Kebenaran Kisah Karamah Syeikh ‘Abd Al-Qadir Al-Jailani | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» ARTIKEL » Kebenaran Kisah Karamah Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jailani

Kebenaran Kisah Karamah Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jailani

Oleh Natirah Azira

Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jailani adalah ulama yang terkenal dengan cerita-cerita unik yang mengiringi hidupnya. Ada yang menyebut tentang kisah beliau pernah berjumpa Nabi Khidir, dapat menghidupkan binatang yang mati malah ketika bayi dikisahkan bahawa ia tidak akan menyusu pada siang hari Ramadan tetapi pada waktu malam sahaja.

Namun, banyak kisah yang dicatat secara berlebih-lebihan dan sejauh mana kebenaran kisah-kisah ini hakikatnya masih menjadi tanda tanya.

Nama sebenar beliau ialah Muhammad ‘Abd al-Qadir bin Abu Soleh al-Jili. Beliau dilahirkan pada tahun 470 Hijrah, dan ada pula sesetengah pendapat mengatakan pada tahun 471 Hijrah. Beliau adalah ulama bermazhab Hanbali.

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah pernah menyebutkan bahawa Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jailani adalah antara masyayikh yang paling kuat pada zaman mereka dalam hal berpegang dengan syariat iaitu mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Beliau juga antara masyayikh yang kuat meninggalkan hawa nafsu dan keinginan diri sendiri.

Berbalik kepada kisah hidup beliau, syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani memang terkenal dengan karamah iaitu hal istimewa yang berlawanan dengan adat. Ia dikurniakan oleh Allah SWT khusus kepada para walinya yang soleh dan bertakwa dengan tujuan menguatkannya, atau membantunya atau menetapkannya atau bantuan untuk agama. (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn al-‘Uthaimin, 8/626)

Walau bagaimanapun, kisah yang banyak tersebar yang dinisbahkan kepada Syeikh ‘Abd Qadir al-Jilani, kata para ulama banyak yang tidak sahih. Perkara ini juga disebutkan oleh Imam Al-Zahabi, bahawa tidak ada seorangpun dalam kalangan masyayikh yang besar lebih banyak kisah-kisah berkaitan karamah berbanding Syeikh ‘Abd al-Qadir, tetapi kebanyakannya tidak sahih, bahkan sebahagiannya mustahil.

Walau bagaimanapun, kezuhudan dan kesolehan beliau tidak dapat dinafikan. Cuma, untuk membezakan antara kisah karamah yang dhaif dan sahih adalah sangat sukar kerana catatannya tidak seperti periwayatan hadis-hadis Nabi SAW.

Justeru, cukup sekadar mengetahui beliau adalah pemimpin orang-orang yang soleh. Jika ditemui kisah-kisah karamah beliau dalam kitab-kitab, maka perlulah ditimbang tara melalui panduan syariah. Jika ia bertepatan dengan syariah, maka boleh diterima dan jika ia bertentangan maka perlu ditolak.

Tarikh Input: 03/09/2025 | Kemaskini: 03/09/2025 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (07:40:22am-07:45:22am, 12 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]