Hayati Semangat Dan Falsafah Maulidur Rasul | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Hayati Semangat Dan Falsafah Maulidur Rasul

Hayati Semangat Dan Falsafah Maulidur Rasul

Ditulis oleh Mastura binti Mohd Zain. Diterbitkan logo-artikel

Alhamdulillah kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Cinta baginda telah pun mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1400 tahun dahulu sehingga membuatkan kekasih Allah ini  terlalu istimewa untuk umatnya.

Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini..

Allah SWT berfirman: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”    (Surah al-Anbiya’, ayat 107).

Kelahiran (Maulid) Nabi adalah sebesar-besar rahmat Allah kepada alam dan manusia keseluruhannya. Rahmat ini ada dalam akidah, muamalah, akhlak, malah dalam semua bidang kehidupan.

Rahmat ini tidak hanya terbatas untuk manusia pada zaman baginda sahaja, tetapi ia meluas ke sepanjang sejarah manusia seluruhnya. Memperingati, menyambut, merayakan dan membesarkan Maulidur Rasul adalah amal yang merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah di samping meluahkan ungkapan kebahagiaan dan kecintaan kepada Rasulullah .

Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu dasar dan rukun keimanan.

Sebagaimana sabda Rasulullah :

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya dan anaknya serta manusia keseluruhannya.”

Tidak hairanlah sambutan ini diadakan saban tahun kerana ketika saat ini peluang dakwah juga dapat dimaksimumkan terutamanya ketika menyambut Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul semestinya mensasarkan objektif untuk mengajarkan mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang alpa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta memperbetulkan mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.

Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Ini juga merupakan intipati dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.

Golongan muda khususnya, harus didedahkan dengan keistimewaan dan kepentingan menyambut dan menghayati sambutan Maal Hijrah agar ia tidak akan menjadi hanya satu budaya semata-mata.

Mereka sepatutnya menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW untuk lebih mengenali dan mencintai kekasih agung nabi Muhammad SAW agar kita dapat menjadi penyambung risalah nabi untuk ummah ini.

Rahmat yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya adalah rahmat kehadiran Rasulullah. Imam As-Suyuthi memberi pendapat tentang perayaan Maulidur Rasul di dalam Al-Hawi li al-Fatawa dengan katanya:

“Menurutku, asal perayaan Maulid Nabi, iaitu manusia berkumpul, membaca Al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan Nabi, menampakkan kesukaan dan kegembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya berbalah tentang sambutan Maulidur Rasul kerana ia sememangnya perkara yang baik untuk dilakukan. Janganlah kita hanya tertumpu kepada perkara yang remeh temeh kerana ia bakal merugikan umat Islam sendiri.  

Bagaimanapun, melahirkan rasa cinta kepada Baginda SAW bukan hanya sekadar  berarak dengan membawa sepanduk semata-mata. Ia sepatutnya lebih daripada itu dengan menghayati semangat dan roh di sebalik sambutannya.

Maka, selaku kita yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik.

Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam segenap aspek kehidupan agar  kehidupan kita akan diberkati dunia dan akhirat.

Tarikh Input: 26/09/2023 | Kemaskini: 26/09/2023 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdEAd~