Ustaz Mohd Hafiz Ghazali Kongsi Pengalaman Menjadi Imam Masjid UPM | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» NEWS » Ustaz Mohd Hafiz Ghazali kongsi pengalaman menjadi imam Masjid UPM

Ustaz Mohd Hafiz Ghazali kongsi pengalaman menjadi imam Masjid UPM

SERDANG, 28 Sept – Bergelar sebagai imam masjid sudah semestinya perlu memikul tanggungjawab yang sangat besar memandangkan imam dianggap sebagai simbol penyatuan umat melalui ibadat solat berjemaah.
 
Menurut imam masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Mohd Hafiz Ghazali berkata sebelum mengetuai solat, beliau akan mempersiapkan dirinya sebaik yang mungkin termasuklah dari segi pemakaian, bacaan dan pemilihan surah.
 
“Kita nak berikan sesuatu pada jemaah jadi kita perlu berikan yang terbaik. Persiapan yang akan saya lakukan ialah bangun awal dan mencari pilihan surah yang berbeza bagi setiap solat fardhu bersama lagunya tajwidnya agar jemaah berasa puas dengan bacaan dan pimpinan saya,” katanya.
Beliau yang memulakan khidmat di masjid UPM pada 2003 mengakui pernah diselubungi rasa gugup ketika hendak mengimamkan makmum dalam jumlah ramai.
“Sudah tentu perasaan gugup pasti akan wujud. Saya masih ingat saat pertama kali saya jadi imam solat jumaat, memang saya sangat berdebar apabila melihat ruang masjid dipenuhi jemaah,” katanya.
Jelasnya, pelbagai tugas untuk menjadi imam bukan sahaja mengetuai solat fardhu lima waktu tetapi turut menguruskan mereka yang sudah meninggal dunia selain menjadi pembaca doa ketika majlis universiti dan menyampaikan ceramah agama.
 
13 tahun menjadi imam masjid penuh dengan suka dan duka namun beliau amat bergembira apabila seusai solat ada jemaah yang datang mengucapkan terima kasih dan berpuas hati dengan pimpinan solatnya.
“Bukanlah pujian yang saya harapkan, namun apabila jemaah jumpa selepas solat meluahkan rasa seronok dengan bacaan yang telah disampaikan membuatkan saya gembira dan saya rasa sangat bersyukur dapat memberikan yang terbaik buat jemaah,” katanya.
Di akhir temubual, beliau berpesan agar anak muda yang mempunyai minat menceburi bidang ini perlu mengisi diri dengan ilmu agama yang cukup, menjaga personaliti dan akhlak serta menambah baik bacaan Al-Quran.
 
“Memang kita ada tanggungjawab yang besar namun jangan ada rasa beban untuk menjadi imam. Kita perlu bersyukur apabila di pilih ke rumah Allah. Orang yang memakmurkan masjid pasti akan mendapat petunjuk dari Allah,” katanya.

Date of Input: 29/09/2023 | Updated: 29/09/2023 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEcSAM~