INDAHNYA ISLAM | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » INDAHNYA ISLAM

INDAHNYA ISLAM

INDAHNYA ISLAM

Nikmat Yang Perlu Disyukuri

Dalam kehidupan seharian bermula daripada saat kelahiran sehingga saat kematian, terlalu banyak nikmat yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Bermula daripada kita membuka mata ketika bangun daripada tidur waktu pagi sehinggalah kita mula menutup mata sekali lagi di waktu malam, jika dihitung dan diteliti nescaya tidak mampu kita menghitung segala nikmat yang Allah S.W.T kurniakan itu. Benarlah firman Allah S.W.T dalam surah al-Nahl, ayat 18 :

 

وإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ) )

Yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Nikmat yang dimaksudkan termasuklah nikmat kesihatan; nikmat penglihatan, pendengaran, nikmat kekeluargaan, nikmat keamanan, nikmat persahabatan, nikmat pekerjaan, nikmat kelapangan dan lain-lain lagi. Namun, sejauh manakah kita sedar mengenai segala nikmat itu? Malah adakah kita tahu bahawa antara nikmat yang banyak itu, apakah nikmat yang paling besar yang perlu kita syukuri?

Antara nikmat yang paling besar dalam kehidupan, yang perlu kita sentiasa syukuri ialah nikmat Islam dan Iman.  Namun, berapa ramaikah antara kita yang dilahirkan sebagai orang Islam menyedari hakikat nikmat ini? Kebanyakkan kita tidak             menyedari hakikat ini kerana kita dilahirkan dalam keadaan Islam seolah-olah kita mewarisi Islam itu daripada nenek moyang. Justeru kita kurang menghargai sesuatu yang diperoleh tanpa usaha yang gigih berbeza dengan mereka yang dilahirkan dalam keadaan bukan Islam. Mereka kemudian berusaha untuk memperoleh Islam itu dengan pelbagai usaha dan cara. Kita perlu      bersyukur dengan nikmat Islam ini, kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah S.W.T. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya dalam surah Surah A-li'Imraan, ayat 19 :

 

((إن الدين عند الله الإسلام

Yang bermaksud : Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Sehubungan dengan ini juga Allah S.W.T berfirman dalam surah yang sama, ayat 85 :

 ( وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسلام دِيناً فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ)

Yang bermaksud: “Dan barang siapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk dalam golongan orang yang lalai.”

 

Sebagai orang Islam, kita seharusnya memperbanyakkan kesyukuran kerana kita dipilih oleh Allah S.W.T daripada   berbilion manusia di atas muka bumi ini, dilahirkan sebagai muslim. Bukan sekadar itu, malah kita juga harus benar-benar  memahami hakikat agama Islam daripada semua segi konsepnya, rukunnya, dan syariatnya. Setelah memahami hakikat agama Islam, kita harus pula menghayati dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam syariat Islam itu sendiri. Malah lebih jauh daripada itu, kita mesti  berbangga dengan agama yang kita anuti ini. Hal ini kerana Islam merupakan agama yang syumul.     Kesyumulan Islam merangkumi kesemua aspek kehidupan yang terbina atas asas aqidah, syariat dan akhlak. Agama Islam juga bersifat Rabbani iaitu datangnya daripada Allah S.W.T yang tidak dapat dipisahkan daripada aspek ketuhanan. Syariat Islam juga sesuai dengan fitrah manusia dan tidak membebankan, malahan segala perintah Allah S.W.T terhadap hambaNya mampu  dilaksanakan oleh mereka dengan baik. Agama Islam juga sama sekali tidak memisahkan antara dunia dan akhirat. Dalam hal ini Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Qasas, ayat 77:

 

( وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا)

 

Maksudnya: “Dan carilah pada apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan  bahagianmu daripada dunia” Justeru, sebagai umat Islam kita perlu bersyukur di atas nikmat Islam ini kerana kita merupakan umat yang terpilih.Nikmat kedua yang perlu kita syukuri ialah nikmat kesihatan. Berapa ramai daripada kalangan kita lupa untuk bersyukur di atas nikmat kesihatan yang Allah kurniakan ini. Kita hanya akan menghargai nikmat itu setelah kehilangannya iaitu apabila kita jatuh sakit.

 

Oleh: Dr Pabiyah binti Hj Maming

Pensyarah Fakulti

Bahasa Moden & Komunikasi UPM

 

 

Date of Input: 01/04/2019 | Updated: 01/04/2019 | fahmi_mukhid

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
C1568891078