Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang berperanan sebagai petunjuk ke jalan kebenaran kepada semua manusia. Al-Quran merupakan anugerah dan mukjizat terhebat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Bukti kemukjizatan al-Quran ada dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat kedua, di mana Allah SWT telah menegaskan bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab yang tidak ada keraguan padanya.
Rasulullah SAW telah berpesan kepada semua manusia akan peri pentingnya pegangan yang kukuh kepada kitab Allah ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW :
” Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku.”
(HR Malik)
Kehebatan Al-Quran bukan semata-mata kerana diagungkan oleh manusia tanpa sebab namun Allah SWT sendiri yang telah memuliakannya sebagai kata-kataNya yang Maha Mulia.
Bahkan Allah SWT mencabar sesiapa sahaja yang mampu menandingi kehebatan al-Quran untuk menghasilkan satu surah sahaja yang dapat mengatasi al-Quran. Jika ianya rekaan manusia, sudah tentu tidak mampu untuk mengatasi rekaan Tuhan manusia.