Media sosial seperti Telegram, Whatsapp, Instagram, Facebook, Twitter dan Blog merupakan platform yang biasa digunakan oleh manusia secara global.
Penyampaian dalam media sosial adakalanya dalam bentuk maklumat, data, grafik mahupun gambar .
Namun dalam kecanggihan teknologi pada hari ini, kita masih dituntut untuk sentiasa berada di landasan yang ditetapkan dalam Islam.
Aktiviti berswafoto serta berkongsi gambar ke laman sosial tidak salah, tetapi haruslah ada batasannya supaya menjaga adab-adab Islam dengan menutup aurat secara sempurna sama ada bagi tujuan pengiklanan dan lain-lain.
Larangan Melihat Aurat
Allah SWT telah memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram seperti yang termaktub di dalam Surah An-Nur ayat 30-31 maksudnya
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan” .
Menurut Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ .
Justeru itu , menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan sentiasa menjaga aurat walau dalam apa jua keadaan.
Adab Berpakaian








