ALAM PERKAHWINAN adalah merupakan satu fasa yang terpanjang dan terpenting dalam kehidupan kebanyakan manusia. Ramai di kalangan mereka meniti bahagia dalam menyemai benih-benih kehidupan.
Tidak kurang juga yang hidup seolah-olah seperti di dalam ‘neraka’. Shiqaq; sepertimana yang ditafsirkan melalui Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan yang menjejaskan kerukunan rumah tangga telah terjadi sama ada sejak mula ikatan perkahwinan terbina, atau pun setelah melepasi fasa bahagia.
Ibarat ungkapan peribahasa Melayu,
“disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari”.
Acapkali kita mendengar dari perspektif suami dalam sebuah tuntutan perceraian, dirinya masih terlalu menyayangi dan memerlukan isteri sehingga tidak sanggup melafazkan Talaq. Sedangkan Talaq merupakan hak dan kuasa suami.
Begitu pula si isteri ingin membebaskan dirinya dari ikatan tersebut dengan segera bahkan sanggup melarikan diri ke rumah keluarga atau tempat rahsia yang tidak diketahui suami.
Senario ini menterjemahkan bahawa kemungkinan telah terjadinya darar syarie (kemudharatan yang diiktiraf oleh Syarak); sepertimana yang ditafsirkan melalui kaedah Hakam tersebut juga, iaitu bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak.






