FAHAMI ANTARA BATAS AGAMA DAN BUDAYA | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » FAHAMI ANTARA BATAS AGAMA DAN BUDAYA

FAHAMI ANTARA BATAS AGAMA DAN BUDAYA

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum, bahasa, dan agama dengan pelbagai adat resam dan budaya. Boleh dikatakan bahawa Malaysia juga adalah tempat di mana bertemunya agama-agama terbesar di dunia.

Kebiasaan yang didengari apabila umat Islam menyambut perayaan bagi agama lain, berlegar beberapa persoalan berhubung apakah hukum ‘menyerupai orang bukan Islam’ atau dalam bahasa Arabnya disebut ‘al-tasyabbuh bil kuffar’ membabitkan beberapa perbuatan yang asalnya adalah amalan agama lain.

Jika dilihat semasa permulaan agama Islam, masyarakat dari pelbagai budaya dan kawasan geografi memeluk Islam tetapi masih mengekalkan identiti budaya mereka. Mereka tidak menjadi “Arab” hanya kerana mereka menjadi Muslim.

Sebagai contoh, jika dilihat pada masa kini, bagi seorang Cina Muslim, perayaan Tahun Baru adalah peristiwa penting yang memaparkan identiti etnik dan budaya mereka. Malah pada hari ini, Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya dan bukan festival berasaskan ritual keagamaan.

38120

Oleh itu, bolehkah umat Islam merayakan Tahun Baru Cina? Jawapan ringkasnya adalah: ya. Islam ditegakkan bukanlah atas dasar kepercayaan yang terbatas pada satu entiti budaya. Ini adalah kepercayaan yang relevan untuk seluruh umat manusia menjangkaui masa, tempat dan etnik.

Jika dilihat dari sudut positif, kita akan dapati bahawa amalan ini sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan dan pengharmonian antara kaum di kalangan kepelbagaian etnik di Malaysia.

Bukan tujuan Islam untuk menghapuskan budaya atau adat sesuatu kaum, melainkan ia adalah untuk mengenal pasti dan menolak amalan yang menyalahi syarak, seperti upacara ritual keagamaan yang sememangnya bertentangan dengan syariat Islam. Pada hakikatnya, Nabi SAW tidak membuang semua amalan pra-Islam.

Kehadiran umat islam ke rumah terbuka perayaan agama lain sebenarnya akan membuatkan mereka rasa dihargai dan diraikan dan dalam masa yang sama perlulah menjaga adab dan tidak berkompromi dengan perkara-perkara yang melanggar syariat Islam.

Ini akhirnya akan membuatkan agama islam dipandang sebagai ajaran yang mengamalkan sikap toleransi dan sikap keterbukaan disamping menepis tanggapan bahawa Islam ialah agama yang jumud (beku) dan dapat menghapuskan Islamphobia yang melanda masyarakat dunia dewasa ini disamping sebagai medium dakwah kepada penganut agama Iain.

FW1323310 TR04 23082023 HARI KEBANGSAAN 960x640 1
Sumber imej: BERNAMA

Adalah menjadi keperluan kepada kita untuk memahami bahawa suasana masyarakat Malaysia ialah masyarakat yang terlalu variasi agama dan kepercayaannya. Memang menjadi hasrat kita untuk memupuk perpaduan antara kaum dan agama, namun tidaklah bermakna kita harus menafikan bahawa wujud perbezaan-perbezaan mutlak antara agama yang perlu ada sempadannya. Apatah lagi Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.

Sebaliknya, dengan kita lebih memahami perbezaan inilah maka kita akan lebih hormat-menghormati antara satu sama lain dan kita akan lebih berjaya mendekati mereka seterusnya menyampaikan dakwah Islam dengan lebih berkesan.

Hadis sahih daripada Baginda SAW melalui pelbagai jalur periwayatan antaranya daripada Abdullah ibn Umar yang menegah menyerupai kaum kafir: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

 (Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini jika difahami secara umum seolah membawa maksud apa sahaja amalan yang kita tiru menyerupai kaum lain khususnya bukan Islam, maka kita juga menjadi sebahagian daripada mereka dan kafir.

Fahaman sebegini salah dan tidak merujuk kepada syarah atau tafsiran ulama muktabar berhubung mafhum sebenar hadis itu.

Tokoh hadis dan imam Mazhab Shafie, Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki (wafat 974 hijrah) dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dalam bab al-Riddah (Murtad) menyebut, menyerupai kaum kafir terbahagi kepada tiga hukum.

  • Pertama, apabila ada unsur reda dengan kekafiran mereka atau berniat menyerupai syiar agama mereka maka hukumnya haram dan jatuh kafir.
  • Kedua, apabila ada unsur meninggikan syiar agama bukan Islam, tetapi tiada niat reda dengan kekufuran mereka, tidaklah jatuh kafir tetapi hukumnya berdosa.
  • Ketiga, apabila tiada niat menyerupai sama sekali, maka hukumnya harus.
329438ed7414841e5bc9709c19630ecd
Sumber imej: malaysiakini

Daripada syarah Imam Ibn Hajar al-Haytami itu dapat difahami menyerupai kaum kafir itu ada yang diharamkan dan ada diharuskan. Diharamkan dalam Islam apabila kita meniru, menyerupai amalan atau perbuatan membabitkan amalan khusus ajaran agama bukan Islam dan meninggikan syiar agama mereka.

Meraikan sambutan agama lain bukanlah dari budaya Islam asalnya, namun ia tidak salah selagi mana tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak. Sambutan tersebut sudah pasti bukan menyamai atau menyaingi perayaan yang disyariatkan Islam kerana yang disyariatkan hanyalah Aidilfitri dan Aidiladha sahaja.

Bagaimanapun, ketika di sana ada keperluan dan maslahah yang lebih besar untuk umat Islam turut mengambil apa yang baik daripada amalan masyarakat bukan Islam, maka ia dibenarkan apabila menepati syarak iaitu ia bukan syiar agama orang kafir dan amalan khusus yang menjadi amalan mereka.

still life crucifix held hand 1

Perkara berkaitan agama adalah antara isu-isu yang disepakati bersama sebagai isu sensitif yang tidak boleh dipermainkan. Bahkan jangan sesekali diperkecilkan kerana ianya hanya membangkitkan kegelisahan rakyat, mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Semoga Allah swt terus mencurahkan rahmat kedamaian dan kesejahteraan dalam masyarakat kita dan membimbing kita kepada perkara yang menyenangkan-Nya dan mengurniakan rahmat kepada kita. Allah yang lebih mengetahui.

Secara tuntasnya, umat Islam perlu mengetahui dengan jelas sesuatu amalan itu sama ada ia sebahagian daripada kebudayaan sesuatu kaum atau upacara keagamaan mereka. Umat Islam dibolehkan untuk turut serta dalam mana-mana perkara yang melibatkan adat budaya sesuatu kaum atau etnik dengan syarat ia tidak bercanggah dengan syariah Islam. Namun umat Islam dilarang untuk terlibat sama sekali dalam perkara yang berkaitan dengan upacara keagamaan bukan Islam.

Tarikh Input: 05/03/2024 | Kemaskini: 05/03/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdKAH~