Latar Belakang Dan Fungsi Perkhidmatan | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» PENTADBIRAN » PEJABAT PENGARAH » Latar Belakang dan Fungsi Perkhidmatan

Latar Belakang dan Fungsi Perkhidmatan

PUSAT ISLAM dan Masjid merupakan institusi masyarakat yang sangat penting dalam Islam. Melalui institusi masjid, kepimpinan Islam boleh merancang, melaksana dan menggembeleng tenaga umat Islam setempat untuk menyumbang dan memajukan umat Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk aspek pembinaan rohani, akhlak dan pembangunan kehidupan masyarakat.

Bagi memastikan institusi masjid mampu berperanan secara  cemerlang, institusi ini perlu dipimpin, dan diurus tadbir dengan baik oleh mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah S.W.T. Ini bertepatan degan firman Allah SWT dalam al-Quran :

 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللهِ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا الله َ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

 Maksudnya :

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

               (Surah Al-Taubah : 18)

                                                             

Rasulullah s.a.w. ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda S.A.W ialah mendirikan masjid untuk dijadikan pusat pentarbiahan atau pendidikan dalam melahirkan generasi sahabat yang hebat.. Ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya berhijrah dari kota Makkah ke Kota Madinah, baginda singgah di suatu tempat yang dikenali sebagai Quba’. Di sinilah Rasulullah SAW membangunkan sebuah Masjid yang diberi nama Masjid Quba’ iaitu Masjid terawal yang telah dibina pada zaman Rasulullah SAW dan begitu juga ketika sampai di Madinah, Rasulullah membangunkan Masjid Nabawi. Rasulullah s.a.w. menjadikan masjid sebagai tempat untuk meningkatkan keimanan para sahabat Baginda. Dalam masa yang sama, Masjid juga digunakan sebagai tempat pembelajaran ilmu Islam, bukan hanya terhad tempat ibadah semata-mata tetapi merupakan pusat kegiatan dakwah Islam yang luas. Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa masjid memainkan peranan utama dalam pembangunan insan dan mempunyai kedudukan yang tinggi bagi umat Islam. 

 

Kerajaan pernah memperkenalkan konsep Masjid Rahmah bertujuan menjadikan institusi masjid terus berkembang mengikut arus pemodenan supaya tidak ketinggalan daripada kehendak semasa, namun tidak mengubah fungsi utama sebagai tempat beribadat. Rahmah yang merujuk kepada ramah, aman, harmoni, mesra pelanggan, alami atau go green dan hormat diharap menjadi satu pendekatan untuk menjadikan masjid sebagai pusat kecemerlangan umat Islam. Di dalam Al-Quran, kalimah ‘Rahmah’ diulang-ulang lebih 300 kali dan satu daripadanya daripada surah Al-Anbiyaa’ ayat 107 di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

 

Kalimah ‘Rahmah’ secara literal bermaksud kasih sayang yang mana ia bersifat universal dan merangkumi semua aspek kehidupan. Penghayatan syariat Islam secara keseluruhan dan sempurna akan melahirkan manusia berakhlak mulia yang membawa kepada kebaikan serta kemakmuran alam. Manifestasi rahmah buat sekalian alam, ditonjolkan oleh Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah SWT. melalui komunikasi harian dengan kanak-kanak, wanita, warga emas, anak yatim, haiwan, termasuk melalui perhubungan dengan masyarakat bukan Islam, dan hubungan diplomasi dengan negara luar.  Anas bin Malik RA berkata, “Tatkala kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, lalu kencing di dalam masjid. Lantas para sahabat Rasulullah berkata, "Berhenti! Berhenti!" Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Janganlah kamu mengherdiknya, biarkan dia." Maka, para sahabat pun membiarkannya sehingga dia puas kencing. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan bersabda bermaksud, "Masjid ini tidak sesuai dengan sesuatu perbuatan seumpama kencing dan kekotoran. Masjid ialah tempat untuk mengingati Allah, solat, membaca al-Quran,"atau seumpama itu yang dikatakan oleh Rasulullah. Anas berkata lagi, kemudian Rasulullah menyuruh salah seorang sahabat membawa air, lalu baginda mencurahkan air ke atas tempat kencing tadi." (Riwayat Muslim)

Begitulah contoh akhlak Rasulullah SAW yang ditunjukkan dengan jelas melalui nilai rahmah. Sehubungan itu, konsep rahmah yang diperkenalkan ini membawa maksud cukup mendalam bagi merealisasikan fungsi masjid yang sebenar. Pendekatan ini memberi fokus kepada empat komponen utama iaitu pengurusan organisasi, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran.

 

  1. Pengurusan organisasi

 

Ahli jawatankuasa masjid yang mempunyai kemahiran pengurusan yang tinggi dijangka akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan mampu melibatkan ahli kariah dalam usaha memakmurkan masjid. Peranan tersebut boleh dimainkan secara praktis dan lebih berkesan apabila pihak pengurusan masjid sudah mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan dalam mentadbir masjid. Sebagai contoh, pengurusan kewangan, dana dan harta memerlukan latihan dan kemahiran dalam bidang perakaunan.  Kemahiran-kemahiran lain juga perlu dimiliki seperti kemahiran merencana program yang dapat mendidik ahli kariah secara lebih berkesan. Justeru, ahli jawatankuasa masjid perlu berusaha memiliki kemahiran pengurusan yang strategik bagi memakmurkan masjid dalam suasana yang semakin mencabar.

 

Disamping itu, masjid berperanan untuk menyuburkan perpaduan ummah dan menanam nilai-nilai akhlak yang tinggi. Justeru, ahli jawatankuasa masjid hendaklah menunjukkan keperibadian yang baik, kepimpinan yang berwibawa dan pengurusan yang profesional. Kelemahan kita selalunya timbul berpunca daripada kurang kewibawaan jawatankuasa pentadbir masjid. Walaupun mungkin kecil tetapi jika diurus dengan baik, teratur dan profesional, pastinya ia akan memberikan impak yang baik kepada masyarakat.

 

 

  1. Pengimarahan masjid

Allah S.W.T telah menjelaskan empat (4) ciri utama golongan yang layak untuk mengimarahkan masjid yang mana ciri - ciri ini juga menggambarkan sifat dan keperibadian akhlak seorang muslim. Pertama, beriman dengan Allah, kedua beriman dengan Hari akhirat, ketiga mendirikan solat dan keempat menunaikan zakat. Maka jelas di sini, matlamat pengimarahan masjid adalah untuk mengajar manusia bertakwa kepada Allah S.W.T dan menjauhi segala bentuk maksiat,  meninggikan syiar Islam dan membimbing dan memberi peringatan kepada golongan lalai supaya kembali mentaati Allah S.W.T.

 

Masjid semestinya menjadi tempat memupuk semangat belas kasihan dan ihsan, ukhuwah, kasih sayang dan menghubung silaturrahim antara sesama mukmin. Justeru, masjid mestilah berperanan membantu masyarakat dari berbagai golongan. Kedudukannya sekarang sebahagian masjid mengharapkan bantuan dari anak kariahnya untuk masjid itu terus hidup dan berfungsi. Masjid sepatutnya berperanan membantu hal-hal kebajikan masyarakat seperti kebajikan pada fakir miskin, anak yatim, warga tua dan mereka yang tidak berkemampuan.

 

  1. Kemudahan Prasarana

 

Bagi  memenuhi  keperluan  cabaran  masyarakat  semasa  supaya terus  relevan  seharusnya  masjid  perlu  menyediakan  kemudahan teknologi, kemudahan riadah, kemudahan pusat rawatan kesihatan,  kemudahan masyarakat  setempat dan  kemudahan sebagai pusat  pendidikan bagi  memenuhi  keperluan  cabaran  masyarakat  semasa  supaya terus  relevan.   Masjid menjadi sebagai people friendly atau community centre. Dewasa ini, remaja yang berminat untuk mengunjungi masjid sangat kurang  kecuali  untuk  bersolat Jumaat  sahaja. Hal  ini  berlaku  kerana  mereka  menganggap masjid tidak lebih dari tempat untuk beribadat sahaja, tempat untuk golongan dewasa  kerana setahu mereka  program yang disediakan hanya  untuk  golongan  dewasa  dan  tiada  kaitan  dengan  remaja. Mereka juga merasakan bahawa mereka tidak layak untuk menjadi sebahagian  daripada  ahli  masjid,  maka  tindakan  yang  diambil adalah dengan menjauhkan  diri.  Ada segelintir  remaja perempuan merungut mengatakan  mereka takut ke masjid  disebabkan  mereka  tidak  bertudung  dan  berpakaian  yang  tidak  mengikut  piawaian yang  telah  ditetapkan  oleh  pihak  masjid,  akhirnya  mereka  tidak berani untuk  singgah ke  masjid walaupun untuk  bersolat.  Begitu juga dengan golongan OKU yang sukar untuk bersolat di masjid apabila tiada kemudahan OKU disediakan.

 

  1. Persekitaran

 

Lihatlah bagaimana Allah swt memuji amalan kebersihan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan akhirnya ia menjadi ciri-ciri utama golongan yang mengimarahkan masjid dan rumah Allah S.W.T. Persoalannya, di manakah tahap dan kualiti kebersihan masjid ketika ini? Amat malang, jika kebersihan masjid masih boleh dipersoalkan, tandasnya kotor dan menjijikkan, tanah perkuburannya pula penuh dengan semak samun dan persekitarannya tidak diuruskan dengan baik. Malah, amat memalukan kita sebagai umat Islam, jika tahap kebersihan masjid masih jauh ketinggalan berbanding rumah-rumah ibadat lain yang nyata jauh lebih bersih dan ceria. Sudah sampai masanya, fungsi masjid dikembangkan bukan sahaja tempat ibadat, malah mampu menyumbang kepada kelestarian hijau seperti program pengumpulan bahan kitar semula, mengumpul minyak masak terpakai atau penggunaan solar bagi penjimatan elektrik. Disamping itu, persekitaran masjid perlu ditanam pokok- pokok yang menyerap karbon dioksida.

 

Kesimpulannya, masjid hendaklah dikembalikan peranan sebagaimana yang selayaknya. Fungsi masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai program dan aktiviti menambahbaik pengurusan organisasi, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran. Oleh itu, pentadbir masjid berperanan mengurus masjid bagi menjayakan program pengimarahan dan takmir, menyelia kebersihan dalaman dan keceriaan persekitaran masjid. Rasa bersama dan semangat bekerjasama antara pengurusan masjid dan ahli kariah perlu disemai dan dipupuk agar impak program pengimarahan masjid dirasai oleh semua peringkat umur dan lapisan masyarakat Islam setempat, seterusnya merealisasikan fungsi masjid sebagaimana konsep Masjid Rahmah.

Updated:: 17/08/2021 [fahmi_mukhid]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
BUKSNAW~