Biodata Para Imam Al-Qiraat (as-Syatibiyyah) | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » Biodata Para Imam al-Qiraat (as-Syatibiyyah)

Biodata Para Imam al-Qiraat (as-Syatibiyyah)

Biodata Para Imam al-Qiraat (as-Syatibiyyah)

Imam Hamzah

           Nama sebenar beliau adalah Hamzah bin Habib bin ‘Amarah bin Ismail al-Kufi at-Tamimy dan diberi gelaran sebagai “Abu ‘Amarah”. Imam hamzah lahir pada tahun 80 Hijrah. Beliau merupakan salah seorang daripada imam Qiraat tujuh (syatibiyyah) di Kufah, Iraq. Beliau juga merupakan seorang penghafaz hadis, pakar dalam Bahasa Arab, pakar dalam ilmu Faraid serta setiap hujah-hujahnya boleh dipercayai. Imam ‘Asim telah mempelajari ilmu al-Quran (talaqqi) daripada Abi Muhammad Sulaiman bin Mahran, Abi Hamzah Hamran bin A’yaan. Abi Ishak ‘Amru bin Abdullah, Muhammad bin Abdul Rahman, Talhah bin Mashraf dan Abi Abdullah Jaafar as-Sodiq bin Muhammad Al-Bakir. Anak-anak murid yang telah mengambil bacaan daripada beliau adalah Ibrahim bin Adham, Husain bin Ali al-Ja’afi, Salim bin Isa, Yahya bin Ziyad dan Yahya bin Mubarak. Manakala, anak-anak murid Imam Hamzah yang termasyhur adalah Imam Kholaf dan Kholad. Beliau meninggal dunia pada tahun 156 Hijrah di Helwan, Iraq ketika berusia 76 tahun.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      Imam Kholaf (Perawi/ Anak Murid)

       Nama sebenar beliau adalah Kholaf bin Hashim bin Tha’lab bin Kholaf al-Asadi al-baghdadi al-Bazzar dan digelar dengan nama “Abu Muhammad”. Imam Kholaf dilahirkan pada tahun 150 Hijrah. Beliau merupakan seorang yang thiqah, zuhud, alim, kuat beribadat dan telah menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun. Imam Kholaf telah mengambil bacaan (talaqqi) bersama beberapa orang guru iaitu Salim bin Isa, Abdul Rahman bin Hamad dan Abi Zaid Said bin ‘Aus al-Ansari. Manakala, anak-anak muridnya  yang telah mengambil bacaan dari beliau adalah Ahmad bin Ibrahim, Ishak bin Ibrahim, Ibrahim bin Ali, Idris bin Abdul Karim dan Muhammad bin Ishak. Imam Kholaf meninggal dunia pada tahun 229 Hijrah di Baghdad.

Imam Kholad (Perawi/Anak Murid)

 

       Nama sebenar beliau adalah Kholad bin Khalid as-Syaibani dan digelar dengan nama “Abu ‘Isa”. Beliau dilahirkan pada tahun 119 atau 130 Hijrah.  Imam Kholad  merupakan seorang imam yang pakar dalam ilmu Qiraat, seorang yang thiqah, berpengetahuan tinggi, pandai bertaranum, dan seorang yang diyakini oleh masyarakat. Beliau berguru dengan Salim bin Isa dan Husin bin Ali.  Manakala anak-anak muridnya ialah Ahmad bin Yazid, Ibrahim bin Ali, Ali bin Husin, Ibrahim bin Nasrurrazi, Qasin bin Yazid, Muhamad bin Fadhil dan Muhamad bin Said. Imam Kholad meninggal dunia pada tahun 220 Hijrah.

  

Di antara Cara Bacaan (Manhaj) Imam Hamzah

 

1) Tidak membaca ‘basmalah’ (bismillahirrahmanirrahim)  antara dua (2) surah.

 

2) Menghazafkan ‘alif’ (membuang /baca dengan pendek tanpa harkat) pada perkataan  ”مالك“ di dalam surah Al-Fatihah.

 

3) Mengisymamkan huruf ‘sod’  pada kalimah (صراط)  dibunyikan seperti huruf ‘zai’ ( ز).

 

4) Mad Wajib Muttasil dan Mad Jaiz Munfasil dibaca dengan kadar 6 harkat.

 

5) Membaca ‘Saktah’ ( memberhentikan bacaan pada kadar dua harakat tanpa memutuskan nafas) pada kalimah شئ , ال dan saktah mafsul pada من ءامن

 

Date of Input: 17/07/2020 | Updated: 17/07/2020 | fahmi_mukhid

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
BUKSMAX:12:30