Apa yang anda sayang di dunia ini?
Ada yang akan menjawab ibu bapa yang telah menjaga dan membesarkan anda dari kecil, atau rumah besar hasil titik peluh sekian lama, atau pasangan dan anak-anak yang melengkapkan hidup kita.
Sebagai manusia biasa yang memang lahir, membesar dan hidup di dunia ini, memang mudah untuk hati kita terikat dengan perkara yang ada di dunia. Kita cepat sayangkan sesuatu, lebih-lebih lagi jika ia bermakna (atau kita sudah meletakkan makna tertentu padanya).
Jadi adakah ini bermakna kita tidak perlu menghargai perkara-perkara ini? Adakah tidak perlu jaga ibu bapa atau hargai apa yang kita ada? Bukan. Menghargai dan bertanggungjawab atas apa yang kita punya itu kemestian, tapi tidak sampai mengikat hati kita kepadanya.
Kata Yasmin Mogahed dalam bukunya Reclaim Your Heart, jika ingin tahu ke mana hati kita sudah terikat, maka bayangkan jika kita kehilangan perkara itu, betapa hancur jiwa dan raga kita. Kita tidak dapat menerima kehilangan perkara yang kita sayang tadi.
Selain dari perkara-perkara yang disebutkan tadi, hati kita juga boleh terikat kepada satu amalan dan tabiat, lebih-lebih lagi yang dapat menjauhkan diri dari rahmat Allah. Bayangkan seorang yang sangat suka mengeluh, mengumpat atau menipu sehingga jika tidak melakukan tabiat ini, hatinya rasa resah gelisah, tak tenang dan rasa ‘bukan diri sendiri’. Tabiat-tabiat ini juga boleh dianggap sebagai perkara yang mengikat hati kita. Kita rasa sukar untuk melepaskan diri daripadanya.
Justeru, perkara-perkara inilah yang perlu disemak, di manakah letak hati kita setakat ini – adakah pada benda, orang, atau tabiat diri sendiri.
Rentetan cabaran inilah adanya anjuran berdoa supaya kita berlindung daripada keburukan diri sendiri, dan supaya Allah tidak menyerahkan nasib kita kepada diri sendiri.
Diceritakan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada puteri baginda, Fatimah supaya mengamalkan doa ini pada setiap pagi dan petang.
“Ya hayyu ya qoyyum bi rahmatika astaghiis, wa as-lihlii sya’nii kullahu wa laa takilnii ilaa nafsii thorfata ‘ainin abadan”
(Ertinya: Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmatMu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dariMu selamanya).”
Kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Secara zahirnya mungkin kita dapat mengagak, tetapi dalam jangka masa panjang mungkin ia menjadi sebaliknya. Justeru, bergantunglah kepada Allah SWT dalam setiap urusan. Semoga Allah melindungi kita daripada perkara yang tidak baik dan mendekatkan perkara yang lebih baik buat kita.
Kredit : Natirah Azira -Tzkrh.com
Tarikh Input: 07/07/2026 | Kemaskini: 07/07/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum