IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-134: BAGAIMANAKAH MENENTUKAN WAKTU BERBUKA DI DALAM KAPAL TERBANG | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-134: BAGAIMANAKAH MENENTUKAN WAKTU BERBUKA DI DALAM KAPAL TERBANG

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-134: BAGAIMANAKAH MENENTUKAN WAKTU BERBUKA DI DALAM KAPAL TERBANG

SOALAN

Saya merupakan seorang ahli perniagaan yang sering bermusafir dan sering keluar negara. Oleh sebab itu, saya memilih untuk berpuasa sahaja di dalam bulan Ramadhan. Bagaimanakah saya hendak berbuka puasa, adakah saya perlu mengikut waktu Kuala Lumpur, atau waktu tempat yang dituju, atau negara yang sedang dilalui oleh kapal terbang.

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan sebuah ayat yang disebutkan di dalam al-Quran selepas ayat yang memerintahkan kewajipan berpuasa, maka datang selepasnya firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Surah al-Baqarah:184)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini, menyebutkan bahawa barang siapa yang termasuk di dalam golongan yang disebutkan sebagai mukalaf, namun menghidapi penyakit atau sedang dalam permusafiran maka dibolehkan untuk berbuka dan menggantikan pada hari-hari selepas Ramadhan. Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran (2/138).

Maka, seperti yang disebutkan di atas, syariat memberi kebebasan bagi orang yang bermusafir untuk memilih sama ada untuk berbuka atau terus berpuasa.

Persoalan yang seterusnya ialah berkaitan waktu berbuka bagi mereka yang memilih untuk berpuasa, sama ada mengikut waktu negara asal, atau negara destinasi atau negara yang sedang dilintasi. Maka, dalam hal ini hendaklah difahami firman Allah SWT:

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);

(Surah al-Baqarah: 187)

Maka, berasal daripada ayat ini, perlu untuk difahami bahawa waktu iftar atau berbuka hendaklah apabila tibanya waktu malam. Hal ini jelas seperti mana yang hadith yang diriwayatkan oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: Jika malam menjelang daripada sini (arah timur) dan siang pergi daripada sini (arah barat), dan matahari terbenam, maka orang yang berpuasa hendaklah berbuka.

Riwayat al-Bukhari (1954)

Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa:

يَنْقَضِي الصَّوْمُ وَيَتِمُّ بِغُرُوبِ الشَّمْسِ بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ

MaksudnyaSelesai dan sempurnanya puasa itu dengan terbenamnya matahari seperti mana yang disepakati oleh seluruh orang Islam. Lihat al-Majmu’ (6/304)

Hal ini turut disebutkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam menjawab persoalan orang yang hendak berbuka puasa di udara, dengan menyebut bahawa:

الصائم المسافر جوًّا يفطر عندما تغيب الشمس عنده وفي النقطة التي هو فيها، ولا يفطر بتوقيت بلده أو البلد التي يمر عليها، بل عند غروب الشمس بكامل قرصها في عينه هو

Maksudnya: orang yang berpuasa yang sedang bermusafir di udara berbuka apabila tenggelamnya matahari pada penglihatannya, pada tempat dia sedang berada ketika itu, bukanlah berdasarkan waktu negara asalnya atau negara yang sedang dilaluinya, tetapi ketika tenggelamnya matahari keseluruhan lingkarannya berdasarkan pandangan matanya.

Maka jelaslah bahawa waktu berbuka itu berdasarkan tempat setiap orang yang berpuasa itu berada. Bukan berdasarkan waktu negara asal, negara yang dilalui apatah lagi negara yang dituju meskipun waktu-waktu tersebut dipaparkan secara tepat di dalam kapal terbang.

Oleh itu, hendaklah orang yang berpuasa memastikan bahawa waktu malam benar-benar telah masuk. Maka, para fuqaha’ menerangkan kaedah menentukan waktu malam berdasarkan situasi-situasi tertentu terutamanya sekiranya kapal terbang melalui kawasan yang menghalang untuk melihat matahari. Hal ini diterangkan oleh Ibn Daqiq al-‘Aidh:

وَالْأَمَاكِنُ تَخْتَلِفُ ، فَمَا كَانَ مِنْهَا فِيهِ حَائِلٌ بَيْنَ الرَّائِي وَبَيْنَ قُرْصِ الشَّمْسِ : لَمْ يَكْتَفِ بِغَيْبُوبَةِ الْقُرْصِ عَنْ الْأَعْيُنِ ، وَيُسْتَدَلُّ عَلَى غُرُوبِهَا بِطُلُوعِ اللَّيْلِ مِنْ الْمَشْرِقِ

Maksudnya: dan kedudukan (orang yang melihat matahari terbenam) berbeza-beza. Sekiranya di antara orang tersebut dan lingkaran matahari itu terhalang, maka tidak cukup dengan sekadar terbenamnya lingkaran matahari daripada pandangan mata, (hendaklah orang yang terhalang) mengambil bukti (telah masuknya waktu maghrib) dengan melihat datangnya waktu malam dari arah timur. Lihat Ihkam al-Ahkam (1/166).

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan bahawa waktu orang yang sedang berbuka bagi orang yang sedang berada di atas kapal terbang adalah berdasarkan datangnya malam yang dilihat dengan matanya sendiri atau diumumkan oleh anak kapal berdasarkan waktu semasa. Hendaklah sebolehnya menetapkan keyakinan dengan melihat menggunakan mata sendiri bahawa matahari telah terbenam dan hari telah bertukar malam.

Semoga kita diberikan taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin

 

 

Date of Input: 13/04/2023 | Updated: 06/02/2024 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEaHAG~