IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-793: WANITA BERNIAT PUASA NAZAR KEMUDIAN DIDATANGI HAID, PERLU QADA PUASA ATAU TIDAK? | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-793: WANITA BERNIAT PUASA NAZAR KEMUDIAN DIDATANGI HAID, PERLU QADA PUASA ATAU TIDAK?

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-793: WANITA BERNIAT PUASA NAZAR KEMUDIAN DIDATANGI HAID, PERLU QADA PUASA ATAU TIDAK?

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, sekiranya seorang wanita telah berniat untuk melakukan puasa nazar pada hari tertentu kemudian pada hari tersebut dia didatangi haid. Justeru, adakah dia perlu qada semula puasa tersebut atau kewajipannya sudah terangkat kerana waktu nazar tersebut telah berlalu. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Sekiranya wanita bernazar puasa pada hari tertentu tanpa memperincikan tarikhnya, maka dia bebas untuk memilih mana-mana hari seperti yang dinazarkan. Namun, jika dia bernazar puasa dengan menyatakan secara tepat hari dan tarikhnya, maka dia wajib berpuasa pada hari berkenaan tanpa diawal atau dilewatkan. Akan tetapi, sekiranya dia kedatangan haid justeru ia dimaafkan dan puasanya wajib diqada selepas ia suci daripada haid.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi nazar menurut fiqh adalah keterikatan atau kewajipan yang ditetapkan seorang muslim mukalaf yang rasyid (bijak melaksanakan) untuk melakukan ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah SWT, selagi mana ibadat tersebut bukan fardu ain dan termasuk dalam kategori ibadat sunat atau fardu kifayah.

Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya“Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan mentaati Allah SWT, hendaklah dia taat kepada-Nya. Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan melakukan maksiat kepada-Nya, janganlah dia menderhakai-Nya.

(Riwayat al-Bukhari)

Syeikh Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa nazar boleh terjadi dalam beberapa keadaan:

  • Pertama, seseorang bernazar untuk meninggalkan sesuatu perkara atau melakukan sesuatu perkara, dalam keadaan ia menyertakan kaffarah (denda) apabila nazar itu tidak dilaksanakan. Jenis ini dinamakan sebagai nazar
  • Kedua, ia disebut sebagai nazar tabarrur; iaitu melakukan ibadat nazar tanpa mengaitkan kepada sesuatu perkara atau melakukan ibadat nazar yang tergantung pelaksanaannya pada suatu perkara sebagai tanda kesyukuran apabila diberi nikmat atau terhindar ia daripada bencana.

Merujuk kepada persoalan di atas, seorang wanita telah niat untuk berpuasa nazar pada hari yang ditentukan namun apabila tiba pada hari berkenaan dia telah didatangi haid.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya seseorang telah bernazar untuk berpuasa, maka dia disunatkan bersegera untuk melakukan nazarnya. Akan tetapi, perbuatan menyegerakan puasa tersebut tidaklah diwajibkan bahkan dia bebas untuk memilih mana-mana hari yang diinginkan kecuali ketika bulan Ramadan.

Jika seseorang itu telah bernazar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu namun tidak dinyatakan secara tepat, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari seperti yang dinazarkan. Contohnya, sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari khamis namun tidak dinyatakan dengan terperinci sama ada pada hari khamis minggu ini atau minggu hadapan, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari khamis yang diinginkan. Malahan jika telah berlalu hari khamis pada minggu ini dan dia masih belum menunaikan nazarnya, tuntutan kewajipan puasa itu masih kekal dalam tanggungannya sehinggalah dia meninggal dunia.

Berbeza pula keadaannya apabila puasa nazar itu telah ditentukan harinya secara tepat. Menurut jumhur ulama, tidak sah puasanya sebelum sampai pada hari yang dinazarkan seperti mana tidak sah solat sebelum masuk waktunya. Begitu juga diharamkan jika dia sengaja melewatkan puasanya tanpa sebarang keuzuran syar’ie seperti musafir atau sakit. Puasanya setelah daripada waktu yang ditentukan adalah sah dan dianggap sebagai puasa qadha.

Syeikh Zakaria al-Ansari juga menyatakan bahawa jika seseorang bernazar puasa pada setiap hari isnin, justeru puasanya tidak perlu diqada pada hari isnin yang jatuh ketika bulan Ramadhan kerana ia tidak termasuk dalam nazarnya. Begitu juga hukum tersebut teraplikasi apabila puasa nazarnya terkena pada dua hari raya, hari-hari tasyrik dan wanita yang didatangi haid dan nifas.

