SEGERAKAN PERDAMAIAN, ISLAH APABILA SILATURRAHIM MULA RETAK | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » SEGERAKAN PERDAMAIAN, ISLAH APABILA SILATURRAHIM MULA RETAK

SEGERAKAN PERDAMAIAN, ISLAH APABILA SILATURRAHIM MULA RETAK

Islam menganjurkan perpaduan kerana ia kunci kepada keamanan dan kestabilan untuk dapat ditegakkan, sekali gus tidak menganjurkan perpecahan yang akan membawa kehancuran dan kemundurun.


Malah, umat berpecah akan mudah rapuh dan dihancurkan musuh kerana perpecahan menghilangkan kekuatan sesuatu umat atau bangsa. Harus diingat perpaduan tidak hanya menekankan aspek pertahanan dan ketenteraan, malah perlu meliputi semua sudut kehidupan kerana musuh tidak hanya melihat kelemahan ummah berdasarkan satu sudut sahaja.


Bagi tujuan itu, kita perlu mengatakan perpaduan umat Islam dalam semua sudut kehidupan termasuk ekonomi supaya dapat mewujudkan ummah sejahtera.


Persaudaraan adalah kunci kepada perpaduan, semakin erat persaudaraan dijalin, semakin kukuh perpaduan sesuatu umat atau bangsa. Oleh itu, konsep dan semangat persaudaraan perlu dipupuk serta disematkan dalam hati setiap individu.


Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu diberi rahmat.” (Al-Hujurut: 10)
Demi mengekalkan hubungan persaudaraan erat dan kukuh, al-Quran menganjurkan usaha perdamaian dan islah sekiranya ada tanda-tanda sesuatu hubungan persaudaraan akan hancur atau sekurang-kurangnya mula menunjukkan tanda retak.


Ini jelas seperti terdapat pada penghujung ayat dinyatakan itu. Dalam ayat lain pula, Allah SWT memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah-belah kerana ia boleh meleraikan ikatan persaudaraan dan kekuatan.
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan jelas nyata (dibawa Nabi Allah) dan mereka bersifat demikian, akan beroleh azab seksa besar.” (Ali Imran: 105)


SALING BANTU-MEMBANTU SESAMA MUSLIM


Demikian kita seharusnya saling bantu-membantu untuk membina keutuhan dan kesatuan di mana sahaja kita berada. Kita perlu lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri.


Hakikatnya, kita perlu menjauhi permusuhan dan perpecahan dalam kehidupan bermasyarakat kerana ia membuatkan kita lemah dan mudah dipatahkan lawan. Umat bersatu walaupun jumlahnya kecil, pasti akan kuat, sebaliknya kuantiti ramai tetapi selalu berselisih akan mudah dapat dikalahkan lawan.
Firman Allah SWT: “Berapa banyak golongan sedikit dapat menewaskan golongan banyak dengan izin Allah dan Allah sentiasa Bersama-sama orang sabar.” (Al-Baqarah: 249)


Kita hendaklah menyedari betapa besarnya bahaya jika selalu terjadi perpecahan dan pergaduhan, ia akan membawa bencana dan malapetaka yang mungkin menyebabkan hilangnya kuasa serta kekuatan umat Islam itu sendiri.
Firman Allah SWT: Dan Dia mensyariatkan agama untuk kamu seperti diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan Kami wahyukan kepada engkau dan Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu dirikanlah agama kamu serukan kepada mereka Allah memilih sesiapa yang dikehendakinya untuk mentaati-Nya dan Allah memberi petunjuk kepada agama-Nya orang yang Kembali kepada-Nya.” (Asy-Syura: 13)
Pemimpin atau ketua kepada sesuatu Kawasan perlu berperanan dalam menjaga hubungan masyarakat pelbagai kaum dengan menganjurkan pelbagai aktiviti boleh menyokong kepada kehidupan yang harmoni dan hormat menghormati.


ERATKAN HUBUNGAN SESAMA MASYARAKAT

Budaya aktiviti kemasyarakatan ini secara tidak langsung dapat mengenali rukun tetangga dengan lebih erat. Sentiasa bersemuka dan bertegur sapa akan lebih mengeratkan selaturrahim, malah dapat mengukuhkan keikhlasan hidup berjiran dengan lebih baik.
Aktiviti sebegini dapat melahirkan sikap berkasih-sayang dan hormat menghormati sesame jiran dan masyarakat setempat. Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya.”
Sesungguhnya agama Islam juga menganjurkan umatnya untuk melakukan kebaikan kepada jiran tanpa mengira agama, keturunan, bangsa atau darjat. Amalan hormat-menghormati, bantu-membantu dan saling bertolak ansur sesama jiran akan menjadikan kehidupan berjiran lebih harmoni, sejahtera dan akhirnya akan melahirkan masyarakat, bangsa dan negara yang kuat dan Bersatu-padu serta aman dan damai.
Oleh itu, dalam mengukuhkan kedudukan perpaduan berbilang kaum di negara ini, semua pihak dari pelbagai lapisan masyarakat perlu menjadi tulang belakang kepada kepemimpinan dengan berperanan dalam membentuk system kehidupan lebih harmoni, Bahagia dan saling faham-memahami.


Dalam konteks sekarang lebih memerlukan sifat tolak ansur lebih tinggi bagi menjayakan kerangka untuk merealisasikan agenda Malaysia MADANI, iaitu menumpukan penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa negara, menyentuh corak masa hadapan dan memenuhi potensi rakyat dan negara.


Semua ini dapat kita jayakan sekiranya setiap individu dan organisasi memahami pentingnya kebersamaan dan dapat melahirkan rasa kasih dan sayang, sekali gus menekan kepentingan perpaduan ketika berhubung dalam membentuk masyarakat rakyat harmoni.
Justeru, setiap individu terutama Muslim perlu menjaga hubungan silaturrahim supaya dapat memebina ikatan perpaduan ummah sejahtera. Ini menjadikan setiap indidvidu bertanggungjawab mendidik generasi akan datang dan mengekalkan rakyat dalam keamanan dan kesejahteraan.

Date of Input: 02/02/2023 | Updated: 02/02/2023 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEbDAn~