Oleh : Zuhaimi Abdul Rahim
Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia
Tanggungjawab Melindungi Diri
Islam menekankan pentingnya menjaga keselamatan diri. Ini termasuk menghindari situasi berbahaya dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri dan keluarga. Mengambil ibrah daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, bagaimana baginda dengan berhati-hati untuk menghindari pengejaran kaum Quraisy. Baginda bersembunyi di Gua Thur, dan mengambil jalan yang tidak biasa untuk mengelirukan musuh. Dalam konteks moden, ini boleh diterjemahkan kepada kebijaksanaan dalam mengatur langkah keselamatan diri. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah seperti mengunci pintu rumah, menggunakan alat keselamatan seperti kamera CCTV, dan menghindari kawasan yang diketahui berbahaya.
Selain itu, setiap individu perlu mengetahui hak-hak dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim serta memahami undang-undang dan peraturan yang ada. Islam melarang kita membahayakan sesama manusia sepertimana dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 32: “bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” Ayat ini menekankan betapa besar dosa membunuh dan merosakkan kehidupan orang lain serta kepentingan seseorang individu untuk menjaga keselamatan yang lain.
Pendidikan mengenai keselamatan diri dan kesedaran tentang jenayah juga boleh membantu individu membuat keputusan yang bijak dan menghindari situasi yang berisiko. Program-program kesedaran jenayah yang dianjurkan oleh pihak berkuasa dan organisasi masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang kaedah dan amalan-amalan yang baik untuk menjaga keselamatan diri di samping menekankan juga aspek kesedaran seperti kesan, tindakan undang-undang dan hukuman jika terlibat dengan sesuatu jenayah.
Panduan Islam untuk Menghindari Musibah dan Jenayah
Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah untuk perlindungan dan bertawakal kepada-Nya dalam setiap urusan. Doa adalah senjata orang mukmin dan merupakan cara untuk memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Contoh doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah doa keluar rumah: “Bismillah, tawakkaltu 'alallah, la hawla wa la quwwata illa billah” (Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah).
Dengan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, seperti membaca doa keluar rumah, doa perlindungan, dan lain-lain. Sunnah Nabi mengandungi banyak panduan praktikal untuk melindungi diri daripada bahaya dan musibah. Antara amalan yang mudah untuk kita amalkan adalah seperti apa yang diajarkan Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Barangsiapa yang membaca 'Bismillahilladzi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardhi wa la fis-sama’i wa huwas-sami’ul ‘alim’ (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang dapat membahayakan di bumi maupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali pada pagi dan petang, maka tidak ada sesuatu pun yang akan membahayakannya.” [Riwayat Abu Dawud and At-Tirmizi].
Di muka akhbar dan berita, setiap isu tentang musibah dan kes jenayah yang berlaku kebiasaannya akan disertakan dengan punca bagaimana berlakunya musibah atau jenayah berikut. Seharusnya kita mengambil pengajaran berdasarkan situasi-situasi yang telah berlaku ini dan mengambil langkah berhati-hati agar perkara yang sama tidak berlaku pada diri sendiri. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang mukmin tidak akan disengat dari lubang yang sama dua kali” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil agar diri terhindar daripada terjebak dalam situasi berbahaya yang sama.
Menjauhi perbuatan Haram dan dilarang oleh Allah seperti mencuri, menipu, dan melakukan kezaliman juga adalah penting untuk keselamatan diri. Allah melarang perbuatan-perbuatan ini kerana ianya bukan sahaja memberikan mudarat kepada orang lain, tetapi juga kepada diri sendiri. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan…” Ayat ini mengingatkan kita untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Selain itu setiap individu Muslim perlu menjaga solat lima waktu kerana solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar tersebut. Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut, Ayat 45: “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas dapat membentuk peribadi yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang dilarang.
Akhir kata, menjaga keselamatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab yang harus diambil serius oleh setiap individu, selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kewaspadaan dan langkah-langkah penjagaan diri dalam kehidupan seharian. Semoga negara dan masyarakat kita sentiasa dilindungi daripada musibah dan perlakuan jenayah agar generasi masa depan negara dapat membesar dalam suasana yang selamat dan harmoni.
Date of Input: 09/09/2024 | Updated: 09/09/2024 | asmunir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum