RAKYAT MAHU PEMIMPIN BERINTEGRITI URUS NEGARA | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » RAKYAT MAHU PEMIMPIN BERINTEGRITI URUS NEGARA

RAKYAT MAHU PEMIMPIN BERINTEGRITI URUS NEGARA

Pemimpin adalah tonggak utama dalam masyarakat, tetapi ketua berintegriti tidak mudah untuk ditemui. Pemimpin berintegriti pada asasnya pasti mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab dan Amanah perlu dicurah kepada rakyat.


Selain itu, personaliti yang baik sebagai pemimpin amat berperanan besar mencorakkan kehidupan sesebuah masyarakat. Namun, pemimpin yang baik adalah mereka yang menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan utama dalam kepemimpinannya.


Apabila kita sebut kepemimpinannya, sudah tentu kita mahu seseorang pemimpin memiliki sifat dan sikap terpuji seperti Amanah, jujur, berintegriti,dan berkarisma.
Fiman Allah SWT di dalam Surah Al-Anfal, ayat ke-27 bermaksud: “Wahai orang beriman. Jangan kamu mengkhianati amanah Allah dan rasul-Nya, serta kamu jangan mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya”.


Amanah memberi maksud luas, bukan sahaja bersikap jujur dan benar, malah mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas untuk dilaksanakan.
Amanah adalah sikap berkait rapat dengan kepercayaaan dan melambangkan tahap keimanan seseorang. Pemimpin hebat memiliki wawasan dan matlamat untuk membawa kemajuajn kepada negara serta kesejahteraan rakyat.


Hari ini, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), kita tidak mahu pemimpin dibutakan dengan jawatan disandang dan mengaibkan amanah dipertanggungjawabkan untuk kepentingan diri, keluarga serta kroni.
Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab umat Islam mengambil berat dalam soal pemilihan pemimpin. Dalam konteks Malaysia, umat Islam perlu membabitkan diri memilih pemimpin ‘tepat’ dan ‘kuat’ melalui pilihan raya.


Miliki ketajaman pemikiran


Tepat dan kuat bukan bermaksud dari segi fizikal sahaja, tetapi sesorang pemimpin itu harus kuta ketajaman pemikiran dalam kepemimpinan. Sebagai contoh, apabila pemikiran pemimpin lemah, sudah tentu ancaman atau kemudharatan akan menggugat kestabilan sesebuah pentadbiran.


Justeru, kita mahu pemimpin kuat untuk mengelak kelemahan dalam mengatur masa depan organisasi atau lesu buah fikiran dalam menghadapi cabaran semasa serta kekurangan idea dalam mengendali urus tadbir sesebuah negara.


Oleh yang demikian, personbaliti pemimpin juga merujuk kepada kemampuan sesorang mengambil peranan mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan. Setiap pemimpin memiliki sifat jujur dan berintegriti dapat memberi kepercayaan sepenuhnya dalam kepemimpinan.


Ketidakjujuran bukan sahaja menyakiti diri sendiri, malah menyakiti orang lain. Justeru, pemimpin perlu sentiasa memupuk kejujuran dan integriti walau di mana mereka berada.
Pemimpin yang pragmatis, berkarisma dan beriman sudah tentu dapat membuta keputusan lebih baik, komunikasi terbuka dan juga mewujudkan persekitaran positif.
Kesimpulannya, rakyat pula, khususnya umat Islam mesti bersatu memilih atau menjadi pemimpin yang sentiasa ada sikap tanggungjawab, amanah, kuat dan jujur supaya ia menjadi mercu kekuatan perpaduan serta kesejahteraan masyarakat dalam negara kita.

Tarikh Input: 05/01/2023 | Kemaskini: 05/01/2023 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdIAT~