas tercetusnya zaman perang Dunia Kedua. Pada masa itu, penduduk-penduduk Islam di sini terpaksa memilih sama ada tidak mendirikan solat Jumaat atau pergi ke Sungai Besi di Kuala Lumpur dengan menaiki lori untuk bersembahyang Jumaat di sana. Hal ini disebabkan jumlah penduduk yang beragama Islam  masih kecil jumlahnya dan tiada seorang pun yang mahu membantu untuk mewujudkan masjid atau surau di sini. Keperluan membina sebuah Pusat Islam di kampus Universiti Putra Malaysia Serdang telah mula dicetuskan semenjak tahun 1973 lagi. berdasarkan hasrat untuk memenuhi keperluan tersebut suatu rancangan mengenainya telah dikemukakan kepada kerajaan. Walaupun projek ini telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga(1976-1980, namun ianya tidak dapat dilaksanakan ekoran beberapa faktor seperti masalah tapak,kekurangan peruntukan dan sebagainya.

Usaha menggerakkan semula projek tersebut telah dijalankan bermula pada tahun 1979 (semasa kajian semua RMT). Tindakan telah diambil untuk melantik para perunding bagi mendapatkan tapak daripada kerajaan Negeri Selangor dan memindahkan kawasan setinggan dari tapak tersebut. Ketika tindakkan sedang diambil, Kerajaan Pusat pada tahun 1982 telah membuat keputusan membekukan semua projek pembangunan Universiti kerana keadaan kemelesetan ekonomi pada masa itu. Memandangkan keperluan sebuah Pusat Islam begitu mendesak, Kerajaan Pusat pada tahun 1986 telah meluluskan projek tersebut untuk dilaksanakan dan dengan kelulusan tersebut, kerja-kerja pembinaan telah mula dijalankan pada awal tahun 1987.Tapak pembinaan Pusat Islam terletak di sebelah hadapan pintu masuk ke kampus Universiti Putra Malaysia(UPM) , lokasi ini amat sesuai kerana ianya dapat menghubungkan kampus universiti secara  langsung dengan masyarakat luar terutama komuniti Taman Sri Serdang serta memudahkan umat Islam di sekitarnya hadir menunaikan sembahyang fardhu Jumaat.

Pada tahun 1948 , apabila Tuan C.W Hartley bertugas di Serdang beliau telah menyokong ura-ura untuk mendirikan sebuah Surau untuk dijadikan sebagai tempat kaum muslimin berkumpul dan mendirikan sembahyang. Surau ini kemudian dijadikan Masjid sementara dengan mendapat izin daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Sebagaimana biasa bangunannya dibuat daripada kayu dan papan . Bagi memimpin ahli Masjid sementara ini, Tuan Hj Mukhti bin Ahmad Jamil telah dilantik menjadi Imam dan Khatib oleh Jabatan Islam Selangor serta diberi tauliah.

Dalam rancangan Pembangunan Lima tahun Pertama, Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan wang pembangunan sebanyak RM 25.000.00 dan penduduk-penduduk  sendiri mengumpulkan wang sebayak RM 13.000.00.Dari wang ini didirikan Masjid Kariah Serdang yang dibuka dengan rasminya pada tahun 1964 oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Sultan Selangor Darul Ehsan. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 ramai orang yang menggunakan Masjid sehingga keadaan menjadi sesak .Keadaan ini memaksa Jawatankuasa Masjid Serdang membina bangunan tambahan . Wang belanja mendirikan bangunan tambahan dikutip daripada derma orang ramai . Selain itu, dari konteks institusi, UPM merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Awam yang paling banyak memberikan bantuan kewangan,peralatan,tenaga kerja,kemudahan-kemudahan lain dan tenaga kepakaran.

Pertambahan ahli jemaah tetap melonjak terus dalam keadaan yang sangat pesat sehingga memaksa Jawatankuasa Masjid untuk memohon bantuan daripada kerajaan melalui beberapa saluran bagi membina sebuah Masjid baru dan besar. Tetapi cara ini telah tidak Berjaya. Oleh itu UPM telah mengambil inisiatif sendiri melalui projek pembangunan UPM di bawah Rancangan Malaysia. Usaha ini mula diperkasai oleh naib Canselor UPM pertama Y.Bhg. Prof Tan Sri Datuk Dr. Mohd Rashdan Bin Hj Baba dan Y.Bhg Prof. Dato Mohd Noor Ismail yang menjadi timbalan pada masa itu usaha diteruskan oleh naib canselor UPM yang kemudian Iaitu Y.Bhg Prof.Tan Sri Dato Dr Nayan Bin Ariffin dan dalam masa pentadbiran beliau, pembinaan bangunan Masjid ini dapat dimulakan iaitu pada tahun 1987 dan siap pada bulan julai 1989.

Masjid UPM ini terletak dalam sebuah kawasan seluas 9 Hektar dan merupakan sebahagian daripada kawasan kampus UPM Serdang. Dari segi Pentadbiran Masjid UPM diletakkan di bawah pentadbiran Pusat Islam iaitu sebuah pusat yang baru ditubuhkan di UPM pada 1 Oktober 1988. Kuasa untuk mentadbir Masjid ini didapati telah mendapat kebenaran khas daripada Majlis Agama Islam Negeri Selangor(JAIS). Bangunan Masjid UPM terdiri daripada dua tingkat .Tingkat bawah khas untuk lelaki dan tingkat atas khas untuk wanita dan secara keseluruhannya Masjid boleh menampung jemaah seramai 9500 orang pada satu masa.

 

Updated:: 24/07/2019 [fahmi_mukhid]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
C1568890980