
Hati manusia bagaikan sebuah benteng. Di dalamnya tersimpan iman, cinta kepada Allah, dan jalan menuju keselamatan. Namun, setiap benteng mempunyai pintu, begitu juga hati mempunyai laluan masuk. Syaitan, musuh yang nyata, sentiasa mencari peluang untuk masuk melalui pintu-pintu ini untuk melemahkan kita.
Antara pintu utama syaitan ialah marah, nafsu yang tidak terkawal, hasad dengki, tamak, terburu-buru, takabbur, dan buruk sangka terhadap orang lain. Apabila marah menguasai, syaitan mempermainkan kita seperti bola di tangan kanak-kanak. Apabila dengki dan tamak menguasai, pandangan hati menjadi kabur dan hilang cahayanya. Bahkan, makan berlebihan dan malas juga menguatkan senjata syaitan.
Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Ketenangan itu datangnya daripada Allah, sedangkan tergesa-gesa itu datangnya daripada syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi)
Baginda juga bersabda:
مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَا فِي غَنَمٍ، بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ لِدِينِهِ
Dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing, tidak lebih merosakkan jika dibandingkan dengan sifat tamak manusia terhadap harta dan kuasa yang sangat merosakkan agamanya. (Riwayat Ahmad)
Hadis-hadis ini mengingatkan kita betapa lemahnya hati jika tidak dijaga.

Penawarnya mudah tetapi memerlukan usaha: bersihkan hati daripada sifat-sifat tercela dan penuhi dengan zikrullah. Seperti anjing lapar yang akan pergi jika tiada makanan di hadapannya, syaitan juga akan menjauh jika tidak ada kelemahan untuk dimasukinya. Al-Quran adalah ubat yang paling agung — ia menyembuhkan keraguan dengan hujah yang jelas, dan menundukkan nafsu dengan peringatan tentang akhirat.
Setiap mukmin perlu bertanya kepada dirinya: “Adakah hatiku sihat, sakit atau mati?” Hati yang sihat bercahaya dengan iman dan menolak godaan. Hati yang sakit masih boleh dirawat dengan zikrullah, solat, dan bacaan al-Quran. Tetapi hati yang mati, dipenuhi dosa dan kelalaian, hanya boleh dihidupkan semula dengan rahmat Allah.
Oleh itu, marilah kita menjaga hati. Tutup pintu marah, dengki, dan tamak. Bukalah pintu taqwa, sabar, dan zikrullah. Kerana hanya hati yang suci akan bertemu Allah dengan tenang pada hari kiamat.
Tarikh Input: 08/10/2025 | Kemaskini: 08/10/2025 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum