MENCEGAH JENAYAH – TELADANI KAEDAH RASULULLAH SAW | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » MENCEGAH JENAYAH – TELADANI KAEDAH RASULULLAH SAW

MENCEGAH JENAYAH – TELADANI KAEDAH RASULULLAH SAW

Bagaimana Rasulullah memerangi jenayah moral, seksual, sosial, ekonomi dalam kehidupan umat Arab jahiliah? Jenayah pada ketika itu sudah menjadi budaya yakni sudah diamalkan secara meluas oleh semua peringkat masyarakat. Bagaimana Rasulullah menangani cabaran ini?

Perjuangan Baginda bermula dengan turunnya wahyu di peringkat Makkah yang menekankan soal tauhid (keimanan).  Manusia diberikan input-input keyakinan-kepada Allah (sifat-Nya yang Maha Sempurna) dan hari akhirat (syurga dan neraka). Soal keimanan ini dimantapkan dengan dua kaedah:

  1. Dakwah (menyeru).
  2. Tarbiah (mendidik).

Dengan dua kaedah inilah Baginda berjuang membentuk sistem keyakinan dalam diri umat Arab. Diajaknya manusia berfikir tentang alam yang pasti ada yang menjadikan (Allah). Kemudian dimantapkan lagi dengan sifat-sifat kesempurnaan Allah, tentang adanya kehidupan selepas mati, syurga dan neraka.

Pada tahap ini, usaha Rasulullah fokus sepenuhnya pada soal dalaman manusia. Sistem keyakinan kepada Allah dan hari akhirat ditanam, disubur dan dimantapkan. Dengan itu hati para sahabat yang sedar dan terdidik ini mula bercahaya walaupun keadaan luaran (masyarakat jahiliah) masih gelap-gelita. Disebabkan itulah kehidupan para sahabat dilihat asing berbanding majoriti umat Arab ketika itu.

Begitulah Islam bermula. Sabda Rasulullah: “Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing. Beruntunglah orang yang asing itu.” (Riwayat Muslim)

 

Surah Madaniyah

Selepas tahap iman, bermulalah tahap kedua dalam perjuangan Rasulullah yakni dengan turunnya ayat-ayat Madaniyah (ayat al-Quran yang turun selepas hijrah). Ayat al-Quran pada tahap ini mengandungi perintah suruhan dan larangan. Ayat-ayat al-Quran inilah yang membentuk sistem nilai dalam kehidupan orang beriman sehari-hari. Sifat-sifat mazmumah diubati oleh rasa bertuhan dan kehambaan kepada Allah.

Selepas hijrah, turunlah perintah pelaksanaan rukun Islam bagi menterjemahkan sistem keyakinan, pandangan alam dan asas nilai itu ke dalam bentuk perbuatan-solat, zakat, puasa dan lain-lain.  Disusuli kemudiannya dengan peraturan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, sosial, perundangan dan lain-lain.

Akhirnya, bersumberkan keyakinan (tauhid) dan berpandukan sistem nilai berasaskan syariat tertegaklah sistem hidup Islam dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, perhubungan, politik dan lain-lain yang adil.

Pada ketika ini barulah diturunkan undang-undang untuk mencegah jenayah seperti hudud, takzir dan sebagainya. Beginilah tertib perjuangan Rasulullah untuk membanteras perlakuan jahat manusia.

Dalam konteks yang sama Dr Yusuf al-Qaradawi berkata: “Ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan daripada segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini daripada segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama daripada segi perlaksanaan.”

Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan hukum hudud, diberi makan terlebih dahulu kepada orang yang lapar, disediakan pekerjaan kepada penganggur, diajarkan orang yang jahil dan latih para pekerja. Semua ini mesti dilakukan ini sebelum melaksanakan hukum hudud.”

 

Sistem Pendidikan Berasaskan Tauhid

Mari kita lihat sistem pendidikan kita terlebih dahulu. Sejauh manakah usaha kita menanamkan soal tauhid dalam diri masyarakat dalam kerangka memerangi jenayah? Adakah pakar-pakar pendidikan bersedia menilai persoalan ini secara lebih telus, adil dan profesional? Apakah kita mampu membentuk satu kaedah pendidikan yang mampu meletakkan input Tauhid sebagai Sains secara bersepadu?

