HUTANG : HAK YANG AKAN DITUNTUT DI AKHIRAT | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » HUTANG : HAK YANG AKAN DITUNTUT DI AKHIRAT

HUTANG : HAK YANG AKAN DITUNTUT DI AKHIRAT

Berhutang merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam kepada penganutnya bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Panduan telah diletakkan oleh para ulamak kepada penghutang dan pemiutang supaya kemudahan yang diberikan oleh Islam ini tidak disalahgunakan.

Islam menganggap hutang merupakan suatu amalan yang dibenarkan ketika wujud keperluan dan kepentingan. Namun Islam tidak menggalakkan berhutang jika bertujuan untuk hidup bersenang-lenang dan bermewah-mewah.

Rasulullah SAW pernah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi daripada bebanan hutang dengan sabdanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh A’isyah Radhiallahu Anha:

“Ya Allah!, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang”, lalu bertanya seseorang kepadanya; “Alangkah banyaknya doa engkau meminta jauh dari hutang?”, maka baginda menjawab; “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mungkiri.”

 (Riwayat al-Bukhari).

Doa Rasulullah tersebut menunjukkan bahawa berhutang merupakan amalan yang kurang sihat jika tidak diuruskan dengan sebaiknya kerana boleh menyebabkan seseorang yang berhutang itu bercakap bohong ketika berbicara dan memungkiri janji apabila berjanji. Justeru, kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha menjauhinya dengan sedaya mungkin.

side view business man calculating finance numbers

Sejak akhir-akhir ini kita melihat amalan berhutang telah menjadi kebiasaan sebahagian anggota masyarakat hari ini. Malah amat mendukacitakan apabila mereka yang berkemampuan juga turut berhutang dengan anggapan ia menjadi kaedah terbaik bagi mencapai keuntungan dan mendapat kekayaan.

Anggapan buruk ini telah melahirkan ramai individu yang sebenarnya berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam urusan jual beli sekalipun hanya melibatkan pembelian barangan runcit dan keperluan dapur mereka sahaja.

Mereka melakukan demikian dengan sangkaan bahawa pembayaran tunai akan membawa kepada kerugian dan menyusahkan.

Melihat gaya hidup pengguna pada hari ini, maka salah satu desakan kepenggunaan yang semakin hangat diperkatakan adalah budaya berhutang bentuk baru iaitu penggunaan kad kredit.

Maklumat Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati golongan eksekutif muda antara yang turut terperangkap dalam pengisytiharan muflis kerana gagal melunaskan hutang kad kredit.

credit cards that are stacked neatly together
  • Keadaan ini amat dibimbangi dan perlu diberi perhatian serius memandangkan mereka termasuk dalam golongan usia produktif. Yang pasti, ramai pengguna kini sedang bergelut dengan masalah hutang kad kredit kerana tidak berfikiran jauh dan mudah terpedaya dengan “kebahagiaan sementara” yang dijanjikan oleh kad plastik elektronik itu.

    Kemudahan menggunakan kad kredit bukan setakat di pasar raya besar, bahkan juga di restoran dan gerai menjual pakaian. Pengguna mudah terpedaya dengan promosi jualan murah sehingga tidak menyedari sudah menggunakan kad kredit secara berlebihan akhirnya memerangkap diri sendiri.

    Pengguna seperti ini diibaratkan pengguna yang “tidak mengukur baju di badan sendiri” ketika berbelanja. Segelintir umat Islam pada hari ini tidak mengambil berat mengenai pembayaran balik hutang. Justeru kita melihat bagaimana ramainya peminjam yang enggan membayar hutang.

    Contohnya hutang-hutang pinjaman pendidikan, perumahan, kenderaan, pinjaman daripada syarikat atau pinjaman peribadi samada dengan institusi kewangan mahupun secara orang perseorangan dan juga liat membayar sewa.

    Bahkan ada yang menganggap membayar balik hutang-hutang tersebut adalah perkara remeh dan tidak penting. Malah ada juga yang rela digelar muflis asalkan tidak perlu membayar hutang yang menimbun. Marilah sama-sama kita merenung sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu:

    “Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak adalah zalim”.

    (Riwayat al-Bukhari).

    Rasulullah SAW juga pernah menggambarkan mengenai golongan manusia yang sengaja tidak mahu membayar hutang. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    Barangsiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun barangsiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya”.

    (Riwayat al-Bukhari).

top view islamic new year with quran book

Ingatkah kita dengan kisah bagaimana Rasulullah menolak untuk menyolatkan jenazah yang tidak melangsaikan hutangnya? Walaupun sesetengah ulama’ menganggap keengganan Rasulullah ini berlaku pada awal permulaan Islam, namun ia tetap membuktikan perhatian dan penekanan Islam terhadap isu hutang.

Bukan itu sahaja golongan yang mati syahid pun, yang sanggup mengorbankan harta dan jiwa mereka untuk Islam turut tidak terlepas daripada kewajipan ini jika masih mempunyai hutang. Hadis daripada Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang.”

(Riwayat Muslim).

businessman saving money

Sebagai panduan umat Islam yang perlu diambil perhatian berkaitan hutang adalah:

  • Umat Islam hendaklah meyakini bahawa orang yang sengaja tidak membayar hutang yang dibuatnya akan dituntut dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.
  • Umat Islam hendaklah memahami bahawa berhutang adalah satu bentuk muamalat dalam Islam yang mempunyai syarat-syarat yang wajib dipatuhi bagi mengelak berlakunya tuntutan di akhirat nanti.
  • Umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa amalan suka berhutang tanpa sebab yang kukuh akan menjerumuskan pelakunya ke dalam kebinasaan.

Oleh itu, marilah kita menyedari tentang pentingnya untuk setiap orang membayar hutang masing-masing, baik kepada negara, individu dan lain-lainnya demi menjaga kepentingan masyarakat, agama dan negara.

(Disunting dari Khutbah Jumaat yang pernah diterbitkan oleh JAIS)

Tarikh Input: 27/12/2023 | Kemaskini: 27/12/2023 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdGAY~