By Natirah Azira
Banyak hal boleh menjadi masalah apabila kita cuba mengawal apa yang kita tak mampu kawal, salah satunya adalah anggapan orang. Jika diingat semula, berapa banyak kali hati jadi sakit apabila disalah sangka atau tak difahami. Kita cuba mengubah persepsi dan tanggapan orang tentang diri kita. Apabila ia tidak berjaya, kita jadi geram, sakit hati dan mungkin berdendam.
Maka timbul lah hantaran-hantaran di media sosial berkenaan komen yang perlu dijawab apabila saudara mara bertanyakan hal yang bersifat peribadi apabila bertemu; “Bila hendak kahwin?”, “Bila hendak ada anak?”, “Kerja gaji berapa?”
Ramai yang berpendapat mereka sekadar ingin berbual dan bertanya perkembangan hidup, maka perlu dijawab dengan elok. Ada pula yang berpendapat jawapan yang tajam dan menikam perlu dibalas supaya mereka tidak bertanya lagi.
Ya, tidak dinafikan memang ada yang tidak menjaga lisan sehingga mengeluarkan komen-komen yang menyakitkan hati orang apabila berbual, seolah-olah mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kita, baik dalam hal keluarga, pekerjaan atau pembelajaran. Tetapi, pandangan hanya sekadar pandangan. Ia percuma diberi kepada sesiapa, bahkan tanpa ada alasan yang jelas sekalipun.
Kata Mufti Menk, biarlah orang fikir apa yang mereka mahu tentang diri kita. Kita tidak bertanggungjawab dengan apa yang mereka fikirkan atau apa-apa pandangan mereka bahawa kita sepatutnya begini dan begitu. Bahkan, kita turut tidak dapat menahan mereka daripada berfikir pun.
Mari kita belajar untuk memujuk diri bahawa anggapan orang pada diri kita memang sukar diubah. Kita boleh cuba menerangkan dan memberikan penjelasan tetapi jangan sampai jiwa tidak tenang hanya semata-mata ingin mereka mempunyai sangka yang baik dan betul tentang diri. Hakikatnya, anggapan dan pemikiran orang adalah hal yang memang sukar dikawal.
Apa yang mereka fikir tidak ada kaitan dengan diri anda sekalipun, bahkan tidak mengurangkan atau menambah apa-apa pun. Hiduplah baik-baik dengan cara yang anda rasakan sesuai buat diri. Ambil teguran yang baik yang dapat dijadikan panduan, dan tinggalkanlah komen-komen yang menyakitkan.
Tarikh Input: 19/08/2025 | Kemaskini: 19/08/2025 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum