IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-799: KAEDAH PENGURUSAN RANGKA MANUSIA YANG TIDAK DIKETAHUI ASAL USUL AGAMANYA | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-799: KAEDAH PENGURUSAN RANGKA MANUSIA YANG TIDAK DIKETAHUI ASAL USUL AGAMANYA

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-799: KAEDAH PENGURUSAN RANGKA MANUSIA YANG TIDAK DIKETAHUI ASAL USUL AGAMANYA

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Di sini saya ada soalan ingin diutarakan. Di sekolah kami terdapat rangka manusia yang digunakan untuk subjek biologi dan rangka tersebut kini berusia sekitar 60 tahun. Pihak sekolah bercadang untuk tidak menggunakan rangka ini lagi namun terdapat sedikit kesukaran memandangkan rangka ini diimport daripada luar negara dan tidak diketahui asal usul agamanya. Mohon pencerahan daripada asatizah berkenaan dengan hal ini.

Ringkasan Jawapan:

Tatacara pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul status agamanya ialah mengambil hukum pengurusan mayat yang dijumpai di sesuatu negara atau tempat. Berdasarkan hukum syarak, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan. Pertama, jika dikenal pasti bahawa rangka itu datang dari negara Islam, maka cara pengurusannya adalah mengikut cara pengurusan jenazah orang Islam yang melibatkan mandi, kafan, solat dan pengebumian cara Islam. Kedua, jika telah dikenal pasti rangka tersebut berasal dari negara bukan Islam maka ia dihukumkan sebagai kafir dan cara pengurusannya adalah mengikut cara pengurusan mayat orang bukan Islam.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Tubuh badan manusia merupakan jasad yang mulia di sisi Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Firman-Nya:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Tafsiran ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT memuliakan anak Adam dan kemuliaan ini ialah melalui ciptaan menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baik kejadian.Tambahan lagi kemuliaan ini dikuatkan lagi dengan hukum fiqh yang tidak menghukumkan najis ke atas jasad manusia yang mati baik jasad tersebut Islam mahupun kafir. Oleh itu, setiap jasad atau juzuk anggota daripada manusia perlu ditanam kerana menghormati kemuliaan dan kedudukan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kemuliaan manusia diiktiraf di dalam Islam baik ketika hidup mahupun mati. Bahkan sekiranya menemui jasad atau sebahagiannya, maka dituntut supaya tanam jasad tersebut.

Dalam permasalahan pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul dan status agamanya, perkara ini perlu diurus dengan cara pengurusan mayat yang ditemui terdampar pada sesuatu tempat. Hal ini merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Sheikh ‘Ali al-Ansari dalam karangannya:

‌لو ‌وجد ‌ميت أو بعضه، ولم يعلم أنه مسلم أو كافر؛ فالحكم فيه كالحكم في اللقيط: إن وجد في دار الإسلام عومل معاملة المسلمين، وإن وجد في دار الشرك ولا مسلم فيها فكالكفار

Maksudnya: “Sekiranya terjumpa mayat atau sebahagian jasadnya dan tidak diketahui sama ada dia itu orang Islam atau kafir, maka hukumnya seperti hukum bagi orang yang terdampar. Jika dia dijumpai di negara Islam, dia diurus dengan pengurusan orang Islam. Sekiranya ditemui di negara kafir dan tiada orang Islam dalamnya maka hukumnya adalah seperti hukum orang kafir”

(Rujuk Kifayat al-Nabih fi Syarh al-Tanbih: 5/118)

Berdasarkan kenyataan di atas, permasalahan ini boleh diurus dalam dua hukum atau mengikut keadaannya iaitu dengan mengenal pasti dari negara mana rangka tersebut didapati dan kaedahnya adalah:

  1. Rangka manusia dari negara Islam: rangka tersebut dihukum sebagai rangka dari jasad orang Islam dan pengurusannya hendaklah mengikut tatacara pengebumian orang Islam iaitu melibatkan mandi, kafan,solat dan dikebumi di tanah perkuburan Islam.
  2. Rangka manusia dari negara bukan Islam: rangka tersebut dihukum sebagai kafir kerana ia datang dari negara bukan Islam dan pengurusannya mengikut pengurusan jasad orang bukan Islam iaitu boleh dibalut dan ditanam terus tanpa perlu kapan dan solat.

                                    

Kesimpulan:

Tatacara pengurusan rangka manusia yang tidak diketahui asal usul status agamanya ialah mengambil hukum menguruskan mayat yang dijumpai di sesuatu negara atau tempat. Berdasarkan hukum syarak, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan. Pertama, jika dikenal pasti bahawa rangka itu datang dari negara Islam, maka cara pengurusannya adalah mengikut cara pengurusan jenazah orang Islam yang melibatkan mandi, kafan, solat dan pengebumian cara Islam. Kedua, jika telah dikenal pasti rangka tersebut berasal dari negara bukan Islam maka ia dihukumkan sebagai kafir dan cara pengurusannya adalah mengikut cara pengurusan mayat orang bukan Islam.  

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

Ibn Kathir, Ismail bin Umar. 1419H. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tahkik: Muhammad Husain Syams al-Din. Ed 1, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. 5/89.

ويخبر تَعَالَى عَنْ تَشْرِيفِهِ لِبَنِي آدَمَ وَتَكْرِيمِهِ إِيَّاهُمْ فِي خَلْقِهِ لَهُمْ عَلَى أَحْسَنِ الْهَيْئَاتِ وَأَكْمَلِهَا

 Al-Syibini, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1431H. al-Iqna‘fi Hil Alfaz Abi Syuja‘. Tahkik: Maktab al-Buhuth wa al-Dirasat. Beirut: Dar al-Fikr. Jld 1 hlm 29.

وَقَضِيَّة التكريم أَن لَا يحكم بِنَجَاسَتِهِ بِالْمَوْتِ وَسَوَاء الْمُسلم وَغَيره

 

Tarikh Input: 17/10/2023 | Kemaskini: 06/02/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdEAm~