IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-55 : HUKUM NIAT AWAL SEBELUM HARI SEMBELIHAN KORBAN | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-55 : HUKUM NIAT AWAL SEBELUM HARI SEMBELIHAN KORBAN

IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-55 : HUKUM NIAT AWAL SEBELUM HARI SEMBELIHAN KORBAN

SOALAN

Salam Datuk. Adakah sah korban kita sekiranya kita niat korban lebih awal dari hari korban. Macam mana pula seseorang niat korban ketika akad jual beli binatang korbannya? Bagaimana pula bagi mereka yang mewakilkan sembelihan, ketika manakah perlu mereka niat? Mohon penjelasan. 

 

RINGKASAN JAWAPAN

Niat korban terhasil dengan dua cara iaitu:

  1.  Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.

Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:

  1.  Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
  2. Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
  3. Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
  4. Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.

 

 2. Orang lain berniat bagi pihak peserta korban kerana diwakilkan iaitu berlaku dalam dua keadaan:

  1. Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
  2. Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut bahawa niat itu mestilah dilaksanakan ketika sembelihan itu berlaku sekiranya belum ditentukan binatang yang akan dikorbankan.(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/133)[1]

 

Selain itu juga, Syeikh al-Ghamrawi menyatakan di dalam karyanya bahawa harus seseorang itu niat korban sebelum sembelihan berlaku, Namun, mestilah selepas ditentukan binatang yang akan dilaksanakan sebagai ibadah korban. (Rujuk: al-Siraj al-Wahhaj, 1/563)[2]

 

Tambahan pula, Syeikh al-Bujairimi menyebut di dalam kitabnya  bahawa sesiapa  yang mewakilkan kepada seseorang untuk sembelih sudah dikira sebagai niat. Begitu juga ketika wakil lakukan penyembelihan dan ketika serah binatang kepada wakil.(Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi, 4/340)[3]

 

Demikian juga,  seseorang yang menjadi wakil sembelihan, tidak wajib menyebut nama pemilik korban. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya:

وليس على الوكيل أن يقول عند الذبح عمن؛ لأن النية تجزئ

Maksudnya“Mereka yang menjadi wakil dalam sembelihan tidak wajib menyebut nama pemilik korban ketika sembelihan berlaku. Kerana memadai dengan niat daripada pemilik korban.”

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2737)

 

Namun, Syeikh al-Jamal menyebut bahawa sunat bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban menghadirkan niat ketika sembelihan berlaku (jika dia menyaksikan proses sembelihan). (Rujuk: Hasyiah al-Jamal ala Syarh al-Minhaj, 2/465)[4]

 

Selain itu, Jika dia mewakilkan (kepada seseorang) dan dia niat ketika berlaku sembelihan, maka sudah memadai niat itu. Hal ini sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya:

وَلَوْ وَكَّلَهُ وَنَوَى عِنْدَ ذَبْحِ الْوَكِيلِ كَفَى ذَلِكَ وَلَا حَاجَةَ إلَى نِيَّةِ الْوَكِيلِ بَلْ لَوْ لَمْ يَعْلَمْ الْوَكِيلُ أَنَّهُ مُضَحٍّ لَمْ يَضُرَّ

Maksudnya“Jika dia mewakilkan dan dia niat ketika berlaku sembelihan, maka sudah memadai niat itu. Tidak perlu kepada niat wakil sekalipun wakil itu tidak tahu bahawa dia adalah orang yang berkorban, ini tidak memudaratkan(hukum tetap sah).”

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/406)

 

KESIMPULAN

Niat korban terhasil dengan dua cara iaitu:

  1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.

Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:

  1. Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
  2. Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
  3. Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
  4. Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.

 

2. Niat oleh wakil iaitu berlaku dalam dua keadaan:

  1. Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
  2. Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.

 

[1](وَتُشْتَرَطُ النِّيَّةُ) لِلتَّضْحِيَةِ (عِنْدَ الذَّبْحِ) لِلْأُضْحِيَّةٍ (إنْ لَمْ يَسْبِقْ تَعْيِينٌ).

[2] Ù„كن المعتمد جواز تقديم النية في غير المعينة بعد تعيينها ودخول وقت التضحية على الذبح

[3] (وَإِنْ وَكَّلَ بِذَبْحٍ كَفَتْ نِيَّتُهُ) ‌أَيْ ‌الْمُضَحِّي ‌عِنْدَ ‌ذَبْحِ ‌الْوَكِيلِ أَوْ الدَّفْعِ إلَيْهِ أَوْ فِيمَا قَبْلَهُ

[4] ‌وَلَوْ ‌اسْتَنَابَ ‌فِي ‌ذَبْحِ ‌هَدْيِهِ أَوْ أُضْحِيَّتِهِ جَازَ وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَحْضُرَهَا صَاحِبُهَا عِنْدَ الذَّبْحِ

Tarikh Input: 27/06/2022 | Kemaskini: 27/06/2022 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXDcQAO~