PENGENALAN ILMU AL-QURAN DAN QIRAAT | PUSAT ISLAM
» ARTIKEL » PENGENALAN ILMU AL-QURAN DAN QIRAAT

PENGENALAN ILMU AL-QURAN DAN QIRAAT

PENGENALAN ILMU AL-QURAN DAN QIRAAT

Biodata Para Imam al-Qiraat

Imam Abu ’Amru

Nama sebenar beliau adalah Zabban bin al-‘Alaa bin ‘Ammar bin al-Mazani at-Tamimi al-Basri . Beliau  merupakan seorang imam di Basrah serta berketurunan Arab. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa Imam Abu Amru dilahirkan pada tahun 68 Hijrah dan setengah pendapat yang lain berpendapat pada tahun 70 Hijrah di Makkah. Di antara sifat peribadi beliau adalah     beliau merupakan seorang Qurra’ yang sangat dihormati dikalangan bangsa Arab serta mendapat pujian daripada kebanyakan      penyair di tanah Arab. Beliau membesar di Basrah dan berkunjung ke bumi Makkah al-Mukarramah serta Madinah al-Munawwarah    bersama ayahnya bagi mempelajari ilmu al-Quran dan qiraat (talaqqi) bersama beberapa orang guru. Imam Abu ‘Amru telah mempelajari al-Quran daripada Abi Ja’far, Syaibah bin Nasoh. Ramai anak murid yang telah mengambil bacaan daripada beliau dan yang termasyhur adalah Imam ad-Duri dan as-Susi. Beliau meninggal dunia pada tahun 154 Hijrah di Kufah, Iraq.                                                                                                        

- Imam ad-Duri (Perawi/ Anak Murid)

Nama sebenar beliau adalah Hafs bin Umar bin Abdul Aziz bin Subhan ad-Duri al-Azadi an-Nahwi al-Baghdadi. Beliau dikenali dengan nama “Abu Umar” disandarkan kepada perkataan “ad-Duri” dimana ianya merujuk kepada sebuah kawasan yang terletak di Baghdad. Beliau dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada tahun 150 Hijrah serta merupakan seorang Imam Qurra’ yang benar dan terawal dalam pembukuan Ilmu Qiraat pada zamannya. Sifat keperibadian Imam ad-duri adalah beliau merupakan seorang Qurra’ yang benar, pakar dalam bidang hadith serta menjadi tempat rujukan di kalangan masyarakat pada zamannya kerana ketinggian sanad dan ilmunya. Beliau telah mengambil bacaan (talaqqi) bersama beberapa orang guru, di antaranya ialah Imam Nafi’, Yaakob bin Jaafar, Ibnu jammaz, Abi Jaafar, Salim bin Hamzah, Yahya bin al-Mubarak al-Yazidi serta Abu ‘Amru al-Basri. Imam ad-Duri meninggal dunia pada tahun 246 Hijrah pada zaman Mutawakkal.

- Imam as-Susi (Perawi/Anak Murid)

Nama sebenar beliau adalah Soleh bin Ziyad bin ‘Abdullah bin Ismail bin Ibrahim al-Jarud. Nama “as-Susi” dinisbahkan kepada perkataan “Sus” dimana ianya merupakan sebuah kawasan yang terletak di Bandar al-Ahwaz. Beliau digelar sebagai “Abu Syuaib” serta merupakan Imam Qurra’ yang merdeka, dipercayai dan teliti terhadap setiap huruf yang terdapat di dalam al-Quran. Sifat keperibadian Imam as-Susi adalah beliau merupakan seorang Qurra’ yang kuat ingatan, dipercayai, paling tua di kalangan               sahabatnya serta rapat dengan gurunya. Beliau telah mengambil bacaan (talaqqi) daripada gurunya, Abi Muhammad Yahya Ibnu Mubarak al-yazidi. Imam as-Susi meninggal dunia pada tahun 261 Hijrah.

 

 

Tarikh Input: 01/04/2019 | Kemaskini: 01/04/2019 | fahmi_mukhid

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
B1566278914