Islam memberikan perhatian yang besar terhadap aspek pergaulan dan persahabatan kerana hubungan sosial mempunyai pengaruh langsung terhadap pembentukan agama, akhlak dan keperibadian seseorang. Hakikat ini dijelaskan secara jelas melalui sebuah hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi ﷺ bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang itu bergantung kepada agama sahabat rapatnya, maka hendaklah salah seorang daripada kamu melihat siapa yang dijadikan sebagai teman pergaulannya.”
(Hadis Hasan Sahih, Riwayat Abu Daud, 4833)
Hadis ini menegaskan bahawa seorang sahabat bukan sekadar teman dalam urusan dunia, bahkan mempunyai pengaruh besar terhadap pegangan agama, pandangan hidup, kebiasaan harian serta pembentukan akhlak dan sifat seseorang. Oleh itu, pemilihan sahabat merupakan satu keputusan yang tidak boleh dipandang ringan, malah wajar dijadikan pertimbangan utama dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam memilih pasangan hidup, rakan sekerja, jiran tetangga, guru dan individu yang sering didampingi.
Habib Umar bin Hafidz menjelaskan bahawa sahabat dan persekitaran pergaulan merupakan cerminan kepada agama dan akhlak seseorang. Hal ini dinyatakan melalui ungkapan yang masyhur: “Katakan kepadaku siapa temanmu, nescaya aku akan memberitahumu siapa dirimu.” Ungkapan ini menggambarkan hakikat bahawa manusia secara fitrahnya mudah terpengaruh dengan individu yang sentiasa berada di sekelilingnya. Kelakuan akhlak, perubahan emosi, bahkan cara berfikir seseorang boleh berpindah daripada seorang sahabat kepada sahabat yang lain secara tidak disedari.
Hal ini dikatakan demikian kerana, atas dasar itu juga Islam mengajarkan bahawa seseorang akan dihimpunkan bersama sahabatnya di akhirat kelak. Persahabatan yang terjalin di dunia bukan sahaja memberi kesan di dunia, malah berpotensi menjadi asbab di akhirat kelak. Oleh itu, setiap individu dituntut untuk meneliti dengan serius siapakah sahabat yang dipilih, kerana sahabat juga boleh menjadi asbabnya peroleh syafaat.
Dalam konteks pendidikan anak-anak, Habib Umar bin Hafidz turut menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk meneliti akhlak dan peribadi sahabat yang rapat dengan anak-anak mereka. Anak-anak perlu dibimbing agar berada dalam lingkungan pergaulan yang soleh serta persekitaran yang jauh daripada pengaruh negatif. Selain itu, ibu bapa hendaklah melindungi anak-anak daripada pengaruh buruk sama ada melalui media dan pergaulan bebas. Hal ini kerana anak-anak akan membesar mengikut warna persekitarannya, sebagaimana air yang mengikut warna bekas yang menampungnya.

Habib Umar bin Hafidz mengajak umat Islam merenungi contoh kehidupan para sahabat Rasulullah ﷺ. Dengan siapakah mereka bersahabat dan siapakah yang mereka dampingi? Jawapannya jelas, mereka sentiasa bersama Rasulullah ﷺ, iaitu sebaik-baik sahabat dan teman duduk seluruh makhluk. Melalui kehadiran Baginda ﷺ, hati mereka disucikan, jiwa mereka diterangi dan akhlak mereka dibentuk oleh cahaya kenabian sehingga lahirlah generasi terbaik dalam sejarah umat manusia.
Rasulullah ﷺ juga menjelaskan kesan pergaulan melalui satu perumpamaan yang sangat jelas, iaitu perbandingan antara teman yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi akan memberikan bau yang harum, sama ada secara langsung atau tidak, manakala tukang besi pula berisiko membakar pakaian atau sekurang-kurangnya meninggalkan bau yang tidak menyenangkan. Perumpamaan ini menunjukkan bahawa pengaruh sahabat tidak dapat dielakkan, sama ada seseorang menyedarinya atau tidak.
Sehubungan dengan itu, Habib Umar bin Hafidz menyampaikan pesanan daripada Imam al-Haddad dan Habib Ali al-Habsyi agar umat Islam berhati-hati daripada bersahabat dengan orang yang lalai atau mereka yang menentang jalan Allah, serta sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh dan beriman. Hal ini kerana pengaruh seorang sahabat sering kali lebih kuat daripada nasihat secara lisan, dan kebersamaan dengan orang-orang soleh mampu menanamkan cahaya keimanan dalam hati.
Akhirul kalam, marilah kita memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan sahabat yang baik, teman pergaulan yang membawa kita untuk mengingati-Nya, serta menjadikan kita insan yang beradab dalam persahabatan. Semoga kita dihimpunkan bersama orang-orang soleh di dunia dan di akhirat.

Tarikh Input: 14/01/2026 | Kemaskini: 14/01/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum