MENGAPA IMAM SYAFIE MENOLAK ISTIHSAN | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » MENGAPA IMAM SYAFIE MENOLAK ISTIHSAN

MENGAPA IMAM SYAFIE MENOLAK ISTIHSAN

MENGAPA IMAM SYAFIE MENOLAK ISTIHSAN

Muqaddimah:

Para ulama memberikan pelbagai definisi terhadap istihsan, dan antara takrif yang terpilih ialah takrif yang diberikan oleh Imam Abu Ishaq al-Syatibi iaitu: beramal dengan maslahah juz’iyyah yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. (Rujuk Al-Muwafaqat 4/195)

Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafi’eyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Rujuk al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi 4/209).

 

Mengapa Imam al-Syafi’e menolak istihsan?

Imam al-Syafi’e menyebut bahawa istihsan merupakan satu bentuk talazzuz (bersenang-senang); jika istihsan dibenarkan kepada seseorang dalam urusan agama, nescaya ia akan diharuskan untuk setiap yang berakal di luar bidang ilmu, dan diharuskan pula untuk mensyariatkan perkara agama dalam setiap bab, dan setiap orang akhirnya akan mensyariatkan agama untuk diri mereka sendiri. (Rujuk al-Risalah hlm. 507)

Maka difahami daripada kata-kata Imam al-Syafi’e ini, istihsan yang beliau tolak ialah istihsan berdasarkan akal semata-mata dan hawa nafsu dan yang tidak mempunyai sandaran dalil syarak.

Menurut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, istihsan jenis ini telah disepakati pengharamannya oleh seluruh ulama, dan ini seperti yang istihsan dalam hukum syarak yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai ilmu. (Rujuk Raudhah al-Nazir 1/475)

Kata Ibn al-Sam’ani, jika yang dimaksudkan dengan istihsan itu ialah pandangan yang menganggap suatu perkara sebagai baik tanpa dalil, maka ia adalah batil, dan tiada seorangpun ulama yang menerima istihsan seperti itu. Adapun istihsan dalam erti kata menggunakan dalil yang lebih kuat dalam satu hukum, maka tiada seorang ulama pun yang mengingkarinya. (Rujuk Irsyad al-Fuhul2/262)

Penerimaan Imam al-Syafi’e terhadap istihsan juga terzahir melalui kitab beliau sendiri iaitu al-Umm, di mana beliau berpandangan perbuatan sesetengah hakim yang mensyaratkan sumpah sambil memegang al-Qur’an merupakan perkara yang baik (hasan). Ini menjadi bukti Imam al-Syafi’e sendiri beramal dengan istihsan dalam ijtihad beliau. (Rujuk Al-Umm 6/278)

Pengingkaran Imam al-Syafi’e terhadap istihsan ialah dalam erti kata istihsan berdasarkan akal dan pandangan semata-mata tanpa sandaran dalil. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang banyak mengistinbatkan hukum menggunakan istihsan tidak pernah memahami istihsan dalam konteks ini, dan istihsan menurut mereka berdua ialah istihsan yang mempunyai sandaran dalil. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/750)

Menurut Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, istihsan yang ditolak oleh Imam Syafi’e ialah pandangan yang tidak mampunyai sandaran daripada al-Quran, al-Sunnah, ijma’ atau qiyas, dan penolakan ini adalah merupakan salah satu bentuk hifz al-din (memelihara agama). Adapun istihsan dalam erti kata hukum pengecualian daripada qiyas kulliy, ia diterima pakai oleh Imam al-Syafi’e dan diambil kira sebagai dalil dalam banyak permasalahan fiqh. (Rujuk Maqasid al-Syari’ah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 470)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, Imam al Syafi’e sebenarnya menerima istihsan dalam erti kata pengecualian terhadap dalil umum berdasarkan maslahah juz’iy sebagai salah satu dalil syarak yang mu’tabar, dan istihsan dalam maksud ini diterima oleh jumhur ulama.

Adapun kata-kata beliau yang menolak istihsan, ia merujuk kepada istihsan yang semata-mata pandangan berdasarkan akal atau nafsu yang tidak mempunyai sandaran dalil, dan istihsan jenis ini ditolak secara ijma’ oleh para ulama.

Wallahu a’lam.

 

Artikal dipetik dari : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-usul-fiqh/4396-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-56-mengapa-imam-syafie-menolak-istihsan

 

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | fahmi_mukhid

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXDdHA0~