Kisah Ustaz Firdaus Urus Jenazah Di UPM Hampir 13 Tahun | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » Kisah ustaz Firdaus urus jenazah di UPM hampir 13 tahun

Kisah ustaz Firdaus urus jenazah di UPM hampir 13 tahun

Ringkasan Artikel
Bau kapur barus sering kali dikaitkan dengan kematian kerana digunakan ketika memandikan jenazah. Sebagai pengurus jenazah bau tersebut seolah-olah masih dihidu walaupun jenazah telah disempurnakan.


 

 

Bau kapur barus sering kali dikaitkan dengan kematian kerana digunakan ketika memandikan jenazah. Sebagai pengurus jenazah bau tersebut seolah-olah masih dihidu walaupun jenazah telah disempurnakan.

Pengurus jenazah di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi kisahnya yang tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkecimpung dalam bidang pengurusan jenazah. Namun Pembantu Hal Ehwal Islam Kanan UPM, Ustaz Mohd Firdaus Abd Rashid telah menggalas pekerjaan yang ramai takut dan menjauhkan diri ini.

Beliau memilih kerjaya ini untuk terus menjalankan fardu kifayah sejak tahun 2010 sehingga kini di Masjid UPM secara serius kerana di UPM setiap pembantu hal ehwal Islam perlu menguruskan jenazah dan mengikuti kursus pengurusan jenazah.

"Pekerjaan ini memerlukan saya sentiasa bersedia sepanjang masa kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, tidak kira siang atau malam. Menerima panggilan telefon pada tengah malam dan pada jam 3 atau 4 pagi adalah perkara biasa.

"Apabila diperlukan, saya tidak boleh tangguh dan perlu pergi segera menunaikan fardu kifayah agar jenazah tidak terseksa. Paling penting dalam diri seorang pengurus jenazah itu memerlukan keberanian yang sangat tinggi untuk berdepan dengan jenazah.

"Ini kerana kita tidak tahu apa yang kita akan uruskan dan perlu sentiasa bersedia walaupun mempunyai cabaran dan rintangan," katanya.

Tambah beliau, ini kerana jenazah perlu diuruskan secepat mungkin agar dapat dikebumikan dengan sempurna di tanah perkuburan.

Ustaz Mohd Firdaus mempunyai pengalaman selama 13 tahun sepanjang terlibat dalam bidang ini dan berharap agar golongan muda untuk turut serta dan membantu pengurusan jenazah agar ada kesinambungan dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

"Elakkan bergantung kepada generasi lama dalam melaksanakan pengurusan jenazah sebaliknya generasi muda Islam perlu mempelajari tanggungjawab fardu kifayah tersebut. Sekiranya tanggungjawab itu tidak diwarisi kepada generasi muda, dibimbangi masyarakat di sesebuah kampung atau taman perumahan terpaksa mendapatkan khidmat orang luar untuk menguruskan jenazah.

“Oleh itu, generasi muda kita seharusnya digalak untuk mempelajari cara-cara pengurusan jenazah sekurang-kurangnya mampu menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri,” ujarnya.

Bagaimanapun, menguruskan jenazah ini sudah menjadi lumrah untuk melalui perkara pelik namun perlu endahkannya dan jangan terlalu mendengar kata-kata orang lain semasa menguruskan jenazah.

"Ingatlah pengurusan jenazah perlu dipelajari dan ianya tanggungjawab fardu kifayah," katanya ketika ditemubual sempena sambutan Maulidur Rasul Khamis ini, 12 Rabiulawal 1444H.

Date of Input: 29/09/2023 | Updated: 29/09/2023 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXFbVAX~