TADABBUR KALAMULLAH : INGATLAH AKAN KEMATIAN | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » TADABBUR KALAMULLAH : INGATLAH AKAN KEMATIAN

TADABBUR KALAMULLAH : INGATLAH AKAN KEMATIAN

فَإِذَا جَاۤءَ أَجَلُهُمۡ لَا یَسۡتَـٔۡخِرُونَ سَاعَةࣰ وَلَا یَسۡتَقۡدِمُونَ
"Kemudian apabila sampai tempoh ajal mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan".
[Surah an-Nahl 61]
 
Kematian merupakan satu rahsia kerana kita tidak tahu masa kedatangannya. Datangnya tanpa sebarang amaran, memutuskan hubungan dengan yang hidup dan dengan dunia ini. Kedatangannya menyebabkan kita akan melangkah menuju ke alam yang penuh kengerian dan sukar dikisahkan. Namun, mengingatinya menyebabkan kita sentiasa bersedia dengan amal dan taubat.
 
Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Mandili rahimahullah: "Ketahuilah olehmu bahawasanya mati itu huru hara yang sangat besar. Menyebut tentangnya mempunyai manfaat yang besar. Kematian memelihara kita daripada dunia dan menjadikan kita rindu kepada akhirat".
 
Mengingati kematian dapat:
1. Mengelakkan kita daripada melakukan dosa.
2. Menjauhkan kita daripada tipu daya dunia.
3. Menjadikan kita manusia yang berhati budi.
4. Mendidik kita membaiki tutur kata dan baik perlakuan.
5. Menakutkan kita untuk melakukan maksiat.
6. Menjadikan kita sentiasa bersemangat untuk melakukan kebajikan dan amal soleh.
7. Sentiasa bertaubat dan pendek angan-angan.
 
Allah menjanjikan kehidupan yang bahagia selepas mati bagi sesiapa yang hidup dalam keadaan bersedia dengan amal soleh. Firman Allah SWT:
 
وَمَن یَعۡمَلۡ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ وَلَا یُظۡلَمُونَ نَقِیرࣰا
"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun".
[Surah an-Nisa' 124]
 
Ingatlah bahawa kematian tidak mengenal usia dan tidak dapat ditangguhkan masanya. Di usia yang berbaki ini masih belum terlambat untuk kita menyediakan amal soleh sebanyak-banyaknya dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Sebelum kematian yang baik menjemput, maka sediakan amal yang terbaik selama hidup di dunia yang fana ini.
 

Tarikh Input: 11/09/2023 | Kemaskini: 11/09/2023 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEdFA5~