DIDIK ORANG MUDA BERADAB, IKUT SYARIAT GUNA MEDIA SOSIAL | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » DIDIK ORANG MUDA BERADAB, IKUT SYARIAT GUNA MEDIA SOSIAL

DIDIK ORANG MUDA BERADAB, IKUT SYARIAT GUNA MEDIA SOSIAL

Agama Islam menjunjung tinggi ilmu pengetahuan dan menjadikannya sebagai satu alat untuk mempelajari dan merenungi seluk-beluk ciptaan Allah yang amat hebat. Perkembangan teknologi yang amat pesat pada masa kini telah memberikan pengaruh terhadap dunia kita, khususnya terhadap informasi yang kini lebih pantas untuk didapatkan dan begitu juga dengan komunikasi. Perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi ini telah memberikan kesan yang luar biasa bagi kehidupan umat manusia. Dalam Al-Quran surah Al-Mujadillah 58:11, dijelaskan bahwa orang-orang yang berilmu akan ditinggikan darjatnya di sisi Allah SWT. Firman tersebut memberi peluang kepada seluruh umat muslim untuk senantiasa mengembangkan diri dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam kehidupannya sebagai seorang hamba Allah. Ilmu pengetahuan masa kini boleh didapati dari mana-mana sahaja dan salah satunya adalah melalui teknologi dan semuanya hanya berada di hujung jari. Dengan kemudahan-kemudahan yang sedia ada dalam mencari dan mempelajari ilmu pengetahuan pada masa kini, tidak menjadi alasan kepada kita untuk malas menuntut ilmu.

 

Peranan Ibu bapa dan Pendidikan Islam

Yang paling utama, peranan ibu bapa sebagai pendidik di rumah dan juga guru-guru sebagai pendidik di sekolah amatlah penting dalam membangun generasi muda Islami dalam dunia yang penuh dengan cabaran masa kini. Firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah Luqman ayat 13 hingga 14: وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ Û– إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ. Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pengajaran kepadanya: 'Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.' Ini menunjukkan bahawa pentingnya pendidikan akidah dan moral dididik sejak usia muda seperti pepatah mengatakan bahawa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dalam era yang penuh kebergantungan teknologi ini, pendidikan Islam perlu ditanamkan dengan lebih mendalam dan diberikan perhatian agar generasi muda tidak mudah terpesong dan mengikut pengaruh negatif yang mudah didapati di mana-mana media sosial dan platform digital. Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan utama dalam memantau penggunaan teknologi anak-anak dengan lebih kerap, mengajar mereka adab yang sepatutnya dijadikan panduan harian, dan mengingatkan mereka untuk sentiasa berpegang pada ajaran Islam, walaupun dalam dunia maya.

 

Teknologi sebagai Alat untuk meningkatkan iman

Walaupun teknologi sering kali dianggap sebagai cabaran kepada nilai-nilai Islam, ia sebenarnya boleh memberi manfaat kepada kita untuk memperkukuhkan iman jika digunakan dengan cara yang betul. Teknologi adalah satu alat yang amat berkuasa, dan dengan niat yang baik serta penggunaan yang tepat, ia boleh memberi manfaat besar kepada keimanan dan amalan keagamaan kepada kita sebagai umat Islam, khususnya generasi muda kini yang lebih arif berkaitan teknologi berrbanding generasi terdahulu. Mereka boleh menjadikan teknologi sebagai fasilitator dalam ilmu agama. Di zaman moden ini, teknologi telah memudahkan akses kepada ilmu agama. Platform seperti YouTube, podcast, dan aplikasi mudah alih yang mempunyai pelbagai rujukan dan menyediakan pelbagai bahan bermanfaat seperti ceramah dari ulama terkenal, tafsir Al-Quran, hadis, dan panduan ibadah harian.

 

Teknologi juga merupakan satu rezeki dan kemudahan yang Allah berikan untuk kita. Firman Allah dalam Surah Al-Mulk, ayat 15: هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ ذَلُولًۭا فَٱمْشُوا۟ فِى مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا۟ مِن رِّزْقِهِۦ Û– وَإِلَيْهِ ٱلنُّشُورُ ١٥ Maksudnya: "Dialah yang menjadikan bumi mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. "Ayat ini mengingatkan kita bahawa segala kemudahan yang ada di muka bumi ini adalah kurniaan daripada Allah sebagai 'rezeki' kepada manusia. Dalam konteks ini, kitab oleh lihat bahawa teknologi adalah sebahagian daripada rezeki Allah yang memudahkan kehidupan seharian manusia. Namun, seperti rezeki yang lain, ia harus lahdigunakan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab. Jika kita menggunakannya dalam mengikuti batas-batas syariat, teknologi boleh menjadi satu alat yang mampu mendorong kita untuk dekatkan diri kepada Allah.

 

Membina Generasi Beriman dan Berintegriti

Generasi muda perlu dididik dan dilatih untuk menanam keimanan yang mendalam kepada Allah SWT sejak kecil, supaya mereka mempunyai asas-asas agama yang kuat dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran, termasuklah cabaran teknologi. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12: يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ Û– وَلَا تَجَسَّسُوا۟ Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain." Ayat ini menekankan kepentingan menjaga adab dan etika, khususnya dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Apabila seseorang itu beriman, mereka akan berusaha untuk menjaga diri daripada perbuatan dosa seperti berprasangka buruk, menyebarkan fitnah dengan hanya menggunakan kemudahan teknologi kini, dan mencari kesalahan orang lain.

 

Integriti dalam Penggunaan Teknologi

Dalam era teknologi yang serba canggih ini, generasi muda sering kali terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat dan interaksi di alam maya. Justeru, amat penting bagi mereka untuk sentiasa berpegang kepada prinsip integriti dalam setiap tindak-tanduk mereka. Contoh utama yang boleh kita lihat ialah dalam penggunaan media sosial. Di platform ini, fitnah, gosip, dan perselisihan faham mudah tersebar dengan pantas. Anak muda yang tidak dididik dengan nilai integrity dari awal mungkin terpengaruh dan terjebak untuk menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengkritik orang lain tanpa asas yang kukuh. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6: يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ Ø£ÙŽÙ† تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu". Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum bertindak, terutama dalam dunia maya yang penuh dengan maklumat palsu.

 

Adab dan Etika dalam Berkomunikasi di Media Sosial

Teknologi moden dan canggih masa kini telah memberikan kebebasan dan menyediakan kemudahan kepada kita dalam urusan komunikasi, tetapi kebebasan ini harus datang dengan penuh rasa tanggungjawab. Generasi muda perlu dididik untuk berkomunikasi dengan adab yang baik, sama ada dalam kehidupan nyata mahupun di media sosial. Seringkali, batas-batas sopan santun dan etika dilupakan apabila seseorang berada di balik skrin, kerana mereka berfikir identiti mereka terlindung dan tidak diketahui sesiapa. Inilah yang sering membawa kepada fitnah, kata-kata kesat, dan penghinaan di alam maya. Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 19: إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ Ø£ÙŽÙ† تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ Ûš Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat." Ini menunjukkan bahawa menyebarkan sesuatu yang buruk atau tidak bermoral adalah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Anak-anak muda harus diajar untuk sentiasa berfikir sebelum berkata-kata, menulis, atau berkongsi apa-apa di media sosial untuk mengelakkan daripada perkara-perkara negative. Mereka harus sentiasa menjaga adab dan etika mereka, kerana setiap kata yang dikeluarkan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

 

Kesimpulan

Kemajuan teknologi masa kini seharusnya dijadikan sebagai salah satu platform dalam usaha memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda. Dengan bimbingan yang tepat dari ibu bapa, pendidik dan juga orang yang lebih berpengalaman, pendidikan berteraskan nilai-nilai Islam, dan penglibatan dalam aktiviti dakwah digital, generasi muda mampu menjadi generasi yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, tetapi juga memiliki akhlak mulia serta pegangan agama yang kukuh. Teknologi moden ini tidak boleh dipandang semata-mata sebagai satu cabaran, sebaliknya ia juga adalah peluang besar bagi umat Islam untuk membina generasi yang unggul, berdaya saing, dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan masyarakat global.

 

 

 

Date of Input: 20/11/2024 | Updated: 20/11/2024 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
S, (06:38:21pm-06:43:21pm, 18 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]