REDHA TERHADAP MUSIBAH BERBUAH NIKMAT | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » REDHA TERHADAP MUSIBAH BERBUAH NIKMAT

REDHA TERHADAP MUSIBAH BERBUAH NIKMAT

Hadith :

عَنْ أَنَسِ بن مَالِك رضى الله عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( اِنَّ عِظَمَ الجَزَاءِ مَعَ عِظَمَ البَلاَءِ ، وَاِنَّ الله تَعَالَى اِذَا أَحَبَّ قَومًا اِبْتَلاهُمْ ، فَمَنْ رَضِي فَلَهُ الرِّضَا ، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ )).

Ertinya :  "Dari Anas b. Mālik r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Besarnya suatu pahala adalah tergantung dari besarnya ujian (dari Allah SWT). Dan sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai suatu kaum, Allah SWT menguji mereka. Maka siapa yang redha dengan ujian itu, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya. Dan siapa yang membenci (tidak redha) ujian tersebut, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya."

Takhrij Hadith : Hadith ini direkodkan oleh Imam al-Tirmidhī, Ibnu Mājah, Ahmad dan lain-lain daripada hadīth Anas b. Mālik r.a. Hadīth ini berdarjat Hasan ((حسـن. Hadīth ini dihasankan oleh Syeikh al-Albānī rahimahullah dalam kitabnya Sahīh al-Jāmi' al-Saghīr  ((صحيح الجامع الصغير, no. hadīth 2110.

Penjelasan : 

Rasulullah SAW mengajar dan mengingatkan umatnya menerusi hadīth tersebut bahawa segala musibah yang menimpa atau berlaku terhadap manusia merupakan ketentuan Allah SWT. Orang beriman perlu meyakini bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap ujian yang diberikan Allah SWT yang mana hanya Allah sendiri sahaja yang mengetahui rahsianya. Setiap Muslim mesti berfikiran positif dengan menganggap bahawa apa sahaja yang diberi atau ditentukan Allah SWT semuanya mendatangkan      kebaikan, kerana Allah SWT tidak sekali-kali  menzalimi hamba-Nya.

Mukmin beriman hendaklah bersikap redha kepada segala ketentuan Allah SWT walaupun pada zahirnya pelbagai musibah yang menimpa banyak membawa kesusahan kepada manusia, seperti kematian orang tersayang, kemalangan, penyakit, kesusahan dan seumpamanya.

Sebenarnya Allah memberikan pelbagai musibah adalah bertujuan untuk menguji, membersihkan, memilih, mendidik dan untuk menghapuskan kesalahan dan dosa. Pernahkah anda terfikir bahawa apa sahaja bentuk ujian atau musibah adalah bertujuan mengangkat darjat seseorang hamba di sisi Allah SWT, ujian adalah tanda cintanya Allah kepadanya, ingin memberi ganjaran   pahala yang besar, supaya kita belajar bersabar, juga sebagai pembersihan dosa jika ujian tersebut dilalui dengan solat dan penuh sabar.

Seseorang yang pada mulanya sentiasa lalai dari mengingati Allah SWT, lalu Allah SWT memberinya musibah  untuk                   menyedarkannya, lalu kemudian dia menjadi seorang hamba yang taat. Seseorang tidak akan dapat merasakan betapa besarnya nilai kenikmatan jika ia tidak mengalami bencana atau musibah.

Kenikmatan yang paling mahal dan manis adalah jika seseorang lebih dahulu merasai pahir getirnya musibah. Jika dirinya tidak lebih dahulu merasa kegetiran dan kepahitan, maka ia tidak akan  dapat merasai nikmat yang sedang ia perolehi. Bahkan ia akan merasa bosan sehingga akhirnya lupa yang ia sebenarnya sedang mendapat nikmat yang besar.

Namun, dengan kehadiran musibah dan kesedihan yang melanda dirinya, maka pada saat itu akan  membuatkan ia sedar dan insaf akan hari-hari kebahagiaan yang pernah ia kecapi sebelumnya. Sehingga ia dapat menghayati dan mengetahu betapa besarnya kenikmatan dan kebahagiaan tersebut, ia akan mengenggam erat-erat kenikmatan itu, mensyukurinya serta mengikatnya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Demikianlah bagi orang yang mengetahui dengan benar sunnatullah (ketentuan Allah SWT)  dalam perkara musibah;

Orang yang sihat tidak akan mengetahui nilai atau besarnya erti kesihatan kecuali jika ia sakit. Orang yang bebas tidak akan dapat mengetahui harga dan nilai satu kebebasan kecuali jika ia dipenjara. Demikian juga halnya, seseorang tidak akan merasakan bahawa ia sangat memerlukan air kecuali ia dalam kehausan. 

 

Oleh: Drs. Wan Aminurrashid Hj. W. Abd. Hamid

aminurr@upm.edu.my

Penulis merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Islam UPM

 

 

Date of Input: 01/06/2020 | Updated: 01/06/2020 | fahmi_mukhid

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
BUKSLAh:11:28