Jadikan Minda Anda Teman Yang Baik | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Jadikan Minda Anda Teman Yang Baik

Jadikan Minda Anda Teman Yang Baik

Oleh Natirah Azira

Manusia terdiri daripada empat elemen utama; emosi, pemikiran, tindakan dan spiritual. Dalam banyak keadaan, boleh diakui bahawa emosi adalah bahagian yang sangat banyak mengambil fokus diri kita meskipun kita hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa tindakan. Tanpa sedar, minda juga ketika itu masih bergerak.

Fikiran Sedar vs Tidak Sedar

Dan bahagian yang paling kerap kita terlepas pandang adalah pemikiran – apa yang difikirkan. Ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pemikiran dalam keadaan kita sedar dan pemikiran dalam keadaan kita kurang sedar. Fikiran ketika sedar, adalah apabila kita berfikir tentang sesuatu contohnya, mengingat semula pesanan isteri tentang barang apa yang perlu dibeli, atau berfikir tentang masalah yang terjadi.

Bahagian yang kurang disedari pula biasanya apabila diri kita dipengaruhi oleh emosi. Contoh, apabila marahkan seseorang, seperti marahkan pasangan yang tidak ingat hari lahir. Jika difikir sekali lagi apa yang kita fikirkan saat itu, pasti ada rasa seperti – ‘ pasangan tidak peduli, atau tidak mengambil berat’. Rasa-rasa ini sebenarnya adalah satu bentuk fikiran tanpa sedar, yang akan banyak mempengaruhi emosi seterusnya tindakan. Fikiran-fikiran ini kadangkala betul, dan ada masanya salah.

Sekarang, cuba anda imbas kembali kali terakhir diri ditimpa perasaan marah atau sedih. Apa sebenarnya yang difikirkan saat itu?

Daripada penerangan di atas, wajar untuk kita katakan bahawa minda adalah teman yang juga dekat dengan diri sebenarnya. Apa yang difikir, itulah yang akan memberi kesan kepada emosi, tindakan bahkan spiritual.

Latih Berfikir Dengan Betul

Jika kita mahu menjadi orang yang banyak bertenang dan berhati lapang, tidak ada cara lain, fikiran harus dilatih berfikir dengan betul. Kata Mufti Menk, jika ia tidak dilatih, maka ia akan menyangka ialah ketua dan akan berfikir sewenang-wenangnya. Itulah yang terjadi pada orang yang kita biasa lihat terlalu negatif dalam semua hal – fikirannya seperti dalam mod automatik negatif. Hal ini disebabkan fikiran diberi kuasa penuh untuk berfikir sesuka hati. Ia akan membawa diri ke lembah kelemahan dan kejatuhan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” (Surah Al-Hujurat, 49:12)

Lihat, dalam ayat ini ada elemen berfikir. Allah berpesan agar menjauhkan diri dari sangkaan-sangkaan, yang merupakan satu bentuk proses berfikir yang negatif. Kalam Allah ini mengajar kita bahawa berfikir perlu diselarikan dengan fakta atau kebenaran, sedangkan sangkaan bukanlah fakta atau kebenaran.

Kesimpulannya, minda kita boleh menjadi teman yang baik dan menaikkan diri, atau teman yang buruk yang boleh menjatuhkan diri ke tahap yang rendah. Teman perlu dinasihati, perlu juga diberi tunjuk ajar agar ia dapat menjadi teman yang lebih baik dari sehari ke sehari.

Tarikh Input: 03/09/2025 | Kemaskini: 03/09/2025 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (07:27:23pm-07:32:23pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]