Jadikan Sedekah Agenda Utama Setiap Kali Terima Gaji | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» ARTIKEL » Jadikan Sedekah Agenda Utama Setiap Kali Terima Gaji

Jadikan Sedekah Agenda Utama Setiap Kali Terima Gaji

Oleh Natirah Azirah

Setiap kali terima gaji bulanan, ke manakah gaji tersebut digunakan?

Bayar bil, sewa kereta dan rumah, beri nafkah kepada pasangan dan anak-anak, belanja barang dapur, duit untuk mak ayah. Ini perkara yang akan menuntut wang kita saban bulan.

Namun ada satu perkara lagi yang menuntut perhatian kita sebenarnya, iaitu sedekah.

Saya teringat pada pesanan ibu mertua tempoh hari, agar menabung setiap kali dapat gaji untuk bersedekah. Walaupun ibu mertua tidak bekerja, dan latar belakang keluarga biasa-biasa sahaja, antara tabiatnya yang saya perhatikan adalah menabung untuk sedekah setiap kali dapat wang dari anak-anak.

Dan setiap kali tiba bulan puasa, dia akan memperuntukkan sejumlah wang, menyuruh anak-anak membelikan barang keperluan atau Al-Quran untuk disedekahkan kepada sesiapa.

Sedekah jadi amalan kesukaannya. Saya kagum, dan saya jadi malu sendiri.

Memang sedekah itu berat, kerana kita mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada orang lain. Namun, ketahuilah bahawa ganjaran sedekah sangat besar.

Maksudnya : Tidak ada hari yang mana para hamba itu berpagian padanya melainkan terdapat dua malaikat yang turun, lalu salah satu dari mereka berkata : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang melakukan infaq (sedekah)”. Manakala malaikat yang satu lagi berkata : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (dari sedekah)”.[Riwayat Al-Bukhari (1442), Muslim (1010)]

Sedekah yang paling besar pahalanya kata Nabi SAW adalah sedekah dalam keadaan sihat tetapi hati rasa sangat kedekut untuk bersedakah, jiwa takut untuk miskin dan masih bercita-cita untuk jadi kaya. Pada waktu inilah, hati benar-benar teruji untuk sedekah. Sedekahlah walau hati masih belum ikhlas sepenuhnya, walau masih ada rasa berat yang tergantung.

Jika selama ini, kita hanya menabung untuk tujuan bercuti, makan di restoran-restoran kesukaan, bermula saat ini jadikanlah pula sedekah sebagai agenda setiap kali menerima gaji.

Jika rasa berat untuk sedekah dalam jumlah yang banyak sekaligus, mulakan dengan menabung sedikit demi sedikit, contohnya RM20 sebulan. Apabila cukup setahun, jumlah wang sudah mencapai RM240. Pada waktu, hati mungkin rasa lebih ringan untuk bersedekah kerana anda sudah menetapkan bahawa wang itu adalah wang untuk sedekah.

Jadi, sedekah adalah latihan yang perlu dibiasakan. Hati perlu dilunakkan untuk mengerti bahawa dalam rezeki kita ada juga bahagian orang lain yang telah Allah sediakan. Sedekah akan kembali semula kepada kita dalam ganti yang lebih baik. InsyaAllah.

Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691163
0397693640
X, (01:35:36am-01:40:36am, 16 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]