Sehingga dengan itu para ustaz mampu mengajar Tauhid yang ada nilai Sains dan guru sains pula boleh mengajar Sains dengan digandingkan dengan nilai-nilai tauhid? Tidak seperti sekarang apabila mata pelajaran agama ‘kering’ daripada nilai aqli dan subjek Sains dibiarkan ‘bebas’ daripada nilai-nilai naqli.

Kemudian marilah kita bermuhasabah sejauh mana ibu-bapa telah membentuk ‘pandangan alam’ atau ‘worldview’ yang tepat dalam diri anak-anaknya?

Sejauh mana mereka berusaha mengukuhkan sistem nilai dalam diri generasi muda? Sudahkah ibu-bapa mengajar dan mendidik anak-anak kita tentang nilai jujur, integriti, sabar, syukur, amanah dan sebagainya?

Inilah cabaran utama umat Islam untuk menyelesaikan masalah jenayah menggunakan kaedah Islam. Masalah yang selalu menghantui umat Islam ialah mereka sendiri sama ada tidak faham ataupun salah faham terhadap kaedah Islam memerangi jenayah. Perjuangan Rasulullah yang lebih holistik dan multidimensi dalam memerangi jenayah tidak dijadikan teladan.

Falsafah memerangi jenayah di dalam Islam perlu dijadikan asas dalam sistem pendidikan yang formal mahupun tidak formal.

Maka, secara ringkas langkah-langkah membanteras jenayah perlu mengikut tertib berikut:

 

  1. Dakwah dan tarbiah secara meluas.

Menjalankan usaha dakwah yang luas, konsisten dan menyeluruh kepada mereka yang belum sedar dan faham tentang iman dan Islam. Dakwah hendaklah disemarakkan secara aktif dan intensif dalam media cetak dan elektronik. Sedarkan manusia tentang perlunya iman dan Islam dalam kehidupan.

Terangkan dari mana manusia datang, untuk apa manusia diciptakan dan ke mana manusia akan pergi. Tegasnya melalui dakwah,  manusia mesti disedarkan tentang kewujudan Allah, kasih sayang-Nya dan segala sifat-Nya yang Maha sempurna.

Persoalan-persoalan ‘ghaibiyyat’ dan ‘sam‘iyat’ perlu diketengahkan dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Sampaikan berita baik dan berita ancaman kepada manusia dengan jelas dan bijaksana. Gunakan kaedah yang paling lunak, hikmah dan indah untuk menyampaikan ajaran Islam mengikut tahap pemikiran masyarakat.

Dakwah perlu disampaikan melalui pelbagai cara kerana jalan manusia menerima kebenaran tidak sama antara satu sama lain. Sifat kreatif dan inovatif perlu ada dalam diri pendakwah untuk menyampaikan dakwah secara ikhlas dan profesional.

Setelah manusia sedar, perlu disusuli dengan langkah memberi pendidikan dan pimpinan. Jika yang belum sedar, kita dakwahkan. Sementara yang sudah sedar pula dididik dan dipimpin untuk mengamalkan Islam bermula daripada persoalan akidah, ibadah dan akhlak. Pada tahap ini, masyarakat yang sudah sedar tidak hanya memerlukan  dai tetapi mereka memerlukan murabbi (pendidik) untuk membimbing dan menunjukkan ajar dari dekat.

Proses mendidik agak lebih mencabar daripada sekadar memberi kesedaran dan menyampaikan ilmu. Untuk itu para pendidik perlu sentiasa bersama masyarakat untuk mengajak mereka mengamalkan Islam.

Pendidik perlu menjadi contoh ikutan yang dapat diteladani sikapnya bukan hanya cakapnya. Dia perlu jadi murabbi bukan sahaja sewaktu menyampaikan ajaran Islam tetapi dalam kehidupan seharian. Perlu diteladani akhlak Rasulullah yang menjadi al-Quran hidup untuk diikuti oleh para sahabatnya.

 

  1. Membina masyarakat dan membudayakan cara hidup Islam secara menyeluruh.

Setelah dakwah dan tarbiah berjalan dengan baik, maka barulah dibina sistem atau cara hidup Islam yang syumul seperti ekonomi, sosial, hiburan dan lain-lain. Tidak cukup hanya dengan beberapa golongan yang mengamalkan Islam, tetapi Islam mesti diamalkan oleh majoriti masyarakat.

Apabila majoriti masyarakat mengamalkan Islam di semua aspek kehidupan, pada setiap masa dan ketika, maka ketika itu barulah tertegaknya budaya hidup Islam. Walaupun Islam bukan budaya tetapi agama yang berteraskan wahyu, tetapi apabila ia diamalkan secara keseluruhan oleh majoriti anggota masyarakat, maka tertegaklah budaya hidup Islam secara automatik.

Pembinaan Islam di peringkat diri melalui ayat, “ Wahai orang beriman selamatkan diri mu dan keluarga mu daripada api neraka,” (Surah al-Tahrim 66: 6) perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih luas hingga tertegaknya  masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh firman Allah:  “Sekiranya penduduk satu kariah itu beriman dan bertakwa maka Allah akan membuka pintu keberkatan dari langit dan bumi.”  (Surah al-A‘raf 7: 96)

Masyarakat Islam berbeza dengan ‘masyarakat orang Islam’. Masyarakat Islam ditegakkan atas dasar tauhid dan kemudian sama-sama bertolong bantu dalam kebaikan dan ketakwaan dan meninggalkan amalan-amalan mungkar.

Firman Allah: “Hendaklah kamu bertolong bantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah 5: 2)

Maka Islam yang dibina di peringkat diri dan keluarga kini telah dipertingkatkan serta diperluaskan ke peringkat masyarakat. Daripada sistem hidup Islam yang dibina di peringkat masyarakat,  maka dipertingkatkan lagi di peringkat negara. Peluang pekerjaan, mendapat perlindungan dan menikmati hasil ekonomi perlu dilaksanakan dan diagihkan secara adil sehingga setiap orang miskin dan melarat dapat dibela oleh sistem zakat, wakaf dan lain-lain mekanisme yang sedia ada dalam ajaran Islam.

 

  1. Menutup pintu-pintu kejahatan serapat-rapatnya.

Menegakkan kebaikan tidak sempurna jika peluang untuk melakukan kejahatan dibiarkan. Maka tindakan selanjutnya menutup peluang dan ruang untuk melakukan kejahatan.

Ini dikenali sebagai sad al-zarai‘. Peluang untuk melakukan riba, zina, arak, dadah dan lain-lain ditutup.  Pada ketika itu godaan untuk melakukan maksiat dan kejahatan dapat dikurangkan. Pintu-pintu ke arah zina misalnya, diatasi dengan penutupan tempat pelesiran, kelab pelacuran, rumah-rumah urut dan sebagainya.

Orang yang melakukan kejahatan selepas tahap ini bukan lagi orang yang tergoda atau terlanjur tanpa niat yang kuat melakukannya tetapi memang sengaja mencari peluang melakukannya. Ertinya, pelaku kemungkaran itu memang sengaja dan benar-benar jahat. Pintu kejahatan telah ditutuppun dia masih mencari jalan untuk melakukannya. Ertinya, sekiranya dia dihukum, dia memang layak dan patut dihukum kerana benar-benar jahat!

 

  1. Mengadakan peluang pekerjaan sebanyak-banyaknya.

Jangan sampai orang melakukan jenayah kerana terhimpit oleh kelaparan atau kebuluran yang bersangatan. Dia ingin bekerja, tetapi peluang pekerjaan tidak ada. Sedangkan ahli keluarga dalam keadaan yang sangat tersepit. Akhirnya dia terpaksa mencuri kerana tidak ada peluang untuk mencari sumber pendapatan.

Sayidina Umar al-Khattab pernah ‘menangguhkan’ pelaksanaan hukum hudud apabila masyarakat Islam dalam keadaan yang sangat genting akibat musim kemarau yang ekstrem. Hingga dengan itu ramai orang yang dalam kelaparan, malah kebuluran. Pada ketika itu ramai yang begitu terdesak hingga terpaksa melakukan jenayah untuk terus hidup.

Memang iman ada kemampuan untuk meninggalkan kejahatan walau dalam keadaan apa pun. Namun tidak semua manusia yang mampu berbuat demikian. Maka Islam mengambil kira perlunya ada peluang untuk mendapat pekerjaan bagi menampung keperluan diri dan keluarga terlebih dahulu (yakni secara majoriti) sebelum menguatkuasakan hukuman.

Namun, ini bukanlah lesen untuk melakukan jenayah atas alasan terpaksa seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak kini. Peringkat terpaksa itu adalah antara hidup dan mati (darurat), bukan pantang susah sedikit sahaja terus mencari jalan haram untuk mencari pendapatan. Lantaran itu, adalah salah sekali apabila ada wanita Islam yang memilih ‘pekerjaan’ sebagai pelacur kononnya untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya atas alasan terpaksa sedangkan jutaan pendatang dari negara lain mampu mencari peluang pekerjaan yang halal!

 

  1. Menguatkuasakan hukuman dan undang-undang.

Akhirnya, barulah langkah mengenakan undang-undang dan penguatkuasaannya dilaksanakan. Yakni untuk menghukum ‘segelintir’ penjenayah yang benar-benar tegar melakukan kejahatan. Majoriti masyarakat Islam yang baik, tidak boleh dirosakkan oleh segelintir penjahat yang degil walaupun setelah usaha berdakwah, mendidik, mewujudkan sistem hidup Islam, mengadakan peluang pekerjaan telah dilaksanakan dengan baik. Mereka yang menempah kejahatan ini patut dihukum!

Walaupun pelaksanaan undang-undang merupakan langkah terakhir dalam memerangi jenayah tetapi berdasarkan realiti terkini ia bukanlah suatu tindakan yang tidak perlu. Undang-undang tetap perlu. Inilah yang berlaku dalam masyarakat Islam setelah kewafatan Rasulullah. Undang-undang dan penguatkuasaannya tetap dilaksanakan manakala usaha berdakwah, mendidik, menegakkan sistem hidup Islam terus dilakukan.

Tidak ada alasan undang-undang (sama ada undang-undang hudud atau takzir) dipinggirkan hanya atas alasan masih berdakwah dan mendidik masyarakat. Apatah lagi kalau kita melihat usaha berdakwah dan mendidik masih berada di pinggiran berbanding gaya hidup hedonisme yang begitu disokong dan disuburkan. Marilah kita sama-sama berdakwah secara hikmah, konsisten dan meluas sebagai bukti keikhlasan ke arah pelaksanaan undang-undang Islam.

Bagi golongan yang begitu ghairah untuk menguatkuasakan undang-undang pula marilah bermuhasabah sejauh mana kita telah berdakwah, mendidik dan menegakkan cara hidup Islam yang syumul dalam kelompok sendiri seterusnya di dalam masyarakat. Sejauh mana simpati dan empati kita kepada golongan yang miskin dan melarat dengan mewujudkan peluang pekerjaan dengan pembinaan sistem ekonomi Islam di peringkat mikro dan makro?

Ya, untuk memerangi jenayah sehingga ke peringkat ke akar umbi tidak harus beku dan melulu. Bawalah terlebih dahulu manusia kepada akidah, kemudian pimpin mereka ke arah menegakkan ibadah dan akhirnya suburkanlah masyarakat dengan bunga akhlak Islamiah. Insya-Allah, inilah kaedah Rasulullah memerangi jenayah!

 

Dipetik dari : https://gentarasa.wordpress.com/page/8/?fbclid=IwAR2RBLTNobgplkd8sXqEyuGfq75Pdxm5veSY2wZ6NZdfLE6tuIWA2W7uyI0

Tarikh Input: 07/03/2022 | Kemaskini: 07/03/2022 | fahmi_mukhid

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXETBAY~