Justeru, jika dilihat daripada satu dimensi yang berbeza, agak sukar untuk kita menilai bukan sahaja ketulenan pandangan, malah individu di belakang tabir yang memberikan pandangan. Tanpa ilmu dan kemahiran, kita tidak mungkin mengetahui sama ada ketulenan individu di belakang skrin dan papan kekunci. Ini menimbulkan tanda tanya; Adakah kita berkomunikasi dengan manusia? Atau adakah hantaran dan komen balas dilakukan oleh bot? Manakan tidak, kini, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) mampu ‘menciptakan’ individu yang tidak wujud di alam realiti namun mempunyai kemampuan ‘berfikir’ hampir serupa dengan manusia.
Allah SWT berfirman menerusi Surah Al-Mulk Ayat 16, “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?”
Bagi individu yang menggerakkan pelbagai agenda dan propaganda di sebalik papan kekunci, mereka beranggapan dengan menyembunyikan identiti, mereka sewenang-wenangnya boleh menulis dan berkongsi kandungan yang salah di sisi agama dan undang-undang. Kesopanan dan kesusilaan yang menjadi teras adab dalam Islam dan kemanusiaan seolah-olah dipinggirkan.