ERTI KEHIDUPAN YANG BAIK | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » ERTI KEHIDUPAN YANG BAIK

ERTI KEHIDUPAN YANG BAIK

ERTI KEHIDUPAN YANG BAIK

( Dipetik dari Kitab La Tahzan oleh: Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni)

 

Seorang cendekiawan Inggeris pernah mengatakan: “Meskipun anda berada di sebalik jeriji besi, anda masih boleh melayangkan penglihatan anda ke arah cakerawala dan mengeluarkan bunga dari sarangnya, kemudian anda mencium baunya yang harum dan tersenyum. Meskipun anda berada di dalam istana dengan mengenakan pakaian yang mahal dari sutera yang tebal dan yang tipis, anda boleh sahaja berdukacita atau marah dan mengamuk kerana emosi terhadap urusan rumah tangga, keluarga dan harta anda sendiri.

 

Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa kebahagiaan itu tidak terletak pada zaman atau tempat, tetapi  terletak pada keimanan, ketaatan kepada Allah Yang Maha Membalas dan berada di dalam hati kerana hati adalah subjek penilaian    Tuhan. Ketika di hati sudah tertancap sebuah keyakinan, maka akan muncul kebahagiaan yang akan mengalirkan kedamaian dan keteduhan ke dalam roh dan jiwa. Dari situ kebahagiaan itu berada di bukit-bukit, di lembah-lembah dan di atas pepohonan.

 

Imam Ahmad bin Hanbal hidup bahagia, padahal pakaian putih yang dipakainya penuh dengan tampalan yang dijahitnya dengan tangannya sendiri. Tempat tinggal yang dihuninya diperbuat daripada tanah liat yang hanya memiliki tiga buah bilik. Makanan yang dimakannya pun hanya sepotong roti dengan dilumur minyak zaitun. Adapun kasutnya sebagaimana yang  diperkatakan oleh para penulis biografinya telah berusia 17 tahun, yang dibuat dan dijahitnya sendiri. Dia memakan daging    hanya sekali dalam sebulan dan lebih banyak berpuasa. Dia datang dan pergi menjelajahi dunia dalam rangka mencari hadis. Sekalipun demikian, dia merasa kesenangan, tenang, mantap hidup tanpa bebanan dan memperoleh ketenangan kerana dia memiliki hati yang kukuh, cita-cita yang tinggi, mengetahui kesudahannya, mencari pahala dari Allah, meraih imbalan dan      beramal untuk akhirat dan merindukan syurga.

 

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah hidup seorang diri, tidak mempunyai keluarga, tidak mempunyai rumah, tidak mempunyai kekayaan dan pangkat. Dia hanya mempunyai sebuah bilik di sebelah bilik Masjid Jami’ Bani Umayyah, sebagai tempat tinggalnya, untuk makan seharinya hanya diperlukan secara bergantian. Kadangkala tidur di dalam masjid. Namun, seperti mana yang ia perkatakan dirinya, syurganya ada di dalam dadanya, kematiannya adalah syahid, penjara adalah tempat untuk merenung dan pengusiran dirinya adalah sebuah perjalanan pelancongan. Demikian itu, kerana pohon iman dalam kalbunya telah berdiri dengan kukuh di atas pokoknya yang selalu mendatangkan buahnya setiap waktu dengan izin Tuhannya kerana mendapat penyediaan tenaga dan pertolongan Rabbani.

 

Abu Dzar berangkat menuju Rabdzah dan di sana ia mendirikan khemah, lalu membawa isteri dan anak-anak puterinya tinggal di sana. Hari-harinya lebih banyak diisi dengan berpuasa, mengingati Tuhannya, bertasbih, beribadah, membaca kitabNya dan merenungkannya. Dia tidak memiliki kekayaan duniawi kecuali hanyalah sebuah khemah kecil untk berteduh, beberapa ekor kambing, sebuah piring besar,    sebuah mangkuk dan sebatang tongkat. Pada suatu hari teman-temannya datang mengunjunginya, lalu mereka bertanya: “Di mana harta duniamu?” Jawab Abu Dzar: “Di dalam rumahku hanya terdapat harta dunia yang aku perlukan saja. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita bahawa di hadapan nanti akan ada hambatan yang sukar yang tidak dapat dilalui, kecuali oleh orang yang meringankan dirinya (dari beban duniawi).”

 

Sesungguhnya Abu Dzar adalah seorang yang berlapang dada dan memiliki pola pemikiran yang menyejukkan. Yang dimilikinya hanyalah harta dunia yang diperlukannya sahaja. Adapun apa yang lebih daripada keperluannya, menurutnya hanyalah merupakan kesibukan, bebanan kesusahan dan kesedihan.

 

Dalam sebuah syair yang berjudul Abu Dzar di Abad Lima Belas Hijriyyah, disebutkan tentang pengembaraan Abu Dzar, kebahagiannya, penyediriannya, pengasingannya dan juga tentang hijrah rohani dan prinsip yang dilakukannya, seakan-akan dia sendiri yang menceritakan pengalamannya.

 

“Mereka memujukku, tetapi aku tolak ajakan mereka. Mereka menakutiku dengan kematian tetapi aku tetap bersikap tegas hingga aku ditinggal sendirian. Mereka menaikkanku tetapi aku turun untuk melanjutkan tekadku. Mereka menurunkanku tetapi aku naik meniti jalan kebenaran sendirian. Ku usir kematian yang datang hingga ia berpaling dan kematian berhasil kuhalau hingga tidak berdaya. Padang pasir meratapi keterasinganku seraya berkata: “Hai Abu Dzar, jangan kamu takut dan jangan pula berdukacita.” Ku jawab: “Tiada yang ku takutkan.” Keyakinanku sentiasa menyala dan tidak akan pudar selama diriku belum dimasukkan ke dalam tanah. Aku telah berjanji setia (untuk tetap kuat) kepada teman dan kekasihku (Nabi S.A.W) dan aku telah menimba banyak pelajaran dari cita-citanya.”

 

Oleh : Siti Rohani binti Muhamad

          Pusat Islam UPM

 

 

 

 

 

Date of Input: 01/04/2019 | Updated: 01/04/2019 | fahmi_mukhid

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
C1568890719