Kesimpulan

Wanita yang bernazar untuk melakukan puasa pada hari tertentu perlu merujuk kembali pada niatnya. Jika dia bernazar puasa pada hari tertentu tanpa memperincikan tarikhnya, maka dia bebas untuk memilih mana-mana hari seperti yang dinazarkan. Manakala, jika wanita tersebut bernazar puasa dengan menyatakan secara tepat hari dan tarikhnya, maka dia wajib berpuasa pada hari berkenaan tanpa diawal atau dilewatkan. Akan tetapi, sekiranya dia tidak mampu berpuasa disebabkan kedatangan haid justeru ia dimaafkan dan puasanya wajib diqadha selepas ia suci daripada haid.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan: 

Zainuddin Ahmad bin Abdul Aziz al-Malbariy. Fath al-Muin. (t.tp: Dar ibn Hazm, t.tt). Hlm 312.

النذر: Ø§Ù„تزام مسلم مكلف رشيد: قربة لم تتعين نفلا كانت أو فرض كفاية

Al-bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. Ed: Mustafa Dib al-Bugha. (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, 1993). Jld 6. Hlm 463. No hadis 6318.

 Zakaria al-Ansari, Zakaria bin Muhammad bin Ahmad. Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Thullab. (t.tp: Dar al-Fikr, 1994). Jld 2. Hlm 252.

والنذر ضربان نذر لجاج بأن يمنع أو يحث أو يحقق خبرا غضبا بالتزام قربة كإن كلمته فعلي كذا وفيه ما التزمه أو كفارة يمين ولو قال فعلي كفارة يمين أو نذر لزمته ونذر تَبَرُّرٍ بِأَنْ يَلْتَزِمَ قُرْبَةً بِلَا تَعْلِيقٍ كَعَلَيَّ كذا أو بتعليق بحدوث نعمة أَوْ ذَهَابِ نِقْمَةٍ كَإِنْ شَفَى اللَّهُ مَرِيضِي فعلي كذا

 Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf. Raudhah al-Talibin. Ed: Zahir al-Syawisy. (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991). Jld 3. Hlm 308.

إِذَا لَزِمَهُ صَوْمُ يَوْمٍ بِالنَّذْرِ، اسْتُحِبَّ الْمُبَادَرَةُ بِهِ، وَلَا تَجِبُ الْمُبَادَرَةُ، بَلْ يُخْرِجُ عَنْ نَذْرِهِ بِأَيِّ يَوْمٍ كَانَ مِمَّا يَقْبَلُ الصَّوْمَ، غَيْرَ رَمَضَانَ.

Ibid.

وَلَوْ نَذَرَ صَوْمَ خَمِيسٍ وَلَمْ يُعَيِّنْ، صَامَ أَيَّ خَمِيسٍ شَاءَ. فَإِذَا مَضَى خَمِيسٌ وَلَمْ يَصُمْهُ، اسْتَقَرَّ فِي ذِمَّتِهِ، حَتَّى لَوْ مَاتَ قَبْلَ الصَّوْمِ، فُدِيَ عَنْهُ.

 Ibid.

وَلَوْ عَيَّنَ فِي نَذْرِهِ يَوْمًا كَأَوَّلِ خَمِيسٍ مِنَ الشَّهْرِ، أَوْ خَمِيسِ هَذَا الْأُسْبُوعِ، تَعَيَّنَ عَلَى الْمَذْهَبِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ، فَلَا يَجُوزُ الصَّوْمُ قَبْلَهُ، وَإِذَا تَأَخَّرَ عَنْهُ، صَارَ قَضَاءً، فَإِنْ أَخَّرَ بِلَا عُذْرٍ، أَثِمَ، وَإِنْ أَخَّرَ بِعُذْرِ سَفَرٍ أَوْ مَرَضٍ، لَمْ يَأْثَمْ

 Zakariyya al-Ansari, Zakariyya bin Muhammad. Asna al-Mathalib fi Syarh Raud al-Thalib. (t.tp: Dar al-Kitab al-Islamiyy, t.t). Jld 1 hlm 583.

(فَصْلٌ، وَلَوْ نَذَرَ صَوْمَ) ÙŠÙŽÙˆÙ’مِ (الِاثْنَيْنِ) Ù…َثَلًا (أَبَدًا لَمْ يَقْضِ أَثَانِينَ رَمَضَانَ) Ù„ِعَدَمِ دُخُولِهَا فِي النَّذْرِ(وَكَذَا) Ù„َا نَقْضِي أَثَانِي (الْعِيدَيْنِ وَأَيَّامِ التَّشْرِيقِ وَالْحَيْضِ) ÙˆÙŽØ§Ù„نِّفَاسِ

 

 

Tarikh Input: 28/08/2023 | Kemaskini: 06/02/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdNAQ~