Oleh Natirah Azira
Solat adalah tanda Islamnya seseorang. Ia rukun Islam kedua yang mesti ditunaikan. Ini hakikatnya yang semua umat Islam tahu.
Tetapi, Allah mengatakan solat amat berat sifatnya kecuali untuk orang yang khusyuk. Bermakna, solat juga adalah ujian yang berat untuk umat Islam menunaikannya. Solat bukan hanya rutin fizikal tetapi perlu ada elemen rohani iaitu kekhusyukan. Itulah yang meringankan solat.
“… dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” ( Surah Al-Baqarah 2:45)
Orang yang biasa menunaikan solat juga ada kalanya berasa berat untuk menyempurnakannya dalam waktunya. Kadang-kala ada solat yang tersasar dek penat dengan urusan belajar, kerja dan menguruskan kehidupan.
Apatah lagi jika ditambah dengan solat-solat sunat yang dianjurkan seperti solat sunat Fajar, solat sunat malam dan lain-lain. Sehingga Nabi Ibrahim AS sendiri berdoa kepada Allah supaya menjadikan baginda dan zuriat keturunannya sebagai golongan yang mendirikan solat.
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, 14:40)
Kata Rasulullah SAW, solat itu cahaya, bukti serta penyelamat di akhirat kelak. Bererti, kegunaan solat ini bukan hanya di dunia, tetapi keperluan yang mendesak di saat tidak ada lagi yang mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak. Kita tunaikan solat bukan untuk Allah SWT semata-mata tetapi untuk diri kita sendiri.
Jadikanlah doa Nabi Ibrahim ini sebagai pedoman dan amalan, bukan hanya untuk kita tetapi keturunan kita kelak.
Solat adalah wasiat yang paling bermakna untuk kita tinggalkan kepada anak cucu. Ya, iman tidak dapat diwarisi, tetapi sekurang-kurangnya kita telah berdoa agar Allah menjaga dan memelihara zuriat keturunan kita agar sentiasa berada dalam panduanNya.
Orang yang bersolat, hidupnya akan dipandu. Meskipun masih cacat amalan lain, sempurnakanlah solat. Fahamkanlah lafaz yang dibaca dan pergerakan yang dibuat agar ia mampu bertindak seperti apa yang disebut oleh Allah sebagai cegahan kepada perbuatan keji dan mungkar.
Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 30/03/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum