Jangan Jemu Berdoa, Anda Tidak Tahu Doa Mana Telah Diaminkan Malaikat | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» ARTIKEL » Jangan Jemu Berdoa, Anda Tidak Tahu Doa Mana Telah Diaminkan Malaikat

Jangan Jemu Berdoa, Anda Tidak Tahu Doa Mana Telah Diaminkan Malaikat

Pernah tak kira berapa kali anda meminta doa sepanjang hidup setakat ini?

Ya, saya juga tidak pernah kira. Jawapan kita sama.

Tapi, pernahkah anda rasa jemu meminta doa yang sama?

Kali ini mungkin jawapan kita berbeza-beza.

Saya yakin ada antara kita yang rasa putus asa untuk berdoa kepada Allah SWT kerana terlalu lama doa itu tidak dikabulkan. Bertahun meminta, namun zahir doa masih tak kunjung tiba.

Tetapi, adakah kita perlu berhenti?

Sudah tentu tidak, kerana doa bukan seperti debu berterbangan, disapa angin, ia hilang tanpa jejak. Tapi doa boleh diibaratkan seperti surat-surat yang kita kirimkan kepada Tuhan. Kesemuanya dibaca. Allah tahu. Cuma balasannya dalam bentuk yang pelbagai.

Nabi Zakaria sendiri tidak jemu berdoa meminta anugerah zuriat sehingga rintihannya diabadikan dalam Al-Quran bahawa baginda tidak jemu berdoa, meskipun usia telah lanjut.

“Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.” (Surah Maryam, 19:4)

Bayangkan berapa tahun masa diambil, berapa kali tangan diangkat menadah doa, berapa kali pula bibir meminta, namun tidak pernah baginda berputus asa.

Kita juga tidak tahu doa mana yang telah diaminkan para malaikat sehingga doa itu dibalas dalam bentuk yang lebih besar, sama ada disimpan pahalanya di akhirat kelak, atau ditukar sebagai pelindung daripada musibah dan bahaya.

Pokoknya, usah jemu berdoa dan meminta. Berdoalah kepada Allah diberikan hati yang tidak berputus asa dan lidah yang tidak jemu meminta kepadaNya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ

Maksudnya“Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.” (Jami’ Tirmizi – 3604)

Walau tak kita raih ganajarannya di dunia, semoga kita menjadi insan yang paling bahagia dengan rahmat dan kemurahan Allah di akhirat kelak. Amin.

Kredit : Natirah Azira - Tzkrh.com

 

 

 

 

Tarikh Input: 24/06/2026 | Kemaskini: 24/06/2026 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691163
0397693640
X, (03:29:14am-03:34:14am, 12 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]