BAYAN AL-FALAK SIRI KE-22 : MASJID QIBLATAIN | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » BAYAN AL-FALAK SIRI KE-22 : MASJID QIBLATAIN

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-22 : MASJID QIBLATAIN

Madinah merupakan sebuah kota yang mempunyai banyak peninggalan bersejarah untuk umat Islam menjadikannya sebagai iktibar dan peringatan. Terdapat banyak masjid yang telah dibina di atas tanah Madinah tersebut untuk menjadi bukti perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam. Antara masjid yang menjadi bukti perjuangan Rasulullah SAW ialah Masjid Qiblatain. 

Umum mengetahui bahawa Masjid Qiblatain mempunyai 2 arah kiblat di dalam satu masjid. Mihrab yang terbina kedua-duanya saling berhadapan di antara satu sama lain. Kiblat pertama menghadap ke arah utara iaitu tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis) di Jerusalem (Palestin) manakala kiblat kedua adalah menghadap ke arah selatan iaitu tempat terletaknya Kaabah (Baitullah) di Mekah Al-Mukarramah.

Sejarah pertukaran arah kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah bermula pada peristiwa hijrah Baginda SAW dan beberapa orang sahabat ke Madinah. Pada waktu itu, majoriti penduduk Madinah adalah dalam kalangan Yahudi di mana kiblat mereka adalah menghala ke Baitul Maqdis. Sepertimana yang dijelaskan oleh Said ibn Musayyab bahawa golongan ansar solat menghadap baitul maqdis 3 tahun sebelum hijrah.

(Tafsir al-Tabari)

Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah SAW kerana mereka beranggapan seolah-olah Rasulullah SAW meniru kaum Yahudi dan Nasrani dalam beribadah. Hakikatnya, Baginda SAW lebih menyukai jika kiblat menghala ke arah Baitullah. Oleh itu, Rasulullah SAW telah memohon doa kepada Allah SWT sambil menengadah wajahnya ke langit dengan harapan turunnya wahyu yang memerintahkan supaya kiblat ditukarkan ke arah Baitullah. 

(Sirah al-Nabawiyah al-Sohihah)

Selepas enam belas bulan, pada 17 Rejab tahun 2 Hijrah  Baginda SAW solat menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis telah turun wahyu daripada Allah SWT yang menjawab permohonan doa tersebut seraya memerintahkan supaya memindahkan arah kiblat ke Baitullah. Sepertimana firman Allah SWT:

 Ù‚َدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ Û– فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا Ûš فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ Ûš وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ Û— وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ Û— وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.

Surah Al-Baqarah (144)

Pada saat wahyu diturunkan, Rasulullah SAW sedang mendirikan solat bersama-sama para sahabat. Mendengarkan wahyu tersebut, lantas Baginda SAW menukar arah kiblat menghadap ke arah Baitullah dan para sahabat mengikuti perbuatan Baginda SAW  tersebut. Awal solat Nabi SAW menghadap ke Mekah ialah pada solat Zohor di Bani Salamah. Manakala solat menghadap ke Mekah buat pertama kalinya di Masjid Nabawi ialah pada solat asar dan bagi penduduk di Masjid Quba solat pertama kali menghadap ke Mekah ialah pada solat subuh ketika mana telah sampai kepada mereka perkhabaran berkaitan penukaran arah kiblat.

(Fath al-Bari)

Sejak daripada peristiwa tersebut, kiblat umat Islam telah bertukar ke arah Kaabah (Baitullah) yang terletak di Mekah sehingga kini. Inilah sejarah yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW pada 1400 tahun dahulu. Selain itu, ia juga adalah sebagai satu simbolik kepada kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia bagi mentaati perintah Allah SWT dalam beribadah kepada-Nya. Semoga dengan peristiwa dan sirah Rasulullah SAW yang berlaku tersebut dapat dijadikan pedoman dan peringatan kepada umat Islam agar lebih lebih taat dan akur akan perintah-Nya dalam segala urusan.

 

Sumber : https://muftiwp.gov.my/falak/bayan-al-falak/5388-bayan-al-falak-siri-ke-22-masjid-qiblatain

Tarikh Input: 23/11/2022 | Kemaskini: 23/11/2022 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXDdRAS~