IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 46: HUKUM UPAH KORBAN DALAM BENTUK DUIT | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 46: HUKUM UPAH KORBAN DALAM BENTUK DUIT

IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 46: HUKUM UPAH KORBAN DALAM BENTUK DUIT

Soalan

Assalamualaikum, saya tahu bahawa tidak boleh menjadikan daging korban sebagai upah kepada penyembelih. Namun, timbul persoalan bagaimana pula jika penganjur memberikan sagu hati atau upah dalam bentuk wang kepada penyembelih ini? Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Hukum memberi upah atau saguhati dalam bentuk wang kepada penyembelih adalah diharuskan dengan syarat wang tersebut dibayar daripada duit penganjur sendiri.

 

Huraian Jawapan

Seorang penyembelih haiwan korban dilarangan untuk mengambil upah daripada bahagian haiwan korban. Dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali berkata:

‌أَمَرَنِي ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌أَنْ ‌أَقُومَ ‌عَلَى ‌بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا، قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.”

Riwayat Muslim (1317)

 

Oleh itu, hadis di atas menjadi dalil kepada haram untuk seorang penyembelih mengambil upah daripada haiwan korban tersebut. Namun begitu, upah atau saguhati  boleh diberikan kepada penyembelih dengan syarat mesti daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban sendiri. (Rujuk Ma’alim al-Sunan 158/2; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 65/9)

 

Pihak masjid atau penganjur juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat. Kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut. Begitu juga kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti kos pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan. Rujuk juga artikel kami yang lepas dalam IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 16: HUKUM MEMBERIKAN DAGING KORBAN SEBAGAI UPAH PENYEMBELIH

 

Kesimpulan

Hukum memberi upah atau saguhati dalam bentuk wang kepada penyembelih adalah diharuskan dengan syarat wang tersebut dibayar daripada duit penganjur sendiri.

 

Wallahualam.

Tarikh Input: 30/06/2022 | Kemaskini: 30/06/2022 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdLAW~