Ikhlas Bekerja Peluang Bina Kejayaan Di Dunia Akhirat | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » Ikhlas bekerja peluang bina kejayaan di dunia akhirat

Ikhlas bekerja peluang bina kejayaan di dunia akhirat

 

Ikhlas bekerja peluang bina kejayaan di dunia akhirat

Oleh Zuhaimi Abdul Rahim

Setiap pekerjaan dilakukan sentiasa berada di bawah pengawasan Allah SWT. Maka, kita harus menjadikan hari bekerja sebagai medan membuktikan nilai amanah, kejujuran dan bertanggungjawab.

NEGARA baru saja meraikan Hari Pekerja semalam. Pekerjaan dari perspektif Islam, bukan sekadar rutin duniawi dan platform mencari nafkah semata-mata, tetapi bekerja adalah satu peluang diberikan Allah SWT untuk manusia meraih ganjaran yang hebat di akhirat kelak.

Namun, ada manusia menganggap bekerja sekadar rutin harian duniawi semata-mata iaitu masuk ke tempat kerja, siapkan pekerjaan diberi dan pulang ke rumah selepas tugasan selesai.

Sebaliknya, Islam memandang sesuatu pekerjaan itu sebagai satu bentuk ibadah apabila dilakukan dengan niat yang betul, ikhlas dan dilaksanakan dengan penuh amanah tanpa sebarang penipuan.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 105, bermaksud: "Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang beriman".

Ayat al-quran ini dengan jelas memberitahu manusia bahawa setiap pekerjaan dilakukan bukan hanya untuk dilihat dan dinilai manusia sahaja, namun lebih besar lagi dinilai Allah SWT.

Setiap pekerjaan dilakukan sentiasa berada di bawah pengawasan Allah SWT. Maka, kita harus menjadikan hari bekerja sebagai medan membuktikan nilai amanah, kejujuran dan bertanggungjawab.

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai seseorang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (tekun dan sempurna)". (HR Baihaqi)

Sikap itqan ialah menolak segala sikap sambil lewa, kerja ala kadar dan 'asal siap'. Maka, kita perlu menjadikan tempat kerja bukan sekadar mencari rezeki, tapi mendapatkan cinta Allah SWT dan menjadikan tempat kerja sebagai tapak ibadah untuk bekalan akhirat.

Islam menyeru umatnya menjadikan tempat kerja sebagai medan mewujudkan hubungan spiritual dengan Allah SWT. Hubungan ini dapat dicipta apabila Muslim melakukan sesuatu tugasan, disertakan dengan niat ikhlas dan dilakukan dengan amanah.

'Pakej' nilai ini jika dipatuhi akan menjadikan pekerjaan dilakukan sebagai satu ibadah, mendapat ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam Surah ash-Shura, ayat 20 bermaksud: "Sesiapa menghendaki keuntungan di akhirat, akan kami tambahkan keuntungan itu baginya; dan sesiapa menghendaki keuntungan di dunia, kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat."

Ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa reda Allah SWT adalah perkara utama dalam setiap pekerjaan dilakukan, bukan untuk perkara dunia semata-mata.

Maka, apabila niat kita bekerja adalah untuk menyara keluarga, memberi manfaat kepada orang lain, kita sedang menanam saham akhirat.

Contoh yang dapat kita ambil adalah melayan pelanggan dengan sikap baik, menyusun laporan dengan penuh teliti dan mematuhi segala arahan ketua. Semua perkara ini dapat menjadi ladang pahala kepada kita apabila melaksanakannya dengan niat baik. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat". (HR Bukhari dan Muslim)

Islam juga melarang umatnya daripada perkara dapat merosakkan nilai kerja seperti mengambil rasuah, menipu, menggunakan waktu kerja melakukan perkara tidak sepatutnya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka neraka lebih utama baginya". (HR Tirmizi)

Rezeki tidak berkat

Apabila seseorang bekerja tanpa mematuhi etika kerja dan mengambil mudah perkara haram, maka bukan hanya hasil diperoleh itu tercela, tetapi rezeki diperoleh juga menjadi tidak berkat.

Sementara itu, dalam bekerja, ada satu perkara yang perlu diambil berat iaitu masa. Masa adalah satu amanah Allah SWT berikan kepada semua hamba-Nya dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat sering dilupakan kebanyakan manusia - kesihatan dan masa lapang". (HR Bukhari)

Hadis ini jelas memberitahu kita bahawa masa, mungkin suatu perkara kecil dan biasa, namun sebenarnya ia satu rezeki amat bernilai dan tidak dapat diulang kembali.

Namun, kita sering alpa dan tidak memanfaatkan dengan sebaiknya seperti menangguhkan tugas dengan alasan yang tidak munasabah, melepak, menghabiskan masa dengan media sosial, berbual kosong sesama rakan kerja serta mengganggu kerja orang lain.

Sikap seperti ini bukan sekadar merugikan diri sendiri dan organisasi, malah menghilangkan keberkatan rezeki dan masa. Allah SWT berfirman dalam Surah al- 'Asr, ayat 1-3 bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran".

Hakikatnya, manusia sering berada dalam kerugian sekiranya masa yang ada tidak digunakan sebaiknya. Kita harus ingat seseorang yang mengurus masa dengan baik akan mampu menyiapkan banyak pekerjaan kerana Allah SWT meletakkan keberkatan pada waktu dirinya bekerja.

Keharmonian bekerja hadir daripada akhlak individu itu sendiri. Rasulullah SAW bersabda: "Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah". (HR Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa sekecil-kecil perkara mampu memberi kesan besar dalam mewujudkan iklim kerja positif di tempat kerja.

Selain itu, amalan menyebarkan salam, menjaga adab pertuturan dapat mengelakkan permusuhan dan dendam. Rasulullah SAW bersabda: "Orang mukmin bergaul dengan manusia dan bersabar atas kejahatan mereka, lebih baik daripada orang tidak bergaul dan tidak bersabar atas kejahatan mereka". (HR Tirmizi)

Melalui hadis ini, kita dapat panduan untuk berperanan secara aktif dalam membentuk suasana positif di tempat kerja, walaupun terpaksa berhadapan kerenah manusia yang pelbagai.

Setiap hari kita bekerja adalah satu peluang amat berharga untuk membina dua kerjaya serentak, iaitu kejayaan di dunia melalui cara bekerja dan kejayaan di akhirat melalui niat serta selari dengan ajaran Islam.

Justeru, setiap Muslim perlu bertekad dalam diri bahawa apabila melangkah masuk ke tempat kerja, kita bukan hanya menjadi

seorang pekerja, bahkan sebagai hamba Allah SWT sedang beribadah.

 

Date of Input: 02/05/2025 | Updated: 02/05/2025 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (03:00:31pm-03:05:31pm, 25 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]