Oleh Natirah Azira
Manusia, ketika waktu lahir diibaratkan seperti kain yang suci bersih, tidak dikotori cela dan jauh dari dosa. Tetapi, semakin kita membesar dan menjalani kehidupan ini, ada perkara-perkara yang akan hinggap dan mengotori hati sehingga ia terzahir pada fikiran atau tindakan.
Maka, setiap insan yang bernyawa tidak akan suci daripada keburukan dan kejahatan dirinya sendiri, sama ada pengantaranya adalah bisikan syaitan atau tabiat keburukan yang sudah menjadi amalan kerana diulang-ulang.
Disebabkan itu, Rasulullah SAW sendiri mengajarkan doa perlindungan ini kepada sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq.
Dari satu hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi, dari Abu Bakar As-Siddiq, dia berkata:
“Wahai Rasulullah, perintahkanlah aku dengan membaca kalimah-kalimah ketika aku berada di waktu pagi dan petang.
Nabi SAW berkata, ‘Ucapkanlah; Allohumma faathiros samaawaati wal ardhi ‘aalimal ghoibi wassyahaadati robba kulli syai-in wamaliikahu. Asy-hadualla ilaaha illa anta, a’udzu bika min syarri nafsi, wa syarrish-shaitoni wa syirkihi”.
(Maksud: Ya Allah yang menjadikan langit dan bumi, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu dan yang memilikinya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung padaMu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya.)
Nabi SAW berkata, “Ucapkanlah kalimah-kalimah tersebut ketika kamu berada di waktu pagi, ketika di waktu petang, dan ketika berada di tempat tidur”. (HR Abi Daud, no.5067 – Sahih Abi Daud)
Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, bagaimana untuk membezakan keburukan yang datang daripada diri sendiri atau daripada syaitan. Secara peribadinya, kami berpendapat bahawa ia tidak dapat dibezakan secara pasti.
Yang jelas Allah mengatakan dalam Al-Quran memang ada penghasut daripada kalangan jin dan manusia yang mengganggu dan membisikkan was-was dan keburukan ke dalam hati manusia. Boleh jadi, perilaku buruk yang dilakukan pada asalnya berpunca daripada hasutan syaitan, namun kerana diulang-ulang, ia sudah menjadi tabiat manusia itu sendiri.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)” (7:201)
Oleh itu, untuk perlindungan daripada keburukan sama ada daripada diri sendiri atau syaitan, maka jadikanlah doa yang telah diajarkan oleh baginda sebagai amalan harian. Moga-moga kita terpelihara daripada keburukan tersebut. Ya Allah, janganlah kau serahkan aku kepada diriku sendiri.
Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 30/03/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum