IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-776: ADAKAH HUKUM FARAID TIDAK ADIL? | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-776: ADAKAH HUKUM FARAID TIDAK ADIL?

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-776: ADAKAH HUKUM FARAID TIDAK ADIL?

Soalan

Assalamualaikum, saya pernah dengar ada sesetengah orang cakap yang hukum berkaitan harta pusaka dalam Islam ini tidak adil kerana banyak beri kelebihan kepada orang lelaki. Benarkah begitu? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan Jawapan

Dakwaan bahawa hukum faraid tidak adil adalah tidak wajar dan mungkin dakwaan tersebut dibuat kerana kurangnya kefahaman terhadap syariat Islam secara menyeluruh yang melibatkan hak dan tanggungjawab. Tambahan lagi, mereka juga mungkin kurang memahami hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan faraid ini.

Bahagian lebih banyak yang diberikan kepada lelaki datang dengan tanggungjawab yang besar. Ini adalah kerana, lelaki perlu menanggung nafkah untuk isteri, anak-anak dan kaum kerabat yang lain. Oleh itu, adalah wajar dan adil untuk mereka mendapat bahagian yang lebih banyak berasaskan tanggungjawab tersebut.

Huraian Jawapan

Tidak dinafikan bahawa isu yang sentiasa dibangkitkan berkenaan pusaka adalah waris lelaki sering mendapat kelebihan kerana mendapat bahagian yang lebih banyak berbanding waris-waris wanita. Hal ini dilihat oleh sebahagian orang sebagai satu diskriminasi terhadap wanita. Natijahnya, tidak sedikit orang yang mentohmah dan merendah-rendahkan hukum faraid dan menyatakan hukum faraid ini sudah tidak relevan pada zaman sekarang.

Bagi menjawab kepada persoalan yang menjadi polemik tersebut, maka perkara pertama yang perlu difahami adalah dengan memahami asal usul pensyariatan hukum faraid. Kami datangkan firman Allah SWT seperti berikut:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Surah an-Nisa’ (7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Rujuk Tafsir Maqatil Bin Sulaiman 127/5; Tafsir al-Tabari 597/7; Tafsir al-Maturidi 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam 237/10)

Terdapat sebuah kajian yang menyatakan bahawa golongan wanita telah diiktiraf dalam Islam dengan diberikan taraf ahli waris yang sah dan mempunyai kadar tetap tertentu dalam harta pusaka. Daripada 12 golongan ahli waris ashab al-furud, 8 daripadanya adalah untuk wanita. Beliau turut menyatakan bahawa kedatangan Islam turut melakukan beberapa pembaharuan yang lain seperti berikut:

  • Hak pusaka mempusakai adalah berasaskan kepada hubungan nasab (kerabat), akad perkahwinan, wala’ dan Islam.
  • Tidak menafikan hak dalam pusaka antara lelaki dan perempuan, kecil atau besar, di mana semua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh pewaris (si mati).
  • Ibu bapa dan anak-anak tidak digugurkan daripada menerima harta pusaka dalam apa keadaan sekalipun. Kemungkinan kadar bahagian mereka dalam pusaka boleh berubah sekiranya terdapat ahli -ahli waris yang lain.
  • Saudara-saudara lelaki dan perempuan tidak akan menerima harta pusaka sekiranya ada dua ibu bapa si mati. Kewujudan saudara-saudara boleh mengurangkan bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6.
  • Apabila wujud ahli waris lelaki dan perempuan dalam satu kes, ahli waris lelaki akan mengambil dua bahagian ahli waris perempuan, atau dua bahagian untuk ahli waris lelaki dan satu bahagian untuk ahli waris perempuan.

Selain itu, terdapat pelbagai hikmah syariah membezakan kadar bahagian antara lelaki dan perempuan dalam hukum pusaka. Antaranya adalah:

  1. Keperluan dan hajat seorang wanita sebenarnya mencukupi. Ini adalah kerana nafkah mereka ditanggung oleh suami, ayah, adik beradik lelaki dan kaum kerabat yang lain. Sebagai contoh, seorang lelaki wajib memberi mahar kepada isterinya serta memberi nafkah dari sudut tempat tinggal, makanan dan pakaian. Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada isteri bahkan kepada anak-anak juga.
  2. Wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun. Berbeza dengan lelaki, mereka perlu menanggung nafkah bagi ahli keluarga dan kaum kerabat. Tanggungjawab kewangan lelaki lebih banyak, maka mereka lebih memerlukan duit untuk memenuhi tanggungjawab tersebut.

(Rujuk al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah h.18-19)

Melihat kepada hikmah ini, terserlahlah kewajaran mengapa bahagian lelaki lebih besar berbanding wanita. Semakin banyak tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh seseorang maka secara logik akalnya adalah adil untuk dia mendapat bahagian yang lebih banyak.

Dalam masa yang sama, seorang lelaki perlulah bersikap amanah dan cakna terhadap tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Adalah salah sekiranya seorang lelaki menyalahguna atau mengabaikan tanggungjawab mereka setelah mendapat bahagian mereka. Oleh itu, bahagian yang diperoleh hendaklah digunakan dengan sebaiknya.

Kesimpulan

Dakwaan bahawa hukum faraid tidak adil adalah tidak wajar dan dakwaan tersebut berkemungkinan dibuat kerana kurangnya kefahaman terhadap sistem Islam secara menyeluruh yang melibatkan hak dan tanggungjawab serta kefahaman mengenai hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan faraid.

Bahagian lebih banyak yang diberikan kepada lelaki datang dengan tanggungjawab yang besar. Ini adalah kerana, lelaki perlu menanggung nafkah untuk isteri, anak-anak dan kaum kerabat yang lain. Oleh itu, adalah wajar dan adil untuk mereka mendapat bahagian yang lebih banyak.

Wallahualam.

 

 

Tarikh Input: 11/09/2023 | Kemaskini: 06/02/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdLAN~