Sejarah Dan Maksud Di Sebalik Sambutan Maal Hijrah | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Sejarah Dan Maksud Di Sebalik Sambutan Maal Hijrah

Sejarah Dan Maksud Di Sebalik Sambutan Maal Hijrah

Setiap tahun kita akan menyambut sambutan tahun baharu hijrah, atau Maal Hijrah, atau Awal Muharram, namun korang semua faham tak maksud, dan sejarah di sebalik sambutan Maal Hijrah? 

Secara asasnya, sambutan Maal Hijrah disambut sebagai tanda memperingati peristiwa Nabi Muhammad SAW dan sahabat yang berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, dan berkembangnya umat Islam dan tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Susulan peristiwa hijrah, menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan, sekali gus ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak dengan batil. Keistimewaan Muharam perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’

Hijrah merupakan perkara penting kerana bukan sekadar perpindahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah, ianya turut memberi impak kepada kewujudan surah Makkiyah dan Madaniyah di dalam al-Quran.

Dalam tradisi kehidupan orang Arab, mereka tidak ada ketetapan bilangan tahun, sebaliknya kiraan hanya mengikut bulan seperti Safar, Rejab dan Rabiulawal yang berlaku sekian lama serta berterusan. Namun, selepas kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengajar tentang kepentingan untuk memiliki penanda tarikh, tetapi waktu itu masih belum wujud bilangan tahun.

Maka, sejarah takwim Islam sebenarnya hanya bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab RA pada 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah.

PERMULAAN TAKWIM ISLAM

Apabila pengaruh Islam mula berkembang luas ke seluruh pelosok negara Arab, termasuk di Basrah, Iraq. Umar menghantar surat kepada gabenor di Basrah, iaitu Abu Musa al-Ashaari dan ketika membalas semula, antara ungkapan yang disebut adalah ketidakpastian sama ada dihantar pada Syaaban tahun sebelumnya atau pada tahun berkenaan.

Sekaligus dilihat secara mendalam sebagai suatu perkara yang boleh menimbulkan implikasi kepada tadbir urus sesebuah negara. Justeru, Umar ingin melakukan inovasi supaya urusan pentadbiran dapat dimantapkan, sekali gus lebih tersusun, cekap dan telus.

Hasil perbincangan dengan sahabat lain, muncul pelbagai pandangan berbeza mengenai bagaimana untuk memulakan kalendar Islam. Umar waktu itu mendengar pelbagai cadangan, termasuk mengambil kira tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan detik Baginda diangkat menjadi Rasul.

Namun, pendapat yang diterima dan disepakati Umar bersama Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abu Talib RA, adalah mengira kalendar Islam bermula detik hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

MUHARAM BULAN ALLAH

Kefahaman mengenai kemuliaan Muharam juga perlu diketahui hingga ia diambil sebagai bulan pertama dalam takwim Islam. Berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari, ia antara empat bulan haram, iaitu dimuliakan dan ini dipraktikkan seperti tidak boleh berlakunya peperangan sepanjang tempoh itu.

 

Muharam juga istimewa kerana dimuliakan sebagai bulan Allah SWT. Apabila makhluk atau perkara itu dinisbahkan kepada-Nya, maka ia menunjukkan kemuliaan. Nama Muharam juga dinisbahkan dalam syariat Islam sendiri, manakala orang Arab Jahiliah mengenalinya sebagai Safar Awal.

Justeru, antara amalan sunnah yang digalakkan sepanjang bulan ini adalah dengan melaksanakan puasa sunat. Nabi Muhammad SAW berkata, bulan yang paling baik untuk berpuasa selepas Ramadan ialah puasa pada Muharam.

10 Muharram ialah satu tarikh sangat penting dan dimuliakan Rasulullah SAW hingga disunatkan untuk berpuasa, iaitu dipanggil al-Asyura. Bagaimanapun, mazhab Shafie menyatakan sunat untuk kita berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharam.

Antara fadilat terbesar puasa pada 10 Muharam yang tidak sepatutnya diabaikan adalah diampunkan dosa seorang hamba itu bagi tempoh setahun yang lalu.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, berhijrahlah dan berpegang teguhlah dengan Islam. Ini adalah kerana selama jihad kekal, selama itulah hijrah (keluar di jalan Allah SWT) akan berkekalan.” (HR Tabrani)

Tarikh Input: 18/07/2023 | Kemaskini: 18/07/2023 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdHAP~