DIMANA HADNYA KEBEBASAN BERFIKIR | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » DIMANA HADNYA KEBEBASAN BERFIKIR

DIMANA HADNYA KEBEBASAN BERFIKIR

Keupayaan berfikir merupakan satu fungsi akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

Melalui keupayaan tersebut, manusia dapat membuat pertimbangan yang rasional dan teliti sebelum melahirkan sesuatu pandangan, fakta, hujah dan sebagainya tanpa dipengaruhi oleh orang lain.

Kebebasan dalam berfikir juga turut berkait rapat dengan kebebasan lain seperti kebebasan bersuara, beragama dan lain-lain.

Kebebasan berfikir mampu memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada manusia. Antaranya dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat antara manusia melalui perkongsian dan pertukaran idea hasil dari kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing.

Di samping itu, ianya juga dapat mengasah pemikiran masyarakat khususnya umat Islam dalam menambah pengalaman dan membentuk keperibadian yang mulia.

Menurut Islam, setiap individu berhak malah perlu berfikir dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan sebelum membuat sesuatu keputusan yang selaras dengan kehendak Islam. Islam tidak melarang umatnya untuk berfikir secara bebas. Namun begitu, ianya tidaklah sehingga membawa kepada pemikiran yang di luar batasan keimanan kepada Allah SWT.

Jika dilihat dari sudut pandangan barat pula, lazimnya mereka menolak peranan agama dan mengklasifikasikannya sebagai tidak rasional dari segi saintifik.

Selain itu, mereka juga berpandangan bahawa kebebasan individu versi barat dianggap terbaik untuk masyarakat dalam aspek pemikiran.

Sikap terlalu menjadikan fahaman barat sebagai panduan dan sumber ilham menjadikan mereka tidak peka dengan budaya ketimuran.

Mereka malah menolak nilai ketimuran kerana nilai ini lazimnya berpaksikan ajaran agama dan nilai moral budaya setempat. Oleh itu, mereka terlalu selesa dengan pembawaan idea-idea yang dianggap progresif dalam diri masyarakat barat.

Kebebasan berfikir menurut perspektif Islam

quran being held hands close up

Secara universalnya, antara perkembangan terpenting pada diri seseorang manusia adalah pemikirannya dan telah menjadi satu fitrah bahawa keupayaan ini memerlukan kebebasan iaitu tidak ada sesuatu yang boleh menghalangnya.

Seseorang muslim mempunyai hak untuk berfikir dan memang perlu berfikir. Dalam pelbagai ayat, Allah SWT melalui al-Qur’an menyeru manusia untuk berfikir, merenung dan mengamati tentang alam seluruhnya.

Di samping itu, al-Qur’an juga menyarankan manusia agar mengenali diri sendiri dengan menggunakan kekuatan akal selain mengambil langkah untuk menuju ke arah kesempurnaan dari sebarang bentuk kejahilan, kesesatan dan kekufuran.

Berfikir merupakan satu persediaan dan kekuatan serta sentiasa berkembang di dalam diri manusia. Tanpa kebebasan ini, sudah tentu akan menjadi penghalang kepada perkembangannya.

Dalam hal ini, manusia mempunyai persediaan-persediaan yang lebih baik berbanding haiwan yang tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir seperti manusia. Dalam memastikan kebebasan berfikir sentiasa mematuhi kehendak Islam, maka beberapa garis panduan perlu diambilkira oleh setiap umat Islam.

white wooden arrow way direction 01
  • Berfikir dengan panduan Islam.

Dalam Islam, kebebasan berfikir perlu dibatasi dengan prinsip-prinsip syariah yang berteraskan sumber rujukan utama umat Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Hak-hak asasi manusia juga terikat dengan Maqasid al-Syariah dan tidak bertentangan dengan kepentingan masyarakat.

Maqasid al-Syariah dan dalil-dalil juga menyokong bahawa hak berfikir perlu dipelihara bertujuan melindungi harga diri dan manusia lain di samping memberi manfaat serta kebaikan untuk semua.

Kebebasan berfikir juga perlulah seiring dengan tuntutan iman dan batasan aqidah. Dalam hal ini, manusia boleh menggunakan kebebasan berfikir untuk menyatakan pandangan atau melontarkan pendapat selagi perkara tersebut tidak menyalahi agama.

Dalam waktu yang sama juga, Islam melarang manusia untuk berfikir perkara-perkara yang berada di luar kemampuan manusia (perkara-perkara ghaib) selain yang dijelaskan dalam ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

malaysia perak 4 march 2022 people listening friday sermon mosque

Manusia juga digalakkan untuk berfikir tentang kesan daripada tindakan yang terhasil daripada pemikiran.

Sekiranya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup atau ragu-ragu tentang kebenaran sesuatu perkara, al-Quran dan hadis menganjurkan kita supaya berdiam diri bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan salah faham.

Islam membenarkan kebebasan berfikir dan mencari ilmu serta penjelasan mengenai isi kandungan al-Quran, namun kebebasan berfikir ini perlulah berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dengan hak kebebasan berfikir, manusia dapat mengetahui antara yang benar dan yang salah. Sebagai contoh, manusia dapat mengetahui segala ciptaan Allah SWT melalui tadabbur dan kajian yang dilakukan terhadap ayat-ayat Al-Quran seperti ungkapan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud :

“Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.” (al Hijr : 19)

  • Berfikir dengan merenung segala ciptaan Allah SWT.
sunrise bali jungle

Islam menyeru seseorang muslim agar bersifat rasional, merenung dan berfikir tentang alam semesta yang dicipta oleh Allah SWT.

Al-Quran telah menerapkan aqidah melalui dorongan dan arahan terhadap akal manusia untuk berfikir dan menganalisa alam dengan bantuan pancaindera manusia.

Manusia dapat berfikir tentang kewujudan Allah SWT yang telah mencipta pelbagai kejadian alam yang sangat unik sebagaimana Allah SWT telah menjadikan gunung-ganang, lautan yang luas sehinggalah perkara yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia.

Firman Allah SWT bermaksud :

Maksudnya : “Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.” (Al-Hajj : 5)

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah menerangkan bagaimana berlakunya proses kejadian manusia sehinggalah kejadian hujan dan tumbuh-tumbuhan dengan sangat teliti agar umat Islam mengakui kekuasaan Allah SWT.

Selain itu, kebebasan berfikir dalam Islam juga boleh dilihat apabila para sahabat Rasullah SAW dan alim ulama memberikan idea dan pendapat mereka sendiri berpandukan al-Quran dan al-Sunnah setelah kewafatan Baginda.

Sebagai contoh, para sahabat memberikan pendapat mereka sendiri tentang khalifah yang harus dipilih sebagai pengganti Rasulullah SAW selepas Baginda wafat.

Di samping itu juga, Islam tidak menghadkan manusia berfikir dan memperoleh ilmu dengan kaedah tertentu sahaja serta tidak menetapkan manusia untuk berfikir dan mencari ilmu di tempat-tempat tertentu sahaja.

  • Berfikir sebelum bertindak.

Al-Quran juga menuntut agar umat Islam berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam hendaklah meneliti kebaikan dan keburukan serta manfaat dan kecelakaan dengan menggunakan kekuatan akal fikiran mereka sebelum melakukan sesuatu agar mereka tidak menyesal di atas keputusan atau tindakan mereka.

Hal ini kerana, sekiranya mereka bertindak secara terburu-buru, mereka akan membuat keputusan dan mengambil tindakan yang tidak sewajarnya serta menyebabkan berlakunya pertambahan masalah seperti perselihan faham dan pergaduhan antara sesama manusia.

Oleh yang demikian, umat Islam dituntut untuk berfikir bagi mengambil langkah menuju ke arah kebaikan dan mengelakkan diri mereka daripada melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.

  • Berfikir dalam lingkungan syariat Islam.
 
kid learning read quran

Setiap manusia hendaklah berfikir mengikut batas-batas syariat Islam dan memastikan perkara yang difikirkan itu tidak mendatangkan kesan negatif kepada diri seseorang.

Kebebasan berfikir pada perkara-perkara yang melibatkan hal-hal agama lain hendaklah dihadkan agar diri tidak didorong untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang agama itu sehingga boleh merosakkan akal untuk berfikir secara rasional.

Islam menetapkan agar umatnya sentiasa melakukan sesuatu perkara dengan garis panduan dan sempadan agar kehidupan manusia terjamin dari kerosakan dan ia boleh mendatangkan kebaikan, maslahat dan manfaat kepada diri sendiri.

Islam juga menekankan umatnya agar berfikir menggunakan akal dan minda yang dikurniakan oleh Allah SWT dan bukannya mengikut kata hati sahaja.

Terdapat sesetengah umat Islam yang tidak menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah ke arah kebaikan dan sentiasa berfikiran negatif.

Islam sangat mencela orang-orang seperti ini kerana mereka seolah-olah bisa disamakan seperti haiwan yang tidak mempunyai akal.

Firman Allah SWT bermaksud :

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raaf : 179)

Kesimpulan

Harga diri dan nilaian seseorang manusia di sisi Allah SWT terletak kepada iman, ilmu dan sifat taqwa yang dimilikinya. Ketiga-tiga elemen ini boleh dicapai dengan menggunakan anugerah Allah SWT yang paling tinggi untuk makhluk iaitu akal fikiran.

human head with light bulb creative idea imagination concept 3d illustration

Sebagai tanda kesyukuran hamba terhadap pemberian Allah SWT yang tidak ternilai ini, seseorang itu perlu menjaga, menggunakan dan memperkembangkan potensi akal ini dengan sebaik mungkin dengan menghidupkan budaya berfikir yang sihat di dalam kehidupan harian.

Intipati daripada ajaran Islam ini kemudiannya perlu dilanjutkan dengan usaha membangunkan dan memperkembangkan budaya berfikir Islam yang lebih mendalam yang sebaiknya dirangka dalam bentuk program bertindak yang lebih berkesan.

Manusia juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai membuktikan ketaatan kepada Allah SWT.

Meskipun kita diberi hak untuk berfikir, namun jelaslah hak itu perlu diguna pakai dengan baik kerana Allah SWT telah mengurniakan manusia akal fikiran bagi membezakan baik dan buruk.

Oleh itu, manusia perlulah menggunakan hak-hak tersebut untuk kebaikan dan manfaat untuk diri dan orang sekeliling. Islam sememangnya menyanjungi hak-hak asasi manusia tetapi perlu difahami, kebebasan yang diberi bukanlah bersifat mutlak dan ia perlu disertai dengan tanggungjawab.

Hak dan tanggungjawab manusia hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seiring dengan keperluan masyarakat dan negara.

Tarikh Input: 09/01/2024 | Kemaskini: 09/01/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdOAR~