Ambil Peluang Bulan Ramadan Untuk Berhenti Merokok | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Ambil peluang bulan Ramadan untuk berhenti merokok

Ambil peluang bulan Ramadan untuk berhenti merokok

Ringkasan Artikel

Umum tahu tabiat merokok adalah bahaya dan mempunyai pelbagai kesan buruk kepada manusia. Namun bagi perokok tegar, perkara ini tidak diambil serius dan menganggap ianya tidak penting.

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

Umum tahu tabiat merokok adalah bahaya dan mempunyai pelbagai kesan buruk kepada manusia. Namun bagi perokok tegar, perkara ini tidak diambil serius dan menganggap ianya tidak penting.

 

Malaysia turut menguatkuasakan larangan merokok pada Januari 2019 di tempat awam iaitu premis makanan yang mula tidak diambil serius oleh perokok Malaysia. Malah pada tahun 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganggarkan lima juta perokok semasa di negara ini akan terus bertambah di kalangan umur 15 hingga 40 tahun.

 

Selain itu, dengan ledakan rokok elektronik dan vape turut memberi kesan sehingga pada Disember 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape bagi mencegah murid sekolah menjadikan vape sebagai trend.

 

Kedatangan bulan Ramadan 1445H merupakan satu peluang bagi perokok tegar untuk memulakan misi untuk berhenti merokok yang perlu diambil peluang oleh masyarakat Muslim di negara ini.

 

Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Suriani Ismail berkata bulan Ramadan adalah satu bulan yang istimewa kerana ia menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perokok mula berhenti merokok.

 

“Di Malaysia bulan Ramadan adalah tidak diterima dari segi agama dan budaya bagi seorang perokok Islam untuk merokok di khalayak ramai mahupun di rumah pada siang hari dan perokok akan berasa lebih mudah untuk berhenti merokok kerana persekitaran serta durasi berpuasa selama 14 jam sedikit sebanyak membantu berbanding dengan masa lain,” katanya.

 

Tambah beliau, perokok tidak menyedari mereka adalah pencetus kepada berlakunya perokok pasif dan perokok tertier yang memberi kesan kesihatan kepada masyarakat sekitar.

 

“Mereka yang menghidu asap rokok akan mendapat implikasi sampingan kesan daripada asap rokok yang dibebaskan serta sisa asap rokok pada kawasan sekitar oleh orang sekeliling terutamanya pada kanak-kanak.

 

 

“Nasihat saya kepada perokok ambil peluang di bulan yang mulia ini untuk berazam untuk berhenti merokok demi kesejahteraan diri dan membudayakan gaya hidup yang sihat bukan sahaja untuk diri malah untuk keluarga,” katanya.

 

Tambah beliau, perokok yang berhenti merokok akan memperoleh manfaat kesihatan yang lebih optimum.

 

“Antaranya mengurangkan risiko penyakit kanser, serangan jantung, jantung koronari, strok, vaskular periferal dan juga tahap kesihatan seisi keluarga akan lebih baik dalam melahirkan generasi yang bebas merokok di masa depan,” katanya.

 

Sebelum ini beliau bersama rakan penyelidik dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM bersama pelajar perubatan FPSK, UPM menjalankan kajian mengenai Kesan intervensi Berhenti Merokok Berasaskan Akidah pada bulan Ramadan dalam Kalangan Perokok Melayu pada tahun 2016.

 

“Melalui hasil kajian ini program intervensi dibangunkan kepada golongan sasar yang berhenti rokok di bulan Ramadan adalah positif antaranya penurunan paras nikotin dalam air liur perokok,” katanya.

 

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Suriani turut menyatakan inisiatif KKM mengadakan kempen ‘Nafas Baharu Bermula Ramadan’ adalah antara kempen yang boleh diperkasakan secara meluas bagi memberi galakkan kepada perokok untuk memanfaatkan bulan yang mulia ini untuk berhenti merokok.

 

“Untuk menjayakan usaha ini selain usaha kerajaan dalam memperkukuhkan polisi antaranya Generational End Game (GEG), peranan keluarga dan masyarakat juga memainkan peranan sebagai motivasi bagi perokok untuk terus istiqamah untuk berhenti merokok serta bukan terhenti di bulan Ramadan malah secara berterusan,” katanya.

Rujukan: https://upm.edu.my/artikel/ambil_peluang_bulan_ramadan_untuk_berhenti_merokok

Tarikh Input: 27/03/2024 | Kemaskini: 27/03/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEVJAI~