Bilakah Kali Terakhir Anda Membaca Doa Ini? | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Bilakah Kali Terakhir Anda Membaca Doa Ini?

Bilakah Kali Terakhir Anda Membaca Doa Ini?

Sewaktu di bangku sekolah pada waktu kecil dahulu, kita selalu diajar dengan doa-doa harian. Ingatkah lagi sebelum mula belajar, kita akan membaca doa beramai-ramai bersama rakan-rakan dan guru? Salah satunya ialah doa diterangkan hati dan ditambahkan ilmu, yang berasal daripada doa Nabi Musa AS ini.

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي

Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي

Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

يَفْقَهُوا قَوْلِي

Supaya mereka faham perkataanku;

Satu lagi doa yang lebih ringkas daripada Surah Taha, ayat 114 yang berbunyi:

رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu.

Dua doa ini sering dikaitkan dengan proses pembelajaran agar diberi kemudahan memahami dan mengingati apa yang dipelajari. Adakah doa ini sudah tidak diperlukan sekarang? Adakah ia hanya untuk kanak-kanak?

Sudah tentu tidak. Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ayat di atas mengandungi dalil berkenaan keutamaan ilmu. Dan ilmu yang dimaksudkan dalam dalil di atas secara khususnya ialah ilmu agama.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang Al-Quran, ditambahkan kefahaman dan hafalan.

Kefahaman kita kepada ilmu agama pada waktu kecil dahulu mungkin hanya pada tahap permukaan sahaja. Seharusnya seiring bertambahnya usia, maka kefahaman baru tentang ilmu agama juga perlu diperdalam kerana kita sudah mempunyai kemampuan akal yang lebih luas.

Melihat kepada perkembangan semasa, ilmu agama juga mengalami kemelut. Ia kadang-kadang bercampur dengan perkara yang tidak sahih. Ada pula orang yang tidak faqih dirujuk untuk memahami tentang suatu permasalahan baru yang timbul, dan ada yang berpaksikan kebebasan bersuara atau sekadar ‘menasihati’, untuk mengeluarkan buah fikiran yang pelbagai.

Justeru, jangan tinggalkan dua doa di atas dalam kehidupan seharian kita. Semoga Allah menambahkan kefahaman yang tulen tentang ilmu agama dan ilmu-ilmu lain secara keseluruhannya.

 

Kredit : Natirah Azira - Tzkrh.com

Tarikh Input: 07/07/2026 | Kemaskini: 07/07/2026 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
X, (09:54:25am-09:59:25am, 10 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]