IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 113 : ADAKAH BERBOHONG MEMBATALKAN PUASA ? | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 113 : ADAKAH BERBOHONG MEMBATALKAN PUASA ?

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 113 : ADAKAH BERBOHONG MEMBATALKAN PUASA ?

Soalan :

Assalamualaikum S.S Mufti, adakah perbuatan berbohong semasa seseorang itu sedang berpuasa menyebabkan puasanya terbatal ?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mendefinisikan berbohong seperti berikut: ‘’Memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap’’. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (1/201).

Manakala Imam Al-Nawawi pula mengatakan bahawa berbohong adalah: ‘’Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaanya yang sebenar, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang’’. Lihat Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69).

Perbuatan berbohong adalah termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya : Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.

Surah Al-Hajj (30)

Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala. Oleh yang demikian, keduanya dianggap sebagai sama dari sudut keduanya merupakan perbuatan dosa besar.

Imam Al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: ‘’Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji. Ijma' para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas’’. Rujuk Al-Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (Hlm. 377).

Perbuatan berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya. Ini kerana, dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran dan hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan juga masa ia dilakukan. Justeru, melakukan dosa seperti berbohong dalam bulan Ramadhan lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan ianya lebih berat di sisi Tuhan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengan pembohongan maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum.

Riwayat Al-Bukhari (1903)

Imam Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam Ibn Batthal dalam menghuraikan makna hadis di atas dengan kata beliau: ‘’Hadis ini bukanlah bermaksud arahan kepada orang yang berpuasa untuk meninggalkan puasanya itu. Bahkan maknanya adalah ancaman terhadap perbuatan berbohong’’. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/139).

Berdasarkan hadis di atas para ulama memberikan tafsiran yang berbeza-beza akan maksud sebenar kenyataan Nabi S.A.W. Sebahagian mensyarahkan bahawa maksudnya adalah sesiapa yang berbohong puasanya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sesiapa yang berbohong akan menyebabkan pahala puasanya berkurangan.

Berikut kami kongsikan kenyataan Imam Ibn al-Munir yang menyebut: ‘’Bahkan ucapan Nabi ini adalah kinayah terhadap tidak diterimanya (puasa mereka yang berbohong)’’.

Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh Imam Ibn al-‘Arabi yang menyebut: ‘’Intipati hadis ini adalah, sesiapa yang melakukan perbuatan yang telah disebutkan (berbohong) maka dia tidak akan diberikan pahala ke atas puasanya itu’’. Ini bermakna pahala berpuasa tidak akan berada di dalam neraca timbangan amalan yang setara berserta dengan dosa bercakap bohong.

Manakala Imam al-Baidhawi pula berkata: ‘’Bukanlah maksud (tujuan) dari pensyariatan puasa itu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan ia diikuti dengan memecahkan nafsu syahwat serta mentaatkan nafsu al-ammarah menuju ke arah nafsu al-muthma’innahSekiranya yang demikian itu tidak terhasil (melalui puasa), Allah tidak akan melihat ke arahnya dengan pandangan menerima (amalan)’’.

Maka sabda Nabi S.A.W: ‘’Allah tidak berhajat (kepada puasanya)’’ adalah majaz (kiasan) kepada tidak diterimanya puasa tersebut.

Imam al-Subki pula menyatakan bahawa hadis ini memberikan peringatan kepada kita akan dua perkara: Pertamanya, bertambah keburukan dan keji bagi orang yang berbohong semasa berpuasa berbanding di luar puasa. Keduanya, hendaklah seseorang itu berusaha untuk menyelamatkan puasanya dari perbuatan berbohong.

Kesan darinya adalah, puasa akan sempurna dengan selamatnya ia dari perbuatan berbohong. Sekiranya tidak selamat, maka puasa akan berkurangan. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (4/139).

Kesimpulan

Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa pandangan ulama yang kami sebutkan di atas kami menyatakan bahawa perbuatan berbohong tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa. Namun, berbohong tidak dinafikan bahawa ia merupakan perbuatan yang mengurangkan pahala puasa seseorang.

Meskipun begitu, perbuatan berbohong adalah suatu perkara yang perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai suatu medan mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.

 

 

Tarikh Input: 29/03/2023 | Kemaskini: 06/02/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXDdPAf~