Pemantapan Ibadah: Bengkel Bimbingan Dan Praktikal Solat Di Masjid UPM | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » Pemantapan Ibadah: Bengkel Bimbingan dan Praktikal Solat di Masjid UPM

Pemantapan Ibadah: Bengkel Bimbingan dan Praktikal Solat di Masjid UPM

Serdang, 3 Mei 2025 – Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Bimbingan dan Praktikal Solat yang berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Bengkel ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Hasnan Kasan, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga merupakan tokoh ilmuwan dalam bidang syariah dan ibadah.

Bengkel ini merangkumi dua komponen utama iaitu sesi teori dan sesi praktikal. Dalam sesi teorinya, Prof. Madya Dr. Hasnan telah menerangkan dengan terperinci mengenai kepentingan solat sebagai tiang agama, syarat-syarat sah solat, serta penekanan terhadap kekhusyukan dan ketepatan dalam pelaksanaan rukun-rukun solat.

Sesi praktikal pula memberi ruang kepada para peserta untuk mempraktikkan secara langsung kaedah perlaksanaan solat yang betul, bermula dari wuduk, niat, hingga kepada pergerakan dan bacaan dalam solat. Peserta juga dibimbing secara individu bagi memastikan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam.

Menariknya, bengkel ini turut mendapat sokongan daripada beberapa fasilitator (fasi) yang terdiri daripada kalangan pelajar serta staf Pusat Islam UPM. Kehadiran fasi ini amat membantu dalam memudahkan interaksi dua hala antara peserta dan penceramah, serta memberikan tunjuk ajar secara lebih dekat dan mesra.

Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman serta mutu ibadah solat dalam kalangan warga kampus, khususnya para pelajar. Ia juga selari dengan usaha berterusan Pusat Islam UPM dalam mendidik masyarakat kampus agar lebih peka terhadap kepentingan solat yang sempurna dari segi zahir dan batin.

Pihak penganjur berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi salah satu wadah tarbiah serta pengukuhan spiritual warga kampus UPM.

Date of Input: 05/05/2025 | Updated: 05/05/2025 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (02:18:35am-02:23:35am, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]